Trump arah dua kapal selam nuklear diletakkan dekat Russia selepas berang dengan Medvedev
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengarahkan dua kapal selam nuklear negara itu ditempatkan di 'kawasan strategik' dekat Russia.
Ia susulan kenyataan yang disifatkan sebagai 'amat provokatif' oleh bekas Presiden Russia, Dmitry Medvedev.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Truth Social, Trump berkata, arahan itu dikeluarkan sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya kenyataan itu bukan sekadar retorik semata-mata.
"Perkataan membawa kesan. Ia boleh membawa kepada akibat yang tidak dijangka.
ADVERTISEMENT
Cars stock video 1 5Feb25Cars stock video 1 5Feb25
"Saya berharap ini bukan salah satu daripadanya," katanya, tanpa mendedahkan lokasi kapal selam tersebut atas faktor keselamatan dan protokol ketenteraan AS.
Medvedev sebelum ini mengeluarkan ancaman terhadap AS susulan desakan Trump supaya Moscow segera menghentikan operasi ketenteraan di Ukraine atau berdepan sekatan ekonomi yang lebih berat.
Trump turut mengkritik keras Medvedev dan menyifatkannya sebagai 'bekas Presiden Russia yang gagal dan masih menyangka dirinya Presiden'.
Medvedev dalam kenyataan balas di laman X sebelum ini menuduh Trump sedang 'bermain api' dengan Russia dan menyifatkan tindakan itu sebagai satu provokasi ke arah perang.
Beliau juga menyifatkan kata dua Trump sebagai 'sandiwara' dan mendakwa Russia tidak mempedulikannya.
Trump baru-baru ini menetapkan tarikh akhir baharu kepada Presiden Russia, Vladimir Putin, untuk menamatkan konflik di Ukraine selewat-lewatnya pada 8 Ogos, selepas beberapa amaran terdahulu tidak diendahkan Kremlin.
Trump berkata, utusan khasnya, Steve Witkoff, sedang akan ke Russia untuk mendesak Moscow bersetuju dengan gencatan senjata dalam peperangannya dengan Ukraine.
AS juga mengancam akan mengenakan sekatan ekonomi baharu sekiranya tiada kemajuan dicapai.
Dalam pada itu, Medvedev pada Khamis memberi amaran mengenai ancaman 'dead hand', - yang mengikut pemahaman sesetengah penganalisis sebagai merujuk kepada sistem pelancaran balas senjata nuklear automatik milik Russia.
Russia dan AS adalah dua negara yang memiliki senjata nuklear terbanyak di dunia, namun Trump tidak memperincikan sama ada kapal selam yang diarahkan itu jenis berkuasa nuklear atau bersenjata nuklear.
Masih belum jelas apa kesan penempatan itu terhadap armada kapal selam AS, yang lazimnya menjalankan rondaan di kawasan titik panas dunia, yang berlaku pada saat hubungan pentadbiran Trump dengan Moscow amat genting.
Medvedev kini memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Persekutuan Russia dan dikenali sebagai antara tokoh utama yang menyokong kuat tindakan Moscow dalam perang di Ukraine. - AGENSI


Tiada ulasan:
Catat Ulasan