Kematian Syamsul Haris: UTM tidak akan lindungi pihak terlibat
KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengambil maklum keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengklasifikasikan semula kes kematian Allahyarham Syamsul Haris Shamsuddin.
Dalam kenyataannya universiti itu menegaskan, ia komited untuk memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menjalankan siasatan lanjut.
Ini termasuk tidak akan melindungi mana-mana pihak yang didapati terlibat.
“UTM sentiasa berpegang kepada prinsip ketelusan dan kedaulatan undang-undang (rule of law), serta menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan bagi memastikan keadilan ditegakkan,” katanya.
Dalam pada itu, UTM juga merakamkan ucapan takziah yang kepada keluarga Allahyarham dan memohon agar semua pihak, termasuk warga universiti dan orang awam, tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan yang sedang berlangsung.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, M. Kumar memaklumkan, pihak polis telah menerima arahan agar siasatan kes kematian Syamsul Haris diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh orang.
Menurut beliau, siasatan masih diteruskan untuk mengenalpasti individu-individu yang terlibat atau bertanggungjawab ke atas kematian tersebut sebelum kertas siasatan dirujuk semula ke AGC untuk arahan selari dengan peruntukan Perkara 145
Perlembagaan Persekutuan.
Perkara tersebut disahkan AGC menerusi satu kenyataan berasingan.
Syamsul Haris, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, 28 Julai lalu, selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram sebelum dikebumikan keesokannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor.
Bedah siasat kedua terhadap jasad Syamsul Haris pada 30 Ogos lalu mendapati punca kematiannya disebabkan kecederaan pada leher.-


Tiada ulasan:
Catat Ulasan