Keluarga dedah rakaman sebelum mangsa ditembak mati oleh polis
Keluarga tiga lelaki yang ditembak mati oleh polis di Durian Tunggal, Melaka pada 24 Nov menolak dakwaan bahawa mangsa bertindak ganas dengan menyerang pasukan keselamatan.
Isteri salah seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Jayashree mendedahkan rakaman audio perbualannya dengan suami ketika kejadian, yang tidak menggambarkan mangsa mengancam polis seperti didakwa.
Jayashree isteri kepada G Logeswaran, 29, yang ditembak mati oleh polis mendedahkan dalam rakaman itu kesemua mereka memberi kerjasama baik kepada pihak polis ketika ditahan.
"Tiba-tiba polis serang, dengar dia punya bunyi serangan, dia (suami) bunyi kesakitan. Dia punya suara kesakitan memang dengar, orang panggil dia duduk, dia duduk juga.
“Dia (polis) kata duduk, duduk. Ya bang (kata suami), saya duduk," katanya pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan tiga individu didakwa penjenayah samun paling dikehendaki ditembak mati selepas menyerang anggota polis ketika cuba ditahan dalam operasi awal pagi di sebuah ladang sawit di Durian Tunggal.
Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar berkata, ketiga-tiga suspek ditembak mati oleh sepasukan polis selepas menetak seorang koperal yang cuba menahan mereka.
Dzulkhairi berkata, suspek bersenjatakan parang panjang itu terdiri daripada dua lelaki berusia 24 tahun dan seorang berusia 29 tahun dikenali Geng DT.
Katanya, seorang anggota polis mengalami cedera serius ditetak di tangan kiri dan hampir meragut nyawa.
Bagaimanapun, Jayashree meragui suaminya dan dua lagi mangsa ditembak di ladang sawit.
Katanya, ketika dia berkomunikasi dengan suaminya melalui telefon sebelum dan ketika dikejar oleh pihak polis, mereka berada di lebuh raya.
"Tiba-tiba saya tengok dalam TikTok, naik dia punya nama, ada tiga orang lelaki mati, tapi dekat kawasan yang tak kena.
"Terakhir saya punya rakaman perbualan dekat lebuh raya. Jadi macam mana dia boleh sampai di kawasan dikatakan oleh pihak polis," katanya lagi.
Mahu Bukit Aman ambil alih
Sementara itu, peguam keluarga, Rajesh Nagarajan menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengadakan mesyuarat khas kabinet supaya mangsa mendapat pembelaan.
"Kami menuntut siasatan yang telus dan polis terbabit dalam kes ini perlu dihadapkan ke mahkamah.
"Kami juga menggesa satu pasukan khas ditubuhkan di Bukit Aman untuk menyiasat kes ini. Kami mahu Bukit Aman siasat, bukan polis Melaka.
"Selain itu, polis yang terbabit dalam kes ini perlu digantung tugas sehingga siasatan selesai," katanya

Tiada ulasan:
Catat Ulasan