𝗧𝗼𝗸𝗼𝗵 𝗪𝗮𝗿𝘁𝗮𝘄𝗮𝗻
𝗣𝗲𝗿𝘀𝗼𝗮𝗹 𝗦𝗶𝗮𝘀𝗮𝘁𝗮𝗻 𝗗𝗮𝗹𝗮𝗺𝗮𝗻 𝗔𝗧𝗠
KUALA LUMPUR | 6 Jan 26 — Wartawan veteran yang juga mantan Ketua Pengarang New Straits Times (NST), A. Kadir Jasin, mempersoalkan keberkesanan siasatan dalaman Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung dakwaan salah guna kuasa dan perlakuan tidak bermoral yang tular, termasuk dakwaan kemasukan orang awam ke kawasan mes tentera.
Dalam kenyataannya, Kadir menegaskan bahawa pihak yang didakwa membawa masuk orang awam dan melakukan perbuatan sumbang adalah anggota tentera, manakala pihak yang diarahkan menjalankan siasatan pula adalah ATM sendiri, atas arahan Kementerian Pertahanan. Menurut beliau, keadaan ini meletakkan keseluruhan siasatan dalam rantaian perintah yang sama.
“Menteri Pertahanan menjaga Ketua Turus Angkatan Tentera, Ketua Turus menjaga anggota tentera. Jadi bolehkah orang dalam rantaian perintah diharap menyiasat apa yang mereka sendiri gagal awasi dan cegah?” katanya.
Kadir turut menyatakan bahawa apabila perkara tidak elok berlaku dan melibatkan anggota ATM, tanggungjawab tertinggi terletak kepada Menteri Pertahanan, diikuti Ketua Turus Angkatan Tentera serta pegawai-pegawai atasannya.
Beliau juga menyentuh aspek kerahsiaan dan integriti tentera, dengan menyatakan bahawa unsur “stealth” yang menjadi teras ATM telah terkorban apabila perbuatan salah guna kuasa berlaku secara terbuka dan melibatkan orang awam serta kontraktor.
Menurut Kadir, kewujudan kartel, sindiket dan pakatan berkepentingan dalam kerajaan menyebabkan usaha membanteras rasuah dan mendisiplinkan birokrasi kekal sebagai janji, bukan realiti.
“Selagi kartel, sindiket dan kabal (pakatan jahat) wujud dalam kerajaan, selagi itulah penghapusan rasuah dan pendisiplinan birokrasi kekal sebagai janji kosong. Katanya.
Kadir turut menyifatkan arahan Kementerian Pertahanan kepada ATM untuk menjalankan siasatan dalaman, yang diumumkan melalui kenyataan akhbar Unit Komunikasi Strategik, sebagai lemah.
“Maaflah kalau saya kata, arahan Kementerian Pertahanan kepada ATM, yang dibuat melalui kenyataan akhbar oleh Unit Komunikasi Strategik, adalah “flimsy”. Mana Menteri Pertahanan (Mohamed Khaled Nordin)?
“Siasatan dalaman oleh jabatan sendiri, seperti yang diarahkan itu, selalunya tidak membawa ke mana-mana. Habis-habis sangat “tidakan disiplin” ala kadar (slap on the wrist)
Sehubungan itu, beliau mencadangkan siasatan dijalankan oleh badan bebas seperti Ombudsman, sebagaimana digariskan dalam pelan Reformasi Institusi, bagi mengurus aduan salah tadbir, salah laku dan meningkatkan integriti sektor awam.
Terdahulu, Kementerian Pertahanan dalam kenyataan rasmi memaklumkan bahawa pihaknya memandang serius dakwaan yang tular dan telah mengarahkan ATM menjalankan siasatan dalaman segera bagi menentukan kesahihan dakwaan tersebut. MINDEF turut menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya siasatan mendapati dakwaan berkenaan adalah benar.
Isu ini kembali mencetuskan perdebatan awam mengenai keberkesanan siasatan dalaman institusi dan keperluan mekanisme bebas dalam menangani dakwaan salah guna kuasa melibatkan agensi keselamatan negara. @politiko.my


Tiada ulasan:
Catat Ulasan