𝗜𝘀𝘂 𝗣𝗲𝗿𝗼𝗹𝗲𝗵𝗮𝗻 𝗔𝗧𝗠 𝗕𝘂𝗸𝗮𝗻 𝗛𝗮𝗹 𝗗𝗮𝗹𝗮𝗺𝗮𝗻, 𝗟𝗶𝗯𝗮𝘁 𝗞𝗲𝘀𝗲𝗹𝗮𝗺𝗮𝘁𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗮𝗿𝗮 – 𝗔𝗸𝘁𝗶𝘃𝗶𝘀 𝗣𝗼𝗹𝗶𝘁𝗶𝗸
KUALA LUMPUR | 3 Jan 25 — Sebarang isu yang menyentuh tadbir urus, perolehan dan integriti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak boleh dianggap sebagai isu dalaman semata-mata kerana ia berkait secara langsung dengan keselamatan negara, tegas aktivis politik, Dr Armin Baniaz Pahamin.
Ketika mengulas isu berkaitan skandal rasuah Tentera Darat Malaysia, beliau berkata pendedahan awam dan siasatan tersebut telah mencetuskan kebimbangan nasional kerana perolehan pertahanan bukan sekadar urusan kontrak, sebaliknya melibatkan kesiapsiagaan tempur, keberfungsian sistem senjata, keupayaan operasi serta nyawa anggota keselamatan.
“ATM bukan sekadar sebuah institusi pentadbiran. Ia adalah tunjang pertahanan negara. Maka, sebarang kelemahan dalam tadbir urus atau perolehan berpotensi mendedahkan negara kepada risiko keselamatan yang serius,” katanya.
Armin turut mempersoalkan sama ada keselamatan negara kini terdedah akibat kelemahan tadbir urus dalam sektor pertahanan.
Dalam konteks keselamatan moden, katanya, ancaman tidak lagi terhad kepada musuh luar, sebaliknya turut datang dari dalam sistem melalui rasuah, kebocoran tadbir urus, sabotaj institusi dan penyusupan kepentingan komersial ke dalam struktur pertahanan negara.
Sehubungan itu, Armin mempertahankan peranan aktivis seperti Badrul Hisham Shaharin (Chegu Bard) dan pasukan pemantau sivik yang berani menjalankan fungsi ‘watchdog’ terhadap isu-isu berkaitan keselamatan dan integriti institusi.
“Mereka bukan ancaman kepada negara. Mereka adalah benteng pertahanan moral yang mencegah keselamatan negara daripada dikompromi secara senyap,” katanya.
Mengulas keputusan kerajaan merehatkan Panglima Tentera Darat sementara menunggu siasatan, beliau menyifatkannya sebagai langkah strategik yang wajar bagi memastikan keselamatan negara tidak dikompromi oleh konflik kepentingan, tekanan institusi atau gangguan terhadap proses siasatan.
Beliau turut merujuk kepada beberapa contoh antarabangsa yang membuktikan rasuah dalam perolehan pertahanan merupakan antara ancaman keselamatan paling berbahaya, termasuk skandal BAE Systems di United Kingdom yang membawa kepada reformasi besar sistem perolehan pertahanan, skandal senjata di Korea Selatan yang menyaksikan pegawai kanan dipenjarakan, serta kes AgustaWestland di India yang menjejaskan perlindungan keselamatan kepimpinan negara.
“Kesemua kes ini menunjukkan rasuah pertahanan bukan sekadar jenayah kewangan, tetapi ancaman langsung kepada keselamatan negara,” tegasnya.
Armin menegaskan siasatan terhadap projek perolehan Tentera Darat mesti dijalankan secara telus, bebas dan bertanggungjawab, serta perkembangan siasatan perlu dimaklumkan secara berkala kepada rakyat bagi memulihkan keyakinan awam dan melindungi ATM. @politiko.my


Tiada ulasan:
Catat Ulasan