FAUZIAH SALLEH
WAJIB JUMPA
JASLINDA
AMIN
BELAJAR APA
MAKANAN UNTUK
HILNG KILO
KHALAS
Berat Jaslinda susut 10kg, mahu cepat sembuh hadiri konvokesyen anak
TAPAH: Pendaki wanita, Jaslinda Saludin, mengalami penurunan berat badan hampir 10 kilogram selepas 14 hari hilang ketika melakukan pendakian di Gunung Batu Putih.
Bagaimanapun, Pengarah Hospital Tapah, Dr Wan Immi Salim berkata, keadaan Jaslinda, 49, kini sangat stabil dan dapat makan serta berkomunikasi dengan baik.
"Kakinya disimen akibat kecederaan dialami, tetapi insya-Allah akan pulih segera dengan pemulihan dan rawatan," katanya di Hospital Tapah, di sini, hari ini.
Terdahulu, Dr Wan Immi mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Mohd Azlan Helmi melawat Jaslinda di hospital itu.
Kelmarin, Jaslinda ditemukan dalam keadaan lemah berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh kira-kira jam 5 petang oleh beberapa penduduk Orang Asli.
Wanita itu dilaporkan hilang ketika menyertai pendakian Trans Spencer Chapman pada 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh bersama-sama 13 individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP).
Dr Wan Immi berkata, pemeriksaan mendapati Jaslinda mengalami beberapa luka pada badan akibat berada dalam hutan untuk tempoh lama dan dijangka dibenarkan pulang dalam masa terdekat.
Ditanya keadaan emosi mangsa, beliau Immi berkata, Jaslinda menunjukkan semangat yang tinggi dan positif sepanjang menerima rawatan yang menjadi faktor utama membantunya pulih segera.
Sementara itu, Mohd Azlan berkata, Jaslinda memaklumkan dia mahu cepat sembuh dan keluar hospital kerana mahu bekerja semula dan menghadiri majlis konvokesyen anaknya nanti.
"Saya nampak walaupun ada kecederaan sikit pada kakinya, saya yakin dalam beberapa hari mungkin dia boleh keluar dan meneruskan kehidupan seperti biasa," katanya. BERNAMA




