Lebih 600,000 doktor palsu dipercayai berkhidmat di Pakistan
PAKISTAN: Pakistan kini berdepan dengan isu kesihatan awam apabila lebih 600,000 doktor palsu beroperasi di seluruh negara, merawat pesakit tanpa kelayakan, pendaftaran atau lesen sah, menurut Persatuan Perubatan Pakistan dan Sindh Healthcare Commission (SHCC).
Di kampung Tando Saeed Khan, wilayah Sindh selatan, Abdul Waheed, 48, membuka klinik tepi jalan tanpa papan tanda atau pendaftaran rasmi.
Hanya memiliki diploma homeopati dan kursus kejururawatan, beliau menerima pesakit setiap petang, dengan mengenakan bayaran 300 rupee (RM7) bagi setiap konsultasi.
"Pesakit ini mempercayai saya dan datang sendiri. Saya yakin boleh mengenal pasti penyakit dan merawat mereka," katanya.
Klinik seperti itu menjadi satu-satunya sumber rawatan untuk komuniti miskin, namun rawatan yang salah boleh membawa maut.
Setiausaha Agung Persatuan Perubatan Pakistan, Abdul Ghafoor Shoro, berkata doktor tidak berkelayakan ini tidak tahu kesan sampingan atau dos tepat ubat.
"Alat perubatan tidak disteril, jarum digunakan semula, meningkatkan risiko hepatitis dan AIDS," katanya.
Ketua Hospital Awam Karachi, Khalid Bukhari, berkata pihaknya sering menerima pesakit yang salah menerima rawatan, ia sekaligus menyebabkan sistem kesihatan terbeban dan nyawa rakyat miskin dipertaruhkan.
Pihak berkuasa mengakui masalah itu sukar dibendung.
Ketua SHCC, Ahson Qavi Siddiqi, berkata sekiranya pihaknya menutup 25 klinik, jumlah yang sama akan dibuka esok.
"Undang-undang lemah, kes boleh dibebaskan dengan ikat jamin, dan pasukan kami menghadapi ancaman keselamatan," katanya.
Penduduk tempatan, Ali Ahmed, 31, berkata tiada doktor berkelayakan di kawasan berkenaan dan rakyat juga tidak tahu membezakan doktor sebenar dengan palsu.
Shoro menegaskan amalan tidak terkawal ini bukan saja mengancam nyawa, malah membebankan keluarga dari segi kewangan, dengan ramai pesakit meninggal atau cacat selepas menerima rawatan salah


Tiada ulasan:
Catat Ulasan