Bekas PAT Mohd Nizam dibebaskan dengan jaminan RM180,000
KUALA LUMPUR: Bekas Panglima Angkatan Tentera, Mohd Nizam Jaafar, dibebaskan hari ini selepas membayar jaminan RM180,000 susulan pertuduhan terhadapnya bagi empat kesalahan berkaitan rasuah membabitkan RM3.75 juta.
Berpakaian sut gelap, Mohd Nizam pada mulanya melangkah pantas menuju ke keretanya sebelum berhenti di lobi untuk menjawab pertanyaan sekumpulan wartawan yang menunggu seawal jam 7 pagi.
Beliau berkata, pendakwaan jenayah terhadap dirinya dan beberapa pegawai kanan tentera lain tidak akan menjejaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sambil menegaskan institusi itu kekal utuh walaupun berdepan situasi semasa.
"Perkara ini (siasatan dan pendakwaan terhadap pegawai kanan tentera) tidak akan menjejaskan ATM.
"ATM ditubuhkan selama 92 tahun. Kami mengambil kekuatan daripada sejarah itu dan kami akan bangkit semula.
"Berilah ruang kepada ATM. Dalam kalangan kami sendiri, kami akan meneliti semula perkara ini dan menentukan tindakan yang perlu. Berilah peluang kepada ATM," katanya.
Mohd Nizam berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan wartawan sama ada siasatan dan pertuduhan yang dihadapi pegawai kanan tentera akan mencemarkan reputasi ATM.
Terdahulu, Mohd Nizam mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan membabitkan penyalahgunaan kuasa untuk memperoleh suapan berjumlah lebih RM752,000 serta pecah amanah jenayah membabitkan RM3 juta.
Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad, menetapkan 31 Mac untuk sebutan semula kes.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan