Israel pindah 'Garisan Kuning' jauh ke dalam kejiranan Gaza yang musnah
GAZA: Israel dilapor mengalihkan blok menandakan garis gencatan senjata dengan Hamas lebih jauh ke dalam sebuah kawasan kejiranan di Gaza pada Disember lalu.
Tindakan itu disusuli operasi pemusnahan berpuluh-puluh bangunan oleh tentera Israel, menyebabkan rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal.
Imej satelit menunjukkan Israel juga meletakkan blok konkrit bagi menandakan 'Garis Kuning' hingga berpuluh kadang kala ratusan meter di dalam wilayah dikawal Hamas, dan membina sekurang-kurangnya enam kubu untuk menempatkan tenteranya.
Imej itu juga menggambarkan bagaimana Israel secara sebelah pihak mengubah garis kawalannya di Gaza dan mengepung lebih banyak kawasan yang sepatutnya boleh didiami rakyat Palestin.
Tindakan itu didakwa melanggar perjanjian gencatan senjata yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS), walaupun Presiden AS, Donald Trump, terus menekan pelaksanaan pelan gencatan senjata yang menggesa pengunduran lanjut tentera Israel.
Kesan peluasan zon kawalan Israel paling ketara di Al-Tuffah, yang dulu dikenali sebagai kawasan bersejarah di Bandar Gaza, namun kini menjadi kawasan tandus dipenuhi bangunan runtuh dan besi bersepah susulan dua tahun pengeboman Israel.
Ribuan rakyat Palestin berlindung di Al-Tuffah selepas gencatan senjata Oktober lalu, yang sepatutnya menyaksikan tentera Israel berundur ke Garis Kuning seperti ditanda pada peta tentera, yang merentasi hampir keseluruhan Gaza dan mengikuti bahagian timur kawasan itu.
Bagaimanapun, imej satelit Al-Tuffah yang dirakam pada 2 dan 13 Disember menunjukkan Israel pada awalnya meletakkan blok di bahagian wilayah yang dikuasai Hamas, sebelum mengalihkannya kira-kira 200 meter lebih ke dalam.
Selepas blok berwarna kuning itu dipindahkan, tentera Israel mula meratakan kawasan berkenaan, memusnahkan sekurang-kurangnya 40 bangunan, hanya beberapa bangunan yang masih berdiri di antara kedudukan blok baharu dan Garis Kuning.
Bagaimana tidak dipastikan cara bangunan berkenaan dimusnahkan. Sebelum ini, Israel menggunakan gabungan serangan udara, letupan terkawal dan jentolak untuk meruntuhkan struktur.
Di luar Al-Tuffah, imej satelit turut menunjukkan Israel meletakkan blok berkenaan dengan jelas di dalam wilayah yang dikuasai Hamas di beberapa kawasan lain di Gaza.
Di Khan Younis, selatan Gaza, tentera Israel pada Disember lalu meletakkan satu blok kira-kira 390 meter melepasi garis berkenaan, dan satu lagi sekitar 220 meter melepasi garis itu.
Imej satelit juga menunjukkan tentera Israel membina sekurang-kurangnya enam kubu pertahanan besar, semuanya di bahagian Israel, dalam lingkungan 700 meter dari garis kawalan antaranya di Beit Hanoun di utara Gaza, terletak kira-kira 264 meter dari garis itu.
Menurut seorang sumber ketenteraan, kubu berkenaan, yang kebanyakannya diperbuat daripada tanah dan lumpur, bersifat sementara dan bertujuan melindungi anggota tentera daripada serangan.
Sementara itu, jurucakap Hamas, Hazem Qassem, berkata peluasan Garis Kuning itu menyebabkan ribuan penduduk terpaksa melarikan diri ke arah barat.
"Ia juga bermakna seluruh penduduk Semenanjung Gaza akan dihimpit ke dalam satu jalur sempit di bahagian barat Gaza, di kawasan yang kurang daripada 30 peratus keluasan keseluruhan wilayah itu," katanya.
Perjanjian yang disokong AS itu menetapkan gencatan senjata sepenuhnya, namun membenarkan Israel mengekalkan kawalan ke atas lebih separuh wilayah Gaza, dengan pengunduran lanjut tentera Israel dikaitkan dengan pelucutan senjata Hamas.
Khamis lalu, Trump melancarkan apa yang digelarnya sebagai 'Lembaga Keamanan' selepas mengumumkan pembentukan jawatankuasa teknokrat Palestin minggu lalu, dalam usaha membawa perjanjian itu ke fasa seterusnya.
Lebih 460 rakyat Palestin, termasuk ramai kanak-kanak, dilaporkan terbunuh akibat tindakan Israel sejak perjanjian Oktober berkuat kuasa, menurut petugas perubatan di Gaza, manakala kumpulan bersenjata dilaporkan membunuh tiga anggota tentera Israel.
Kedua-dua pihak saling menuduh melakukan pelanggaran gencatan senjata. – REUTERS


Tiada ulasan:
Catat Ulasan