Tujuh maut, 83 lagi masih hilang akibat tanah runtuh di Indonesia
CISARUA: Sekurang-kurangnya tujuh orang maut manakala 83 lagi dilaporkan hilang dalam kejadian tanah runtuh di barat Bandung, Indonesia, hari ini.
Hujan lebat melanda kawasan berkenaan sebelum bencana terbabit berlaku kira-kira jam 2.30 waktu tempatan, sekali gus mengakibatkan beberapa buah rumah penduduk rosak.
Jurucakap Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), Abdul Muhari, berkata setakat jam 10.30 pagi tadi, puluhan penduduk dilaporkan selamat manakala 83 orang masih dalam usaha pencarian," katanya.
Lazimnya, banjir dan tanah runtuh berlaku di Indonesia ketika musim hujan yang biasanya berlangsung dari Oktober hingga Mac.
Ribut tropika dan hujan monsun lebat melanda beberapa kawasan Asia Selatan dan Asia Tenggara akhir tahun lalu, mencetuskan kejadian tanah runtuh serta banjir yang membawa maut.
Menurut BNPB, kira-kira 1,200 orang terkorban dalam banjir di Sumatera manakala lebih 240,000 penduduk terpaksa dipindahkan dalam kejadian berkenaan.
Aktivis alam sekitar dan pakar sebelum ini menegaskan kehilangan hutan memainkan peranan besar dalam kejadian banjir dan tanah runtuh yang menghanyutkan lumpur ke kawasan perkampungan.
Kerajaan Indonesia baru-baru ini menarik balik kira-kira 24 permit daripada syarikat perhutanan, perlombongan dan hidroelektrik di Sumatera.
Kejadian tanah runtuh terbaharu itu berlaku selepas hujan lebat melanda Pulau Siau baru-baru ini, mencetuskan banjir kilat yang mengorbankan sekurang-kurangnya 16 orang.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan