AZAM BIN BAKI
ANWAR
BIN IBRAHIIM
WAJIB SAMAN
BLOOMBERG
AMIN
JIKA TAK SAMAN
MAKNYA BERITA INI
BUKAN FITNAH
SAH & BENAR
KHALAS
Kelibat pistol dan ugutan: Siasatan Bloomberg bongkar kaitan SPRM, Azam Baki dengan 'mafia korporat'
Siasatan terkini oleh Bloomberg hari ini membongkar bagaimana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diketuai Azam Baki dikaitkan dengan sekumpulan individu dikenali sebagai "mafia korporat", yang membantu penyangak dunia perniagaan mengambil alih syarikat awam tersenarai secara paksa dengan menggunakan kuasa luas agensi anti-rasuah itu untuk menangkap, mengugut dan membawa pertuduhan terhadap pengasas serta eksekutif syarikat.
Laporan terperinci itu mendedahkan modus operandi mengejutkan yang digunakan oleh salah satu unit dalam SPRM dikenali sebagai "Seksyen D", di mana pelbagai kaedah daripada ugutan, serbuan pejabat hingga ancaman terhadap nyawa digunakan.
Unit itu bertanggungjawab mengendalikan aduan dan tangkapan berkaitan rasuah melibatkan syarikat tersenarai, dan pernah dipimpin Wong Yun Fui, kini timbalan pengarah siasatan SPRM, yang menurut sumber dipetik Bloomberg merupakan seorang yang "dihargai oleh Azam".
- Iklan -
Cara pelaksanaannya tampak mudah tetapi menakutkan. Ia bermula dengan siasatan SPRM terhadap sesebuah syarikat di mana eksekutifnya berdepan tuduhan kesalahan kewangan atau tuntutan di mahkamah.
Siasatan "rasuah" oleh SPRM itu berlaku seiring dengan usaha "mafia korporat" untuk mengambil alih kawalan syarikat-syarikat tersebut.
Sebuah dokumentari berdurasi 24 minit yang mengiringi laporan Bloomberg hari ini (Klik untuk tonton) turut menemu bual saksi dan eksekutif syarikat yang pernah diganggu SPRM.
Salah seorang daripadanya menceritakan bagaimana modus operandi itu dilaksanakan.
"Suatu hari, SPRM hadir ke pejabat saya berdasarkan aduan yang difailkan dan mereka ingin menyiasat beberapa transaksi berkaitan syarikat. Mereka berbisik dan menghantar mesej kepada seseorang. Tingkah laku mereka amat mencurigakan," kata eksekutif kanan syarikat itu, yang hanya dikenali sebagai Adam.
Adam berkata dia kemudiannya diarahkan ke ibu pejabat SPRM, di mana dia dibawa ke sebuah bilik untuk disoal siasat oleh pegawai berlainan "tanpa henti".
"Tidak ada arah tuju jelas mengenai pertanyaan mereka kepada saya. Saya tertekan."
Adam yakin SPRM cuba menakut-nakutkannya untuk memaksanya menyerahkan pegangannya dalam syarikat itu.
Kelibat pistol oleh 'kawan rapat Azam'
Apa yang dialami Adam tidaklah seteruk pengalaman yang dilalui Tai Boon Wee.
Pada 2023, Tai, pengasas pengeluar produk getah GIIB Holdings, berdepan siasatan SPRM atas kesalahan perakaunan, apabila dihubungi oleh Andy Lim, seorang pemegang saham yang baru dalam syarikatnya.
Andy meminta Tai bertemu di sebuah restoran di Kuala Lumpur, dan dalam pertemuan itu, Tai dituntut menyerahkan dua kerusi dalam lembaga pengarah syarikatnya.
Menurut Bloomberg, rakaman CCTV pertemuan tersebut, yang menjadi subjek laporan polis, menunjukkan Andy mengangkat tangan untuk mendedahkan sepucuk pistol, dalam cubaan mengugut Tai agar memenuhi tuntutannya.
Polis kemudian menahan Andy dan merampas pistolnya.
Sumber memberitahu Bloomberg bahawa susulan itu, Azam menghubungi polis untuk meminta pistol Andy dipulangkan.
Perbualan dengan beberapa pegawai SPRM mendedahkan Andy "sangat rapat dengan Azam Baki", menurut Bloomberg, yang turut memetik sebuah memo dalaman yang diedarkan dalam suruhanjaya itu.
Persahabatan itu menghubungkan Azam secara langsung dengan seorang watak penting dalam kumpulan "mafia korporat".
"Pegawai kanan, termasuk orang paling kanan dalam kalangan mereka, iaitu ketua pesuruhjaya Azam Baki, menyedari aktivitinya," kata wartawan Bloomberg, Tom Redmond, yang menjalankan siasatan bersama Niki Koswanage.
Memo dalaman yang sama menyatakan Andy mempunyai hubungan dengan SPRM selama lebih sedekad ketika dia mengendalikan sebuah sekolah memandu, iaitu sejak SPRM masih dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah.
Hubungan tersebut terserlah susulan pendedahan bahawa Azam memiliki saham pada 2015 bernilai lebih RM700,000 dalam sebuah syarikat tersenarai, di mana Andy juga mempunyai pegangan.
Pendedahan itu mencetuskan skandal saham melibatkan ketua SPRM pada 2022, seterusnya desakan daripada ketua pembangkang ketika itu, Anwar Ibrahim, supaya Azam dilucutkan.
Bagaimanapun, Azam dibersihkan daripada salah laku selepas Suruhanjaya Sekuriti mengumumkan pembelian saham itu dilakukan oleh adiknya menggunakan akaun dagangan atas nama Azam.
Kewujudan mafia korporat dan kaitannya dengan SPRM pernah didedahkan pada 2023 oleh sebuah blog bernama The Corporate Secret.
.
Ia antara lain menamakan Victor Chin sebagai individu yang memanipulasi pegawai penguat kuasa dalam usahanya mengambil alih syarikat.
Victor pernah dituduh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atas pengubahan wang haram, berdasarkan audit agensi cukai terhadapnya dan MMAG Holdings.
Menurut LHDN, lebih RM500 juta yang sumbernya dikaitkan dengan jenayah terancang telah dibawa masuk, dengan tujuan melabur wang tersebut ke dalam pasaran saham Malaysia.
Menurut Bloomberg, Victor kemudian menghubungi Chong Loong Men, bekas pegawai Suruhanjaya Sekuriti yang kini mengaku sebagai penasihat undang-undang dalam pertikaian komersial, untuk berunding dengan SPRM. Rundingan itu akhirnya berjaya.
Menariknya, lelaki bernama Chong itu merupakan antara yang hadir pada pertemuan antara Tai dan Andy, ketika insiden Andy mempamerkan pistolnya, menurut laporan polis.
Menurut Bloomberg, Andy turut membantu Chin merunding penyelesaian dengan SPRM, yang ketika itu sedang menyiasat kesalahan pengubahan wang haram, kes yang dibangkitkan LHDN.
'SPRM di bawah telunjuk mereka'
Seorang lagi ahli perniagaan, Brian Ng, turut menceritakan pengalaman yang menyerupai apa yang dilalui Tai.
Seperti Tai, dia juga berdepan siasatan SPRM apabila diminta berjumpa Francis Leong, seorang yang dikatakan anggota "mafia korporat" sama yang dikaitkan dengan Victor.
Brian berkata dia diberi kata dua untuk melepaskan semua jawatan dalam syarikatnya, dan sebagai balasan, SPRM akan menggugurkan siasatan mengenai pemalsuan invois.
“Saya takut dan bimbang kerana Chong dan Francis jelas memberi isyarat bahawa SPRM berada di bawah telunjuk mereka dan akan mengikut arahan mereka,” Bloomberg memetik Brian dalam laporan polisnya.
Menurut Bloomberg, semua pihak yang dinamakan dalam laporannya, termasuk SPRM, sama ada menafikan dakwaan terhadap mereka atau enggan menjawab pertanyaan.
Pejabat Perdana Menteri juga tidak menjawab pertanyaan Bloomberg.
Laporan hari ini muncul beberapa hari selepas pendedahan Azam memiliki berjuta-juta saham dalam sebuah syarikat tersenarai, yang melanggar pekeliling kerajaan untuk penjawat awam.
Azam dalam respons beliau tidak menafikan memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd, yang kini bernilai sekitar RM800,000, dibeli tahun lepas semasa masih menerajui badan anti-rasuah itu. Menurut Azam, saham tersebut telah dijual pada tahun sama.
Pekeliling kerajaan 2024 melarang penjawat awam membeli saham melebihi nilai RM100,000 dan mewajibkan mereka mengisytiharkan pembelian tersebut.
Ketika menjawab dakwaan Azam gagal mengisytihar aset secara terbuka, SPRM berkata beliau sudah berbuat demikian secara dalaman melalui "saluran rasmi" Jabatan Perkhidmatan Awam


Tiada ulasan:
Catat Ulasan