Khamis, 11 Disember 2008

BERSEMBELIH DI ASILAH



Pekan kecil Asilah di tepi pantai laut Atlantik cukup mengasyikkan. Pastilah pekan ini bermula dari kampung para nelayan yang menjelajah ke laut Atlantik yang maha luas itu.

Café dan restauran berbaris menghadap jalan di tepi pantai. Ombak laut agak jauh kerana satu tembok besar sedang di didirikan dalam laut untuk menghalang ombak ganas dari melanggar tebing.

(Dunia Arab adalah budaya kuno – budaya tua inilah yang bertanggung jawab membuka zaman pencerahan yang menyinari pemikiran rasional di benua Eropah.)

Lalu kami ke KASBAH – untuk pertama kali pertama saya masuki kasbah – kota bertembok - perumahan seni bina Arab – jalan-jalan dan lorong-lorong kecil - antara rumah rumah dan kedai yang dibuat dari batu dan simin. Seni bina ini tidak menggangu alam sekitar. Seni bina kasbah tunduk menyembah alam. Ianya tidak angkuh. Bukan tanda manusia cuba menunduk dan melawan alam. Kasbah adalah tanda manusia berdiri seiring dengan alam.

Dalam kawasan kasbah tidak bagitu jelas yang mana rumah aku dan yang mana rumah kamu. Kalau tidak arif mungkin akan tersesat di lorong lorong kecil. Lalu saya terfikir , agaknya setiakawan kejiranan amat intim di dalam kasbah.

Lalu saya teringat dengan The Battles of Algiers – filem Gillo Pontecorvo insan komunis yang merakamkan perjuangan gerila dan fedayeen Algeria ketika bergerila melawan kuasa imperial Peranchis. Itulah kali pertama saya melihat kasbah melalui bayang bergerak. Di kasbah inilah saya melihat para fedayeen menyusun dan merancang. Dan di kasbah ini jugalah mereka gugur syahid. Di kasbah ini juga pertempuran akhir untuk Ali le Point dan Petit Omar sebelum Algeria merdeka.

Di Asilah saya masuk dan menapak untuk mencium warna dan ambience kasbah. Kami hanya meleser tanpa membeli satu apa pun. Kami cukup lalai melayani berahi mata.

Malam pertama di Moroko macam malam pertama meniduri perempuan. Semuanya misteri.

Cuaca laut Tengah cukup enak, kami hanya memerlukan jacket dan baju t. Kami mencari makan. Pastilah masakan yang bukan Eropah. Pastilah yang bukan di café dan restauran a la Paris.

Di pinggir jalan kami memesan ikan dan roti bersama air pudina. Tengah makan tiba-tiba seekor lipas terbang – tak tak tak. Tidak pernah saya melihat lipas yang bagini besar. Mulanya menyangka anak burung. Salah. Nah! Inilah lipas padang pasir – hitam dan gelap.

Sesudah makan malam, Ahmad datang bertandang ke bilik kami. Dia mengajar kami bagaimana untuk menggunakan pipa membakar ganja. Sebagai tamu yang sopan kami sama-sama menghisapnya. Saya tidak nampak apa yang enak dengan ganja Moroko. Lalu Ahmad bercerita tentang Zero Zero – hashih misteri yang sering di cari di Eropah. Menurut Ahmad, bapa saudaranya yang duduk di pergunungan ada membuat Zero Zero. Katanya di kawasan pergunungan pokok pokok ganja meliar bukan sesuatu yang menghairankan seperti di Eropah.

Esoknya kami mencari sarapan pagi. Kami meleser ke kawasan pasar. Kami telah agak lewat. Sebahagian pasar telah ditutup. Saorang Mak Cik Arab sedang menjual kueh di tepi pasar. Bila saya rapati saya ternampak dalam dulangnya ada sejenis roti. Nah, saya terperanjat besar – roti canai. Ada roti canai di Moroko. Bezanya roti canai Moroko dibuat selebar nyiru kemudian di potong-potong, ditimbang untuk dijual.

Saya bagitu gembira sekali. Lalu saya bersurah panjang dengan Maria tentang roti canai yang telah bagitu lama saya tinggalkan.

Kami memesan teh pudina untuk melayan roti canai. Sedang kami enak sarapan tiba-tiba muncul seorang anak muda. Saya menyangka dia pembantu. Kami bersembang dan dia bertanya dari mana kami datang. Berlarutan sembang kami tentang itu dan ini.

Selesai sarapan saya ingin membayar. Si Mak Cik tidak fasih berbahasa Peranchis – lalu anak muda ini meletakan harga. Wau – lebih mahal dari harga makan malam kami. Saya tidak ambil pot kerana kami warga kota London – pound kami 8 kali ganda besarnya. Entah berapa dirham saya bayar dipagi itu.

Dua batu dari bilik kami ialah pantai tempat mandi manda. Dalam panas terik kami menapak ke pantai. Untuk pertama kalinya saya mencelupkan badan ke air masin laut Atlantik. Ombaknya Atlantik agak keras kerana tidak ada Sumatera yang menghalang. Di hadapan kami mungkin New York, mungkin Cuba – saya tidak peduli. Saya hanya ingin merasakan masin Laut Atlantik.

Saya kagum melihat suasana di pantai. Anak anak muda Arab - lelaki dan wanita semuanya bercempera mandi manda. Lelaki bercelana speedo dan si gadis berpakaian baju mandi – malah ada juga yang memakai bikini. Nah! Tidak jauh rupanya mandi di pantai dengan Arab Moroko dengan mandi di pantai dengan orang Itali di Lido.

Mak Cik Mak Cik yang gempal berbaju kaftan duduk duduk berehat di tepi pantai. Saya mula menyedari bahawa Arab Moroko tidak gentar dengan bentuk tubuh badan mereka. Mereka bukan Arab padang pasir Saudi atau Arab bertopeng dari Teluk. Arab Moroko - lelaki dan perempuan - sedang merayakan laut mereka sebagai nikmat dari Yang Maha Esa. Kali pertama saya melihat Arab bercempera di laut ialah di pinggir kota Libanon – ketika perang saudara pada tahun 1977.

Sesudah dua malam kami di Asilah lalu kami merancang untuk berjalan lagi. Kami bertanya dengan Ahmad dimana harus kami mengambil bas untuk ke Casablanca. Ahmad menerangkan yang esoknya hari cuti umum - la Fetes Fetes du Mouton - pesta mengkorbankan kambing biri-biri. Tidak ada bas yang akan bergerak.

Wah! Baru saya sedar bahawa Hari Raya Haji telah sampai. Kerana hari besar inilah maka ramai warga Moroko yang berbondong-bondong sekapal dengan kami pulang dari Eropah. Kerana ini jugalah saya ternampak banyak kambing biri-biri diangkut dalam lori. Baru saya sedar kenapa banyak kambing biri-biri membebek di sekitar kawasan rumah tumpangan kami. Suara kambing banyak kedengaran dalam rumah. Saya sangkakan ada reban kambing diantara rumah-rumah ini. Saya tersilap.

Esoknya diawal pagi lagi saya ternampak kanak-kanak berpakian cantik ke hulu ke hilir. Dan kambing terus membebek di sana sini tidak henti-henti. Ahmad telah memberitahu kami agar bersedia melihat tukang sembelih datang.

Hampir jam sebelas saya ternampak seorang lelaki pertengahan umur keluar masuk dari rumah ke rumah dengan membawa sebilah pisau panjang. Akhirnya lelaki ini sampai ke rumah Ahmad – di sebelah bilik tidur kami. Kami masuk di pintu belakang untuk ke dapor. Saya ternampak saekor kambing biri-biri jantan terikat di tepi bilik mandi. Ibu Ahmad telah bersedia dengan baldi dan dulang.

Ahmad merebahkan kambing. Saya membantu memegang kaki. Maria hanya melihat. Tukang sembelih membaca doa dan kambing ini pun di korbankan. Darah mencurah ke atas lantai dapor di tepi lubang aliran air. Semua berjalan dengan pantas. Entah apa yang mereka bualkan dalam bahasa Arab, kemudian tukang sembelih beredar. Saya memerhatikan kambing biri biri ini menghembuskan nafas terakhirnya. Kemudian kami pula beredar ke bilik kami.

Hampir jam empat petang Ahmad datang ke bilik kami. Dia membawa daging panggang dan roti Arab. Hadiah dari ibunya. Inilah hari raya kami di Asilah - berpesta menyembelih kambing biri biri.
(TT)





12 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ganja morocco tak di spray dengan cecair heroine atau di rendam dalam samsu sebagaimana ganja di pasaran tempatan.

Tanpa Nama berkata...

Bang Isham,
Cerita ni semakin menarik.
Tengah menanti part solat raya dan solat Jumaat di tanah Maghrib ni.
Also, sepanjang perjalanan ni takkan biri-biri saja yan mati kot. Manusia tak der yang mati ker?

Hanief berkata...

Sekejap warga London, sekejap warga Belgium? Mana satu ni Abang Hisham?

Tanpa Nama berkata...

Tuan,

Rasanya elok kalau tuan buku kan pengalaman lebih 20 tahun tuan di luar negara. Bermula dari hari tuan lari dari Malaysia hinggalah hari tuan memijak kembali bumi Malaysia.
Saya rasa mesti ramai yang mahu membacanya kerana penulisan tuan yang segar ini.

Sekian.

Tanpa Nama berkata...

TukarTiub
Daripada pengalaman sdr melihat konsep kurban menyembelih kambing yang telah menjadi tradisi yang sulit dihapuskan itu di sesetengah budaya yang mengamalkan agama Islam, apakah mungkin konsep korban itu boleh disesuaikan dengan zaman dan menjadi relevan.
Di tempat saya ada kurban baru-baru ini, banyak kambing biri-biri disembelih dan dikorbankan untuk orang yang layak. Aden tanya berapa jumlah orang miskin di sekitar surau itu. Tiada jawapan yang pasti. Maka disedekahkan kepada insan miskin yang telah dikenal pasti.
Saya lontarkan satu pandangan. Apa kata kita kenal pasti orang miskin mengikut takrif kerajaan. Apa kata kita berikan bantuan kewangan daripada pembelian kambing biri-biri itu terus kepada mereka yang miskin itu. Atau berikan kepada anak-anak miskin yang masih bersekolah mendapatkan buku bacaan, komputer, duit poket, atau sebagainya kerana memberi daging tidak boleh membantu memperbaiki keselesaan hidup mereka, walaupun itu sudah menjadi amalan tradisi yang sukar diubah.
Orang Islam tidakkah boleh menjalankan kurban berlainan dengan kurban melalui sembelih lembu, unta, kambing dan haiwan lain? Semangat kurban adalah untuk membantu orang miskin, kita kurbankan sedikit wang ringgit dengan ikhlas dan bantukan kepada yang memerlukan. Mungkin kita boleh sembelih seekor haiwan sebagai menggekalkan tindakan simbolik Nabi Ibrahim dan wang yang telah kita membeli berpuluh haiwan lain untuk disembelihkan itu diberikan kepada yang amat diperlukan.
Apakah saranan aden ini telah melencong daripada amalan tradisi kurban semasa berjuta yang sedang melakukan ritual haji di Mekah?

Tanpa Nama berkata...

teringat aku majalah fantasi...

Oleh admin Bebas Malaysia berkata...

haha

Banyak lagi belum hang surahkan Isham!!!

Anak-anak muda dahagakan penulisan hang..!!

Anak-anak muda stim bila baca.. ;)

jab sp berkata...

Saudara Hanief,maaf kerana bertanya-berapa usia saudara ?.
mungkin (maaf jika saya tersilap)saudara belum kenal siapa sebenar TT (atau Hishamudin Rais-Bekas Presiden Persatuan Mahasiswa UM 1970an,individu yang tak dapat di ISA kan )kerana soalan saudara berkaitan warga isham sewaktu menjadi pelarian.Tambah lagi sikit-satu zaman dengan Ibrahim Ali yg tidak pernah tetap pendirian(Presiden PPITM) dan Anwar Ibrahim-Presiden PBMUM).

Tanpa Nama berkata...

Tuan,
Konsep KORBAN adalah konsep dari sejarah amalan Nabi Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail. Kalau anda baca semau kitab Kristian dan Yahudi. Nama Nabi Ismail tidak ada. Seolah-olah tidak ada seorang bernama Ismail dan ibunya bernama Hajar. Kenapa? Kerana mereka cemburu dan tidak boleh terima hakikat bahawa Nabi yang terpilih untuk sejarah yang menjadi amalan ribuan tahun kini dari seorang bukan bangsa Yahudi dan di luar Tanah Palestin.
Satu lagi persoalan tentang korban ini untuk diganti dengan membeli pelbagai peralatan untuk golongan miskin. Itu adalah amalan zakat dan Sedekah. Sistem zakat dan sedekah ini juga dijumudkan oleh mereka yang terhad pandangan dan pemikian mereka.
Ibadat Korban oula lebih merupakan aspek makanan. Korbankan binatang ternak dan bahagikan pada yang kelaparan. Jika rasanya ramai umat Islam Malaysia ini tinggi kolestrolnya, maka lakukan di tempat lain. Atau gunakan wang itu bersedekah. Adalah penting unutk masyarakat banda mengurangkan kerja membahagikan daging pada orang yang setiap hari makan daging 3 kali sehari. Sayangnya projek membungkus dan mengedarkan daging korban secara sistematik masih tidak dapat dijalankan di sebuah negara yang dianggap moden dan serba boleh ini. Maka jadilah program ini macam program untuk meningkat pesakit darah tinggi dan kolestrol tinggi.

Unknown berkata...

aaaaahhhh...teringat tulisan abg dalam magz ujang-


c'est le vie?

shahrizalisme berkata...

Saudara Tanpa Nama,

Penjelasan anda tentang sejarah ibadat korban bukan sahaja tidak tepat malah mengelirukan. Jangankan kitab2 Yahudi atau Kristian tidak menyebut Ismail yang menjadi korban tetapi Al Quran sendiri malah 'silence' tentang siapakah sebenarnya anak nabi Ibrahim yg menjadi korban.

Antara Ishak dan Ismail, Al Quran tidak menjelaskannya sipakah yang dikorbankan oleh Nabi Ibrahim.

Bukannya masalah cemburu tersebut yg menjadikan kitab Yahudi dan Kristian tidak menyebut Ismail atau Hajar tetapi kitab Perjanjian Lama mereka dengan jelas menyebut bahawa Nabi Ishak adalah anak Nabi Ibrahim yang dikorbankan, bukan Nabi Ismail. Sebab atas kejelasan dalam kitab Perjanjian Lama inilah umat Yahudi dan Nasrani tidak berhujah tentang siapakah yang menajadi korban kerana nama Nabi Ishak dengan jelas telah disebutkan.

Begitu juga dengan ulama2 Islam, pendapat yg popular mengatakan Ismail merupakan anak yang dikorbankan dan tidak kurang pula menyokong fakta2 bahawa Nabi Ishak sendiri yg dikorbankan oleh Nabi Ibrahim.

Akan saya jelaskan kemudian tentang fakta sejarah peristiwa kelahiran Ismail dan Ishak dan pengorbanan Nabi Ibrahim terhadap salah satu anaknya ini sekiranya ada permintaan dari pembaca2 Tukar Tiub.

Salam!

wakmeli berkata...

bro wat buku special la pasal pengalaman pengembaraan@pelarian bro kat negara2 yg penah bro pegi. sure laku sbb bro ramai peminat. kpd shahrizalisme n tanpa nama, cari la rujukan yg sah dan boleh dipercayai mengenai siapa yg dikorbankan oleh nabi ibrahim a.s. apa yg aku penah baca, nabi ismail lahir 12tahun lebih awal drp nabi ishak dan baginda yg dikorbankan. Wallahualam. kitab2 yahudi dan kristian byk menyeleweng so xyah la amek port. tangan2 manusia yg mengubahnya.