Pemuda AMANAH kecam tindakan AS di Venezuela
KUALA LUMPUR: Pemuda AMANAH mengecam keras tindakan ketenteraan unilateral oleh Amerika Syarikat (AS) yang didakwa membawa kepada penangkapan dan pemindahan paksa Presiden Venezuela, Nicolas Maduro susulan serangan berskala besar di Caracas.
EXCO Pemuda AMANAH Nasional, Sheikh Khuzaifah Sheik Abu Bakar, berkata tindakan ketenteraan unilateral yang diarahkan oleh Presiden Donald Trump itu satu pencabulan nyata terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Sebarang pertikaian undang-undang atau tuduhan jenayah terhadap mana-mana pemimpin negara seharusnya diselesaikan melalui mekanisme mahkamah antarabangsa yang diiktiraf, bukannya melalui pencerobohan fizikal dan penculikan politik.
"Tindakan AS ini bukan saja menggugat kestabilan rantau Amerika Latin, malah mewujudkan duluan yang berbahaya dalam hubungan antarabangsa.
"Tindakan 'diplomasi koboi' ini menghantar isyarat kekuatan ketenteraan boleh mengatasi lunas undang-undang antarabangsa (Rule of Law)," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sejak beberapa bulan lalu, pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, meningkatkan operasi ketenteraan di perairan berhampiran Venezuela, termasuk menyasarkan bot disyaki terbabit dalam penyeludupan dadah dan memintas kapal tangki minyak Venezuela.
AS mempertahankan tindakannya dengan merujuk Artikel 51 Piagam PBB, yang membenarkan tindakan mempertahankan diri jika berlaku serangan bersenjata.
Namun, Duta AS ke PBB, Mike Waltz, menegaskan tindakan itu bukan bertujuan menukar kerajaan, sebaliknya untuk membawa keadilan terhadap Maduro, yang didakwa terbabit dalam aktiviti jenayah dan keganasan.
Dalam pada itu, Sheikh Khuzaifah berkata, Pemuda AMANAH turut menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan rakyat Venezuela susulan laporan letupan di kawasan penempatan awam di Caracas yang mengakibatkan kehilangan nyawa serta menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk awam.
Sehubungan itu, mereka menuntut agar bukti hayat Presiden Maduro serta isterinya, Cilia Flores dikemukakan dengan segera dan hak asasi kemanusiaan mereka dihormati selaras dengan konvensyen antarabangsa.
"Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri menyatakan bantahan rasmi terhadap pencerobohan itu di peringkat PBB.
"Kami juga menggesa masyarakat antarabangsa untuk mendesak pengunduran segera tentera asing dari bumi Venezuela bagi mengelakkan pertumpahan darah yang lebih besar.
"Pemuda AMANAH Nasional berdiri teguh bersama prinsip keadilan sejagat dan menolak sebarang bentuk imperialisme moden yang mengancam keharmonian dunia," katanya.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan