Pemindahan hati bayi 4 bulan, bukti Malaysia miliki kepakaran taraf dunia
KUALA LUMPUR: Kejayaan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) melakukan pembedahan pemindahan hati terhadap seorang bayi lelaki berusia empat bulan pada November lalu membuktikan Malaysia memiliki kepakaran bertaraf dunia.
Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata bayi yang hanya seberat 6.2 kilogram (kg) itu mengalami kegagalan hati dan memerlukan pemindahan hati dengan segera daripada ibunya pada 25 November lalu.
Bagaimanapun, beberapa minit sebelum prosedur bermula, jantung bayi itu terhenti secara tiba-tiba sehingga mencetuskan suasana cemas di Unit Rawatan Rapi Pediatrik PPUM.
"Pasukan perubatan bertungkus-lumus melakukan resusitasi. Satu jam yang penuh debaran. Nyawa anak kecil ini benar-benar di hujung tanduk.
"Di sinilah kehebatan sebenar pasukan perubatan kita teruji. Bukan sahaja mereka berjaya menstabilkan kembali bayi itu, malah dengan penilaian klinikal yang tajam dan berani, mereka membuat keputusan berat iaitu untuk meneruskan pembedahan," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dzulkefly berkata meskipun prosedur berkenaan berisiko tinggi serta rumit memandangkan pembuluh darah bayi itu sangat halus, namun dengan kepakaran pakar bedah, pakar bius dan jururawat di PPUM, prosedur pembedahan pemindahan hati itu berjaya dilaksanakan.
"Kita ada bakat untuk mencipta keajaiban. Apa yang kita perlukan sekarang ialah sistem sokongan dan kesedaran rakyat untuk tampil berikrar sebagai penderma," katanya.
Dzulkelfy berkata beliau tekad untuk memacu Agenda Transplantasi Nasional 2026 yang bertujuan menstruktur semula dan memperkasakan perkhidmatan pemindahan organ di Malaysia termasuk meningkatkan kesedaran rakyat untuk tampil sebagai penderma organ.
Beliau turut mendoakan agar bayi lelaki itu segera sembuh serta membesar dengan sihat dan kuat.


1 ulasan:
Siapa doktor yang buat pembedahan? Bukan orang yang buat kenyataan? Bukan bukan bukan dia hanya menjadi juruhebah kah kah kah, cari siapa sebenarnya doktor yang berjaya, bagi dia Datuk bagi dia Tan Sri bagi dia Tun barulah anugerah, ini bagi Datuk kepada kongsi gelap, bagi kepada NGO haprak yang bodek, bagi kepada pemimpin jilat, main golf, main kayuh basikal, main bola kah kah kah, hentikan jual gelaran datuk dahulu, Kalai ada cucu bagus ini umur tak sampai 30 dah pakai Datuk hidup berakal mati jangan berhantu woit kah kah kah
Catat Ulasan