Majoriti rakyat kekal bimbang hala tuju negara di bawah Anwar, menurut kajian
Perdana Menteri Anwar Ibrahim terus berdepan cabaran untuk memenangi hati pengundi Melayu setelah dua tahun mengambil alih kuasa, menurut dapatan kajian terbaru dikeluarkan Merdeka Center yang turut mendapati majoriti rakyat merasakan negara menuju ke arah yang salah.
Kajian dilaksanakan pada November hingga Disember baru-baru ini oleh badan pemikir itu menunjukkan lebih separuh daripada kaum Melayu yang ditinjau berpendapat bahawa negara menuju ke arah yang salah.
Jumlah yang besar di kalangan kaum India turut berkongsi pandangan yang sama.
Sementara itu, kaum Cina, iaitu golongan yang memberikan sokongan padu kepada gabungan Pakatan Harapan pimpinan Anwar, didapati berbelah-bahagi mengenai hala tuju negara.
Merdeka Center bagaimanapun melaporkan kajiannya menunjukkan rating Anwar sebagai perdana menteri meningkat sedikit 1% berbanding tempoh awal November lalu, di mana 54% responden menyatakan berpuas hati dengan beliau.
Pada masa sama, jumlah mereka yang tidak puas hati turut menunjukkan peningkatan, iaitu 2% berbanding tempoh awal November lalu.
Secara keseluruhannya, 53% responden berpandangan negara menuju ke arah yang salah manakala 39% berpendapat negara bergerak ke arah yang betul.
"Sentimen menunjukkan tambah baik beransur-ansur selepas tempoh negatif yang lama, walaupun sentimen negatif kekal dengan saiz yang besar," menurut dapatan yang dikeluarkan Merdeka Center bersempena tahun kedua pentadbiran kerajaan campuran.
Mengikut kategori usia pula, majoriti mereka yang merasakan negara bergerak ke arah yang salah terdiri daripada golongan dalam lingkungan usia 31-40, 41-50 dan 51-60 tahun.
Dari kalangan 1,207 responden yang ditinjau, 47% menekankan masalah ekonomi diikuti dengan pentadbiran tidak cekap, ketidakstabilan politik, kepimpinan lemah dan isu perkauman.
Di bawah kategori ekonomi, sebab utama mereka merasakan hala tuju negara adalah salah ialah keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan, kos sara hidup yang tinggi, gaji minimum dan ringgit yang lemah.
"Isu-isu yang mendorong motivasi pengundi kekal tidak berubah: ekonomi dan inflasi. Kegusaran terhadap ketidakstabilan kian pudar, tetapi ada peningkatan dari segi identiti politik (perlindungan terhadap hak-hak Melayu)," tambahnya.
Majoriti (52%) meluahkan rasa tidak puas hati dengan prestasi kerajaan dalam menjana pertumbuhan ekonomi, 64% tidak puas hati dengan langkah mengawal kos sara hidup, manakala kurang 50% merasakan kerajaan memberikan bantuan kewangan kepada golongan susah.
Isu-isu politik termasuk kebajikan rakyat, ketidakstabilan politik dan korupsi.
Majoriti (52%) menyatakan rasa tidak puas hati dengan prestasi kerajaan melawan korupsi, walaupun ia menjadi slogan utama Anwar dalam setiap ucapan beliau dalam dua tahun pentadbirannya.
Sementara hanya 42% merasakan kerajaan mengamalkan kedaulatan undang-undang, satu lagi elemen yang sering ditekankan Anwar dalam menyokong tindakan pihak berkuasa terhadap pemimpin pembangkang.
Secara keseluruhan, dapatan tersebut antara lain menunjukkan rakyat masih berbelah-bahagi berhubung prestasi kerajaan, dengan hanya 51% berpuas hati manakala 47% lagi tidak berpuas hati walaupun selepas dua tahun pelbagai kempen dan slogan dilancarkan oleh pentadbiran Anwar yang menggunakan tema Madani.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan