Ahad, 1 Jun 2025

SEBELUM TERLAMBAT


Hamas menuntut perang dihentikan sepenuhnya dan tentera Israel berundur dari Gaza, namun syarat itu ditolak Israel


KAHERAH/ BAITULMAQDIS: Hamas semalam menyatakan pihaknya mahu beberapa pindaan terhadap cadangan gencatan senjata sementara yang disokong Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun utusan khas Presiden Donald Trump ke Asia Barat, Steve Witkoff menyifatkan maklum balas kumpulan itu sebagai 'sama sekali tidak boleh diterima'.

Hamas bersedia membebaskan 10 tebusan hidup serta menyerahkan mayat 18 lagi tebusan sebagai pertukaran kepada tahanan Palestin di penjara Israel.

Namun, Hamas tetap menegaskan tuntutan agar perang dihentikan sepenuhnya dan tentera Israel berundur dari Gaza namun syarat itu ditolak Israel.

Seorang pegawai Hamas menggambarkan maklum balas itu sebagai 'positif' tetapi memerlukan sedikit pindaan, tanpa memperincikan bentuk perubahan diminta.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata kerajaannya bersetuju dengan cadangan Witkoff, namun Hamas terus menolak.

"Israel akan terus berusaha membawa pulang semua tebusan dan menewaskan Hamas," katanya.

Cadangan yang dikemukakan mengesyorkan gencatan senjata selama 60 hari dan pertukaran 28 daripada 58 tebusan dengan lebih 1,200 tahanan Palestin, selain kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Pegawai kanan Hamas, Basem Naim, menafikan kumpulan itu menolak cadangan terbabit, tetapi menuduh Israel tidak mematuhi apa yang sudah dipersetujui dan mendakwa Witkoff berat sebelah terhadap Israel.

Seorang pegawai Palestin yang rapat dengan rundingan memberitahu Reuters, Hamas mahu pembebasan tebusan dilakukan dalam tiga fasa sepanjang tempoh 60 hari dan pengagihan bantuan yang lebih meluas.

Pihak berkenaan juga menuntut jaminan cadangan itu akan membawa kepada gencatan senjata kekal.Israel sebelum ini menolak tuntutan Hamas dan sebaliknya mahukan kumpulan pejuang itu meletakkan senjata serta Hamas dibubarkan sebagai kuasa tentera dan pentadbiran, selain pembebasan semua baki 58 tebusan.

Trump sebelum ini menyatakan keyakinan bahawa persetujuan gencatan senjata semakin hampir, dengan Rumah Putih turut mengesahkan Israel sudah bersetuju dengan syarat terkini.

Namun, Witkoff pula menyatakan platform sosial X, maklum balas Hamas sama sekali tidak boleh diterima dan hanya membantutkan proses rundingan.

Utusan khas AS itu menggesa Hamas supaya menerima kerangka cadangan gencatan senjata sebagai asas untuk rundingan tidak langsung yang boleh dimulakan segera minggu ini.

Dalam perkembangan berkaitan, tentera Israel semalam (Sabtu) mengesahkan telah membunuh Mohammad Sinwar, ketua Hamas di Gaza dalam serangan udara pada 13 Mei — seperti diumumkan Netanyahu sebelum ini.

Mohammad adalah adik kepada Yahya Sinwar, pemimpin kanan Hamas yang terbunuh dan dalang serangan ke atas Israel pada Oktober 2023.

Sehingga kini, Hamas masih belum mengesahkan atau menafikan kematian itu.

Siri serangan udara dan darat Israel dilancarkan semula sejak Mac selepas tempoh gencatan senjata dua bulan.

Tentera Israel berkata mereka terus menyasarkan lokasi strategik termasuk lokasi penembak tepat dan mendakwa telah membunuh ketua pembuatan senjata Hamas.

Serangan berterusan itu telah mengosongkan kawasan besar di sempadan Gaza, memaksa lebih dua juta penduduk berhimpit di kawasan pantai dan sekitar bandar Khan Younis di selatan.

Sejak awal Mac, Israel mengenakan sekatan penuh terhadap semua bekalan masuk ke Gaza bagi melemahkan Hamas, tetapi kini berdepan tekanan antarabangsa susulan krisis kemanusiaan semakin meruncing.

Semalam, agensi bantuan melaporkan bahawa puluhan trak Program Makanan Sedunia (WFP) yang membawa tepung ke kedai roti di Gaza dirampas oleh kumpulan bersenjata dan kemudian dirompak oleh penduduk yang terdesak akibat kelaparan berpanjangan.

"Selepas hampir 80 hari sekatan penuh, penduduk kini kelaparan dan tidak lagi sanggup melihat makanan berlalu di depan mata," kata WFP dalam satu kenyataan.

Insiden terbaharu rompakan bantuan di Gaza sekali lagi menyerlahkan situasi keselamatan yang lemah dan menggugat penghantaran bantuan, meskipun Israel telah melonggarkan sekatan sejak awal bulan lalu.

Jumaat lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan keadaan di Gaza kini paling buruk sejak perang bermula 19 bulan lalu dengan keseluruhan populasi berdepan risiko kebuluran, meskipun bantuan berskala kecil mula disambung semula.

"Bantuan yang dihantar sekarang hanya menjadi 'bahan ejekan' kepada tragedi besar yang sedang berlaku di depan mata," kata ketua agensi utama PBB untuk bantuan rakyat Palestin, Philippe Lazzarini di platform X.

Israel membenarkan sejumlah kecil trak dari WFP dan kumpulan antarabangsa lain membawa tepung ke kedai roti di Gaza, namun penghantaran sering tergendala akibat insiden rompakan berulang.

Satu sistem lain yang dikendalikan kumpulan disokong AS, Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) juga sedang mengagihkan makanan dan bantuan di tiga lokasi khusus.

Namun, kumpulan bantuan enggan bekerjasama dengan GHF yang dikatakan tidak berkecuali dan menyifatkan jumlah bantuan yang dibenarkan masuk masih jauh daripada mencukupi untuk populasi yang kini berisiko kebuluran.

Ketua gabungan kumpulan bantuan Palestin, Amjad Al-Shawa, berkata situasi terdesak itu sedang dieksploitasi kumpulan bersenjata yang menyerang konvoi bantuan.

Beliau menegaskan ratusan lagi trak diperlukan setiap hari dan menuduh Israel mengamalkan 'dasar kebuluran secara sistematik'.

Namun Israel menafikan dakwaan itu dan menegaskan pihaknya membantu penghantaran bantuan termasuk menyokong pusat agihan GHF serta membenarkan trak bantuan lain memasuki Gaza.

Sebaliknya, Israel menuduh Hamas mencuri bekalan yang sepatutnya disalurkan kepada orang awam dan menggunakannya untuk mengukuhkan penguasaannya di Gaza yang telah ditadbir kumpulan itu sejak 2007.Hamas menafikan tuduhan rampasan bekalan dan telah melaksanakan hukuman mati terhadap beberapa individu yang disyaki terbabit dalam perbuatan itu.

Israel melancarkan kempen ketenteraan di Gaza sebagai tindak balas terhadap serangan yang diketuai Hamas ke atas komuniti di selatan Israel pada 7 Oktober 2023 yang mengorbankan 1,200 orang menurut anggaran Israel, dan menyaksikan 251 individu diculik dan dibawa ke Gaza.

Serangan itu memusnahkan sebahagian besar kawasan di Semenanjung Gaza, mengorbankan lebih 54,000 rakyat Palestin serta memusnahkan atau merosakkan majoriti bangunan hingga menyebabkan kebanyakan penduduk kini tinggal di tempat perlindungan sementara.


NEGARA ARAB

DISEBELAH 

PALESTIN :

SYRIA MESIR

JORDAN 

WAJIB HANTAR

ASKAR BANTU

PALESTIN

AMIN

SEBELUM 3 JUTA

WARGA PALESTIN

DISEMBELIH

OLEH ZIONIS

BLACKROCK

KHALAS

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hari hari ku kelam semenjak hari pertama. Makanan ku tidak lagi enak. Tidurku amat singkat. Biar jauh beribu batu. Biar aku seorang biasa. Biar aku bersendirian saja. Biar aku sedih. Aku mahu bersama Gaza, rakan yang aku tidak kenal itu.