Israel berikrar akan bina negara Yahudi di Tebing Barat
BAITULMAQDIS: Israel berikrar untuk membina sebuah negara Yahudi-Israel di kawasan Tebing Barat dan memberi amaran akan menghancurkan Gaza jika Hamas tidak patuh kepada syarat gencatan senjata terkini.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, membuat ikrar itu ketika lawatannya ke pos penempatan haram Sa-Nur di utara Tebing Barat, ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan gencatan senjata hampir tercapai.
Kenyataan Katz dibuat ketika krisis kemanusiaan di Gaza terus merosot dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kesan kebuluran sudah mula kelihatan dalam kalangan penduduk Gaza.
Katz berkata, Hamas mesti menerima cadangan gencatan senjata dikemukakan oleh utusan AS, Steve Witkoff, atau berdepan kemusnahan, selepas Hamas menyatakan syarat terbaharu itu tidak memenuhi tuntutan mereka.
Israel sebelum ini menyatakan bahawa pemusnahan Hamas adalah salah satu matlamat utama dalam peperangan itu, dengan rundingan menamatkan hampir 20 bulan perang di Gaza masih belum mencapai kemajuan yang bermakna.
Di AS, Trump menegaskan mereka sangat hampir mencapai perjanjian di Gaza dan menambah perkara itu akan dimaklumkan hari ini atau mungkin esok.
Jurucakap agensi kemanusiaan PBB, Jens Laerke, menyifatkan Gaza sebagai tempat paling lapar di dunia dan saban hari keadaan bertambah teruk.
"Ia satu-satunya kawasan yang ditakrifkan, negara atau wilayah tertentu dalam sesebuah negara, di mana seluruh penduduknya diancam risiko kebuluran," katanya.
Sementara itu, satu persidangan antarabangsa akan diadakan di ibu pejabat PBB yang dianjurkan bersama Perancis dan Arab Saudi dan dijadualkan pada Jun ini.
Ia bertujuan menghidupkan semula idea penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin, dengan lebih 150 negara anggota PBB sebelum ini menyatakan sokongan.
Semalam, satu sumber diplomatik Arab Saudi memaklumkan bahawa Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan, akan mengetuai delegasi ke kota Ramallah di Tebing Barat.
Beliau akan menjadi Menteri Luar Arab Saudi pertama yang melawat Tebing Barat sejak ia diduduki oleh Israel pada 1967.
Sebelum perang di Gaza meletus, Arab Saudi dikatakan hampir mengiktiraf Israel.
Namun, tahun lalu, pemerintah de facto negara itu, Putera Mahkota Mohammed Salman, menegaskan bahawa pengiktirafan tidak akan berlaku tanpa penubuhan negara Palestin yang merdeka. - AFP


2 ulasan:
TT bila nak bawak pendekar kita pi sana? Jangan tunggu lama lama, nanti lama lama, nanti dia di ambil orang.
Kah kah kah jiran sebelah buat don't know, jiran sebelah tak buka pintu, siapa naik bayar minyak siapa nak bayar elaun siapa nak belanja ronda? Sini pun payah nak berkumpul nak pergi jauh ke situ? Aturkan kapal terbang tengok berapa ramai sanggup amin kah kah kah
Catat Ulasan