Delegasi Hamas tinggalkan Doha selepas rundingan gencatan senjata tergendala
GAZA: Delegasi perunding Hamas dilapor meninggalkan Doha, Qatar semalam menuju ke Turkiye bagi membincang perkembangan terkini rundingan gencatan senjata Gaza yang kini tergendala.
Menurut seorang pegawai Hamas, delegasi berkenaan akan mengadakan beberapa pertemuan dengan pegawai kanan Turkiye.
"Satu delegasi kepimpinan tertinggi Hamas diketuai Presiden Majlis Kepimpinan, Mohammed Darwish bersama pasukan perunding yang diketuai oleh Khalil al-Hayya, telah berlepas dari Doha ke Istanbul.
"Delegasi itu akan mengadakan beberapa pertemuan dengan pegawai Turkiye berhubung perkembangan terkini dalam rundingan gencatan senjata yang terhenti sejak minggu lalu," katanya.
Lebih dua minggu, perantara di Qatar berulang-alik antara delegasi Israel dan Hamas dalam usaha mencapai titik kemajuan dalam rundingan tidak langsung bagi melaksanakan gencatan senjata serta pembebasan tebusan di Gaza, hampir dua tahun selepas perang tercetus.
Amerika Syarikat (AS) turut menarik keluar perundingnya dari rundingan terbabit minggu lalu, sejajar dengan tindakan Israel.
Wakil Khas AS ke Asia Barat, Steve Witkoff, menyalahkan Hamas atas kegagalan mencapai perjanjian sambil berkata Washington akan mempertimbang pilihan alternatif.
Ahli Biro Politik Hamas, Bassem Naim, Jumaat lalu berkata perbincangan terbaru memberi tumpuan butiran penarikan keluar tentera Israel dari Semenanjung Gaza.
Israel terus mengabaikan desakan antarabangsa untuk melaksanakan gencatan senjata di Gaza, sementara pakar di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam memberi amaran bahawa penduduk di wilayah Palestin semakin dihimpit kebuluran.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan