Keluarga mohon kubur Zara Qairina digali semula, cari punca sebenar kematian
KUALA LUMPUR – Keluarga pelajar Tingkatan 1, Sekolah Menengah Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Zara Qairina Mahathir memohon satu inkues diadakan bagi menentukan sama ada terdapat unsur jenayah dalam kematian gadis malang itu.
Peguam yang mewakili keluarga allahyarham, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri memaklumkan, ibu mangsa, Noraidah Lamat, 45, turut memohon supaya kubur anaknya digali semula bagi tujuan inkues.
Tambahnya, permohonan itu dinyatakan dalam satu laporan polis tambahan yang dibuat di Balai Polis Sipitang pada 30 Julai lalu yang turut meminta agar pihak polis melaksanakan siasatan dengan teliti.
“Anak guam kami berpendapat bahawa pihak polis sepatutnya melakukan bedah siasat terhadap mayat Zara bagi membantu siasatan. Ini kerana tidak ada bedah siasat dilakukan terhadap mayat Zara sebelum beliau dikebumikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, Hamid dan Shahlan memaklumkan, laporan polis itu juga menyatakan keraguan keluarga mangsa terhadap punca kematian Zara Qairina yang dikhabarkan jatuh dari tingkat tiga bangunan.
“Ini kerana beliau (Noraidah) mempunyai rakaman perbualan telefon dengan Zara Qairina yang mana anaknya itu memaklumkan terdapat pelajar-pelajar senior yang sering mengganggu dan/atau membulinya.
“Antaranya ialah Kak M yang pernah mengugut Zara Qairina dengan berkata “kalau aku touch-touch kau ni, berdarah kau ni,” kata kenyataan itu lagi.
Tambahan pula katanya, wajah Zara Qairina tidak mempunyai kecederaan fizikal, lebam atau luka yang lazimnya berkait kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi selain tindakan pihak sekolah yang meminta anak guam kami agar tidak membuat laporan polis.
Menurut Hamid dan Shahlan, surat permohonan agar inkues bagi mencari punca sebenar kematian Zara Qairina dapat dilaksanakan telah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara di Kota Kinabalu, semalam.
Katanya, mereka memohon agar Jabatan Peguam Negara dapat melaksanakan kuasa di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah untuk mengarahkan majistret mengadakan satu inkues bagi menentukan punca kematian si mati dengan kadar segera.
Dalam pada itu, Hamid dan Shahlan turut menafikan tuduhan yang mengatakan kematian Zara Qairina adalah berpunca daripada ibunya dan dalam masa sama meminta pihak yang mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan untuk tampil ke balai polis bagi membantu siasatan.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan