Kerajaan jamin selesaikan isu kelayakan BUDI95 sebelum Selasa
BUTTERWORTH – Kerajaan akan memastikan segala isu teknikal di bawah inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) diselesaikan segera sebelum pelaksanaan penuh penyasarannya pada 30 September ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, tiada sebarang isu teknikal serius dilaporkan susulan pelaksanaan hari pertama penyasaran subsidi RON95 membabitkan kumpulan pertama penerima, iaitu anggota polis dan tentera, semalam.
Bagaimanapun, katanya, terdapat beberapa aduan melibatkan pengesahan kelayakan berdasarkan lesen memandu yang akan diselesaikan selewat-lewatnya menjelang Selasa ini.
“Semua proses (pembelian petrol) berjalan dengan lancar, namun kita ada terima beberapa aduan yang kata mereka ada lesen sah dan MyKad, tetapi semakan mendapati tidak layak.
“Kita bincang dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan akan diselesaikan secepat mungkin sebelum 30 September,” katanya kepada pemberita selepas Program BUDI95: Pengisian Minyak Bersubsidi RON95 membabitkan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di sebuah stesen minyak di Raja Uda di sini, hari ini.
Tambah Hui Ying, orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau untuk membuat semakan kelayakan diminta menghubungi talian 1300-88-9595 untuk pihaknya menyelesaikan segera sebarang isu.
Beliau turut menyeru pengguna agar tidak tergesa-gesa membuat pembelian petrol bagi mengelakkan kesesakan selain berpuas hati dengan pembelian rakyat pada hari pertama dan kedua pelaksanaan bagi kelompok awal.
Media pada 22 September lalu melaporkan Anwar Ibrahim pada mengumumkan inisiatif BUDI95 yang merupakan hasil daripada usaha tadbir urus yang baik serta pembersihan amalan ketirisan kewangan negara.
Semua warganegara tanpa mengira tahap pendapatan yang mempunyai lesen memandu aktif akan secara automatik layak menikmati manfaat BUDI95 yang membabitkan seramai kira-kira 16.4 juta orang. –


Tiada ulasan:
Catat Ulasan