Rabu, 31 Disember 2025

APA KATA KADIR JASIN TENTANG PERLIS


PERLIS 

KADIR JASIN

PADA tahun yang akan berakhir ini, 2025, penduduk Perlis dianggarkan kira-kira 297,800 orang.

2. Sehingga 23 Disember 2025, bilangan pemilih yang diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah 199,718 orang.

3. Maka, dari aspek politik dan demografi Perlis adalah petite région – negeri kecil.

4. Logiknya, sebuah negeri yang kecil, aman dan damai mudah ditadbir.

5. Tetapi, buat masa ini, logik itu tidak berlaku. Politik Perlis dalam gelora dan percikannya telah merebak hingga ke ibu negara.

6. Silap-silap, gabungan Melayu-Islam Perikatan Nasional (PN) boleh hancur dan Melayu-Islam tambah pecah belah.

7. Saya tidak pasti hantu, jembalang, polong dan iblis manakah yang telah merasuk tubuh badan Ahli Dewan Undangan PN di dawlah saghirah itu.

8. Boleh jadi roh manusia prasejarah yang tengkoraknya ditemui di Bukit Keteri dan Semadong telah bangkit menuntut pembelaan.

9. Apapun mitos dan teori konspirasinya, tsunami politik di kalangan 

14 orang Ahli Dewan Undangan PN Perlis itu telah menjerumuskan kepimpinan PN dalam krisis.

10. Dewan Undangan pun tidaklah besar mana. Ada 15 orang ahli saja. PN 14 (sembilan PAS dan lima Bersatu) dan PH/PKR satu.

11. Kita boleh faham kekecewaan PAS. Mereka adalah majoriti, tapi Menteri Besar dari parti mereka, Mohd Shukri Ramli telah ditekan untuk bersara, kononnya atau sebab kesihatan.

12. Lojiknya, lantiklah seorang Adun PAS yang lain yang sihat. Sebaliknya, wakil Bersatu, Abu Bakar Hamzah, dengan pantas diangkat sumpah jadi Menteri Besar. Tidak peliklah kalau PAS kecewa dan tidak mahu terima lantikan Exco.

13. Lima Bersatu campur tiga Adun Pas yang belot dan dipecat, ada lapan.

14. Di Kuala Lumpur, Muhyiddin Md Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN pusat mulai 1 Januari 2026 dengan diikuti oleh beberapa orang pengikut tegar beliau.

15. Laporan media arus perdana memetik Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan sebagai berkata, PAS bersedia untuk menerajui PN.

16. Kesimpulannya, kalau inilah pratayang kepada apa yang akan berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-16 nanti, orang Melayu boleh lupakan saja slogan dan impian perpaduan Melayu-Islam.

Terima kasih

Tiada ulasan: