Davos jadi medan pertempuran politik susulan ancaman Trump terhadap Greenland
BEIJING: Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, yang secara tradisinya platform utama membincangkan trend dan kerjasama ekonomi global, kini berubah menjadi medan pertempuran politik ketika ketegangan semakin meningkat susulan usaha Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mahu mengambil alih Greenland.
Laporan Xinhua, ketidakhadiran Denmark pada forum tahun ini isyarat jelas ketegangan politik yang sedang berlaku.
Trump mengetuai delegasi AS terbesar dalam sejarah WEF, termasuk Setiausaha Negara Marco Rubio, Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent; Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick dan utusan khasnya, Steve Witkoff sekali gus memberi isyarat pembabitan aktif pentadbiran AS dalam membentuk wacana forum tahun ini.
Forum itu, yang berlangsung dari Isnin hingga esok, diadakan bertemakan "A Spirit of Dialogue".
Pada hujung minggu, Trump mengumumkan tambahan tarif sebanyak 10 peratus bermula 1 Februari ke atas lapan negara Eropah termasuk Denmark, Britain, Perancis dan Jerman, yang kesemuanya menentang pengambilalihan Greenland, sebuah wilayah autonomi Denmark.
Sebagai tindakan lanjut yang dilihat mempersendakan pemimpin Eropah, Trump kelmarin berkongsi imej janaan kecerdasan buatan (AI) di platform Truth Social yang memaparkan beliau, diikuti Naib Presiden JD Vance dan Rubio, memacak bendera AS di Greenland dengan papan tanda bertulis "US territory est. 2026" .
Imej AI kedua menunjukkan Trump di Pejabat Oval bersama pemimpin Eropah, membentangkan peta yang menunjukkan Greenland, Kanada dan Venezuela dilitupi bendera AS.
"Kebuntuan isu Greenland telah mengganggu hari-hari pembukaan forum yang sebelum ini dijangka memfokuskan kepada AI, pertumbuhan ekonomi dan perubahan iklim," lapor majalah TIME, Selasa lalu.
Menjelang ucapan Trump, pemimpin dunia "memulakan minggu di Davos dengan kecaman secara halus terhadap tindakan Trump," menurut majalah itu.
Kelmarin, Perdana Menteri Kanada, Mark Carney memberi amaran mengenai "perpecahan" dalam orde dunia semasa ucapannya di forum berkenaan.
Beliau berkata, dalam era persaingan kuasa besar, "orde berasaskan peraturan semakin pudar" dan "pihak yang kuat melakukan apa yang mereka boleh, manakala yang lemah terpaksa menderita."
Tanpa menamakan Trump, Carney merujuk kepada "hegemoni Amerika."
Beliau berkata: "Baru-baru ini, kuasa besar mula mengguna integrasi ekonomi sebagai senjata.
"Tarif sebagai pengaruh. Infrastruktur kewangan sebagai paksaan. Rangkaian bekalan sebagai kelemahan untuk dieksploitasi."
Sambil menyatakan institusi multilateral seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) "semakin merosot," Carney menyeru kuasa pertengahan seperti Kanada untuk "bertindak bersama kerana jika anda tidak berada di meja perundingan, anda akan menjadi mangsa ."
Beliau turut menyatakan sokongan padu terhadap Greenland dan Denmark serta menentang tarif yang dicadangkan oleh AS.
Nada yang sama disuarakan Presiden Perancis Emmanuel Macron yang berkata: "Ia adalah peralihan ke arah dunia tanpa peraturan. Di mana undang-undang antarabangsa dipijak dan satu-satunya undang-undang yang penting adalah undang-undang rimba, manakala cita-cita imperialis kembali muncul."
Macron berkata, Kesatuan Eropah (EU) "tidak seharusnya teragak-agak" untuk menggunakan mekanisme anti-paksaan sebagai tindak balas terhadap ancaman tarif AS.
"Kami lebih memilih rasa hormat daripada pembuli. Dan kami lebih memilih kedaulatan undang-undang daripada kekerasan," kata Macron.
Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen turut menyatakan sokongan penuh EU terhadap Greenland dan Denmark sambil menegaskan "kedaulatan dan integriti wilayah mereka tidak boleh dirunding."
Tanpa merujuk kepada Trump, beliau menyifatkan cadangan tarif tambahan itu sebagai satu kesilapan, terutamanya antara sekutu lama.
Laporan Risiko Global 2026 oleh WEF, antara penerbitan utama yang dikeluarkan menjelang mesyuarat tahunan itu, menunjukkan risiko geopolitik dan ekonomi meningkat dalam era persaingan baharu.
Laporan itu mengenal pasti konfrontasi geoekonomi sebagai risiko utama bagi 2026, diikuti oleh konflik antara negara, cuaca ekstrem, polarisasi masyarakat serta maklumat salah dan palsu.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan