Tan Sri disyaki tipu wang pelabur lebih RM300 juta direman 4 hari
KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri disyaki menipu wang pelabur dipercayai mencecah jumlah lebih RM300 juta sejak dua tahun lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika mengesahkan perkara itu berkata suspek lelaki berusia 60-an yang juga pemilik sebuah syarikat swasta dan ahli kewangan Islam ditahan selepas tiba di ibu pejabat agensi terbabit di Putrajaya, semalam.
Katanya, SPRM memperoleh kebenaran perintah reman selama empat hari hingga Ahad ini terhadap suspek itu di mahkamah Putrajaya, pagi tadi, bagi membantu siasatan lanjut.
Selain itu, beliau berkata, SPRM turut menahan seorang wanita yang juga ahli Lembaga Pengarah syarikat terbabit yang berpangkalan di Kuala Lumpur, kelmarin, untuk membantu siasatan kes sama.
"Kita mendapat maklumat bahawa Tan Sri berusia 60-an itu dan seorang wanita berumur 50-an yang memegang jawatan ahli Lembaga Pengarah sebuah syarikat pelaburan, disyaki terbabit penipuan pelabur berskala besar.
"Ramai pelabur dari serata negara dilaporkan kehilangan ratusan juta ringgit. Malah, kita menganggarkan kerugian dialami pelabur itu mencecah lebih RM300 juta sejak dua tahun lalu.
"Pelaburan dipercayai didalangi dua suspek berkenaan adalah pelbagai dengan dijanjikan pulangan yang lumayan," katanya kepada pemberita pada Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Azam menasihati orang ramai supaya tidak mudah terjebak dengan kegiatan pelaburan yang akhirnya terpaksa menanggung kerugian.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan