Iran beri amaran akan membalas jika Trump lancar serangan
DOHA: Amerika Syarikat (AS) mula menarik keluar sebahagian anggota dari pangkalan tenteranya di Asia Barat, kata seorang pegawai AS.
Tindakan itu menyusuli amaran seorang pegawai kanan Iran bahawa Tehran telah memberi amaran kepada negara jiran bahawa ia akan menyerang pangkalan AS di sana sekiranya Washington melancarkan serangan.
Ketika kepimpinan Iran berusaha meredakan pergolakan dalaman paling buruk pernah dihadapi Republik Islam itu, Tehran dilihat cuba menghalang ancaman berulang Presiden AS, Donald Trump, untuk campur tangan bagi menyokong penunjuk perasaan anti-kerajaan.
Seorang pegawai AS yang enggan dikenali berkata, langkah menarik keluar sebahagian anggota dari pangkalan utama di rantau itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga berikutan ketegangan yang memuncak.
"Semua petunjuk menunjukkan serangan AS mungkin berlaku dalam masa terdekat, namun itulah juga cara pentadbiran ini bertindak bagi memastikan semua pihak sentiasa berwaspada.
"Ketidakpastian adalah sebahagian daripada strategi," kata seorang pegawai tentera Barat kepada Reuters.
Bagaimanapun, di Rumah Putih, Trump membayangkan beliau mengambil pendekatan tunggu dan lihat terhadap krisis berkenaan.
Trump memberitahu wartawan bahawa beliau dimaklumkan pembunuhan dalam tindakan keras rejim Iran terhadap protes semakin berkurangan dan percaya ketika ini tiada rancangan untuk pelaksanaan hukuman mati secara besar-besaran.
Apabila ditanya siapa yang memberitahunya mengenai perkembangan itu, Trump menyifatkan sumber berkenaan sebagai 'sumber yang sangat penting di pihak sana'.
Presiden itu tidak menolak kemungkinan tindakan ketenteraan AS, sambil berkata pihaknya akan melihat bagaimana proses itu berjalan, sebelum menambah bahawa pentadbirannya menerima satu 'kenyataan yang sangat baik' daripada Iran.
Dua pegawai Eropah berkata campur tangan ketenteraan AS boleh berlaku dalam tempoh 24 jam akan datang.
Seorang pegawai Israel pula berkata, kelihatan Trump telah membuat keputusan untuk campur tangan, walaupun skop dan masa tindakan itu masih belum jelas.
Qatar memaklumkan pengurangan anggota di Pangkalan Udara Al Udeid, pangkalan terbesar AS di Asia Barat, dibuat 'sebagai tindak balas terhadap ketegangan serantau semasa'.
Tiga diplomat berkata, sebahagian anggota telah diarahkan meninggalkan pangkalan itu.
Namun, tiada petunjuk pengunduran besar-besaran seperti pemindahan tentera ke stadium bola sepak dan pusat beli-belah yang berlaku beberapa jam sebelum serangan peluru berpandu Iran tahun lalu.
Britain juga menarik keluar sebahagian anggotanya dari sebuah pangkalan udara di Qatar menjelang kemungkinan serangan AS, lapor akhbar The I Paper.
Kementerian Pertahanan Britain bagaimanapun belum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Trump sejak beberapa hari lalu secara terbuka mengancam untuk campur tangan di Iran tanpa memberikan perincian.
Dalam temu bual bersama CBS News pada Selasa, beliau berikrar akan mengambil "tindakan yang sangat tegas" sekiranya Iran melaksanakan hukuman mati terhadap penunjuk perasaan.
Pegawai kanan Iran yang enggan dikenali berkata, Tehran meminta sekutu AS di rantau itu menghalang Washington daripada menyerang Iran.
"Tehran telah memaklumkan negara serantau, daripada Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) hingga Turkiye, bahawa pangkalan AS di negara terbabit akan diserang jika AS menyasarkan Iran," katanya.
Hubungan langsung antara Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi, dan Wakil Khas AS, Steve Witkoff, turut digantung, tambah pegawai itu.
AS mempunyai pasukan di seluruh rantau berkenaan termasuk ibu pejabat hadapan Pemerintahan Pusat (CENTCOM) di Al Udeid, Qatar, serta ibu pejabat Armada Kelima Tentera Laut AS di Bahrain.
Pihak berkuasa Iran pula berusaha mempamerkan imej bahawa mereka masih mendapat sokongan rakyat. Televisyen kerajaan Iran menyiarkan rakaman perarakan pengebumian besar-besaran bagi individu yang terbunuh dalam rusuhan di Tehran, Isfahan, Bushehr dan bandar lain.
Orang ramai dilihat mengibarkan bendera serta gambar Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei, selain mengangkat sepanduk dengan slogan menentang rusuhan. - REUTERS


Tiada ulasan:
Catat Ulasan