TAHNIAH PDRM
SALUT DAN
TABEK HORMAT
AMIN
Polis rampas dadah bernilai RM21 juta, dua sindiket tumpas
SHAH ALAM – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah untuk pasaran tempatan dan antarabangsa dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM21 juta.
Pengarah JSJN, Hussein Omar Khan berkata, kejayaan itu hasil risikan berterusan serta penguatkuasaan bersepadu yang dilaksanakan pihaknya dalam usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah.
“Dua operasi ini membuktikan komitmen berterusan JSJN dalam menumpaskan sindiket yang aktif di kawasan Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.
Hussein Omar Khan menunjukkan sepucuk pistol dan peluru yang dirampas daripada sindiket sindiket membabitkan warga asing yang beroperasi di perairan Selangor dan Selat Melaka menerusi Ops Tapis.
Dedah beliau, kes pertama melibatkan Op Bena yang dijalankan pada 12 Februari lalu, membabitkan empat serbuan berasingan dan penahanan lima suspek tempatan berusia antara 27 hingga 37 tahun.
Dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk methamphetamine, heroin, MDMA, ganja, ekstasi dan erimin 5, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM8.4 juta.
“Suspek pertama dan kedua berperanan sebagai ‘runner’, suspek ketiga sebagai ahli sindiket, manakala suspek keempat dikenal pasti sebagai ketua sindiket. Suspek kelima pula merupakan kekasih kepada ketua sindiket,” katanya.
Tambah beliau, sindiket tersebut dipercayai aktif sejak Julai 2025 dan menggunakan modus operandi menyembunyikan dadah dalam kenderaan yang ditinggalkan di lokasi tertentu sebelum diambil pembeli.
“Hanya seorang suspek didapati positif dadah hasil ujian saringan awal, manakala jumlah dadah yang dirampas boleh merosakkan kira-kira 793,000 pengguna,” ujarnya.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.
Dalam kes kedua, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sabak Bernam berjaya menumpaskan sindiket membabitkan warga asing yang beroperasi di perairan Selangor dan Selat Melaka menerusi Ops Tapis.
Tiga suspek berusia antara 26 hingga 53 tahun ditahan dalam dua serbuan di Sekinchan, termasuk rampasan lebih 170 kilogram dadah pelbagai jenis serta sepucuk pistol bersama peluru.
“Hasil rampasan kes kedua ini dianggarkan bernilai RM12.6 juta dan mampu merosakkan kira-kira 830,000 pengguna,” katanya lagi.
Tambah beliau, sindiket tersebut dipercayai aktif sejak awal 2021 dan menggunakan bot pancung sebagai pengangkutan untuk menghantar dadah ke negara jiran.
Semua suspek disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, selain tindakan pelucuthakan harta turut diambil.
“Keseluruhan kejayaan ini adalah hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam. PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah merupakan kesalahan serius yang mengancam keselamatan, kesejahteraan rakyat serta maruah negara. -MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette


1 ulasan:
Yaaay pulis kaya...dari konstabel ker direktor..kongsi kongsi raaayaaa..nilai jual balik berapa? Saja tanya sebab bab lupus ini bawah akta rahsia..kakakaka..
Catat Ulasan