Kerajaan Thailand pantau rapi peningkatan kes COVID-19 varian Omicron XEC
BANGKOK: Kes COVID-19 di Thailand menunjukkan peningkatan mendadak dengan sejumlah 71,067 jangkitan dan 19 kematian dilaporkan antara 1 Januari hingga 14 Mei tahun ini, menurut Pusat Maklumat COVID-19 negara itu.
Jumlah kes dilapor terus meningkat, dengan dua kluster besar dikenal pasti.
Peningkatan itu susulan cuti perayaan Songkran (minggu ke-16) yang menyaksikan peningkatan kes secara berperingkat, lapor portal berita VietnamPlus.
Data daripada Jabatan Sains Perubatan menunjukkan kewujudan varian Omicron XEC yang semakin meningkat di Thailand sepanjang Januari dan Februari.
Pihak berkuasa menggesa orang ramai supaya terus berwaspada, memantau simptom, kerap mencuci tangan serta memakai pelitup muka di kawasan sesak.
Varian XEC adalah strain rekombinan baharu Omicron yang kali pertama dikesan di Jerman pada Jun 2024. Ia adalah gabungan dua subvarian, iaitu KS.1.1 (FLiRT) dan KP.3.3 (FLuQE).
XEC membawa pelbagai mutasi yang membolehkannya merebak dengan lebih pantas dan kini dikesan di sekurang-kurangnya 15 negara di Eropah, Amerika Utara dan Asia.
Lebih 550 jujukan genetik daripada 27 negara direkodkan. Data dari Amerika Syarikat (AS), United Kingdom dan China menunjukkan XEC merebak 84 hingga 110 peratus lebih pantas berbanding subvarian Omicron lain, dan menyumbang antara 10 hingga 20 peratus kes jangkitan baharu di beberapa wilayah. - AGENSI


Tiada ulasan:
Catat Ulasan