Harga dijangka naik antara 10 hingga 20 peratus
KUALA LUMPUR – Perluasan kutipan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) melonjakkan kos perusahaan kecil dan sederhana dan keadaan itu dijangka mendorong kenaikan harga barang.
Dasar bermula 1 Julai dikatakan bertindih dengan kenaikan kos minyak, tarif elektrik, pekerja asing dan sewa, sekali gus meningkatkan beban perniagaan.
Sinchew Daily melaporkan keadaan itu menyebabkan peniaga terpaksa menaikkan harga jualan antara 10 hingga 20 peratus.
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) Malaysia, Chin Chee Seong berkata, pelbagai dasar baharu yang dilaksanakan secara serentak sangat membebankan SME.
Beliau berkata, kerajaan sepatutnya mempertimbangkan kemampuan dan tekanan yang dialami SME dan bukannya membiarkan reformasi menumbangkan perusahaan.
“Kami berharap kerajaan akan mempertimbangkan tekanan besar yang sedang dihadapi peniaga dan melaksanakan strategi pentadbiran yang lebih berhati-hati dan fleksibel.
“Kutipan SST boleh dilakukan, tetapi boleh bermula dengan dua hingga tiga peratus supaya peniaga mempunyai lebih banyak ruang untuk mengaturkan aliran tunai.
“Pada masa yang sama, pengguna juga tidak akan berasa tertekan dengan kenaikan harga secara mendadak,” katanya.
Ahli Majlis Persatuan SME Malaysia, Alex San pula menjangka kenaikan harga pada sekitar 10 hingga 20 peratus susulan peningkatan kos yang berlaku.
Katanya, kenaikan harga juga dijangka meliputi produk yang dikecualikan daripada kutipan SST.
“Ini kerana tiada peniaga yang mampu menghadam kenaikan kos dan modal yang berlaku, melainkan mengalihkan kos itu kepada pengguna,” katanya.
Jelasnya, SST bukan penyelarasan yang semata-mata, tetapi bakal memberi kesan rantaian yang memberi tamparan besar.
“Jika perniagaan baik tidak apa kerana peniaga mampu menyerap dan menghadam kos tambahan.
“Tetapi keadaan pasaran adalah kurang memberangsangkan pada masa ini dan peniaga perlu menghadapi tekanan besar sejak beberapa bulan kebelakangan. Keadaan ini mendorong orang untuk melepaskan perniagaan dan mencari pekerjaan,” katanya.
Beliau yang berkecimpung dalam sektor perkhidmatan makanan dan juga pakaian berkata, pelbagai bahan mentah bakal mengalami kenaikan harga, justeru meningkatkan kos.
“Contohnya, bukan makanan laut akan naik harga, tetapi barangan lain yang diperlukan dalam perniagaan juga mengalami peningkatan harga,” katanya.
Menurut Alex, untuk perniagaan pakaian pula, kos akan menjadi lebih tinggi untuk mereka yang berniaga dalam kedai, manakala mereka yang berniaga online pula berdepan persaingan yang tinggi.
“Dalam keadaan terdesak, peniaga akan memilih gulung tikar,” katanya. –


Tiada ulasan:
Catat Ulasan