Kes Zara: Peguam harap AGC arah siasatan dijalankan polis Bukit Aman
KUALA LUMPUR – Peguam kepada keluarga Zara Qairina Mahathir berharap arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya polis melengkapkan semula kertas siasatan kejadian melibatkan pelajar berkenaan turut memasukkan supaya siasatan dilakukan oleh pegawai berpengalaman dari Bukit Aman.
Selain itu, peguam berkenaan, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya turut berharap kubur Zara Qairina digali semula supaya bedah siasat dapat dilakukan bagi menentukan punca sebenar kematian mangsa.
Dalam masa sama, ujarnya, mereka turut berharap satu inkues diadakan untuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian Zara Qairina.
“Kami berterima kasih kepada AGC yang telah mengembalikan laporan penuh siasatan awal berkaitan kematian Zara Qairina kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam berserta arahan berhubung beberapa perkara tertentu untuk dilengkapkan sebelum mengambil tindakan lanjut.
“Tindakan ini adalah selaras dengan salah satu daripada empat perkara yang dipohon dalam surat kami bertarikh 5 Ogos lalu kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar,” katanya.
Sementara itu, tambah peguam berkenaan, bagi melengkapkan siasatan polis juga, ibu mangsa, Noraidah Lamat akan menyerahkan telefon bimbitnya yang mengandungi rakaman-rakaman audio perbualan telefon di antara beliau dan Zara Qairina di ibu pejabat polis Daerah Kota Kinabalu, Kepayan petang ini.
Semalam, Mohd. Dusuki berkata, pihaknya telah memulangkan laporan penuh siasatan awal kematian Zara Qairaina kepada pihak polis untuk dilengkapkan sebelum mengambil tindakan lanjut.
Menurut Mohd Dusuki, laporan itu dikembalikan kelmarin dan beliau sudah mengeluarkan arahan berhubung beberapa perkara untuk diteliti oleh pasukan siasatan.
Zara Qairina yang merupakan pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, didakwa terjatuh dari tingkat tiga dan ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada pukul 4 pagi, 16 Julai lalu.
Dia disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan