Rabu, 17 September 2025

PERANG DI LAUTAN SUNDA


China tembak meriam air ke arah kapal Filipina di Laut China Selatan

BEIJING: Pengawal Pantai China hari ini melepaskan tembakan meriam air ke atas kapal Filipina berhampiran Terumbu Scarborough yang dipertikaikan di Laut China Selatan, dengan menuduh Manila melakukan pencerobohan 'haram' serta melanggar salah satu kapal miliknya.

Insiden itu berlaku seminggu selepas China meluluskan rancangan untuk menjadikan terumbu berkenaan sebagai taman semula jadi nasional, langkah yang menurut penganalisis pertahanan bakal menguji reaksi Manila terhadap gugusan terumbu dan batu karang segi tiga seluas 150 kilometer persegi itu.

Ketegangan berterusan mengenai terumbu itu telah mencetuskan pertikaian diplomatik sejak beberapa tahun lalu, namun tiada insiden yang mencetuskan ke tahap konflik bersenjata di lokasi berkenaan.

Kedua-dua pihak saling menuduh satu sama lain melakukan provokasi dan pencerobohan dalam insiden yang membabitkan penggunaan meriam air, aksi melanggar bot serta manuver kapal Pengawal Pantai China yang dianggap Filipina terlalu hampir dan berbahaya, selain pesawat pejuang yang mengekori pesawat Filipina di kawasan itu.

Dalam pada itu, kata jurucakap Pengawal Pantai China, Gan Yu mendakwa lebih 10 kapal Filipina yang terbabit dalam insiden Selasa telah 'menceroboh perairan wilayah China di Terumbu Scarborough secara haram dari pelbagai arah'.

Beliau secara khusus menuding kepada kapal Pengawal Pantai Filipina 3014, dengan menyatakan kapal itu 'mengabaikan amaran keras dari pihak China dan dengan sengaja melanggar sebuah kapal pengawal pantai China."

Sehubungan itu, katanya Pengawal pantai China melaksanakan langkah kawalan secara sah terhadap kapal Filipina.

Katanya, antara langkah itu termasuk memberi amaran lisan, mengehadkan laluan dan menyembur meriam air.

Bagaimanapun, seorang jurucakap Majlis Maritim Filipina menyanggah kenyataan pengawal pantai China itu sebagai 'tidak benar sama sekali', sambil menolaknya sebagai 'satu lagi kes maklumat palsu dan propaganda China'.

Penganalisis pula berpendapat rancangan Beijing untuk mengkategorikan terumbu berkenaan sebagai taman semula jadi adalah usaha untuk mengambil kedudukan moral lebih tinggi dalam pertikaian mengenai atol itu, yang dikenali sebagai Huangyan Dao di China dan Panatag Shoal di Filipina.

Pertikaian itu sebahagian daripada perebutan kedaulatan dan akses perikanan di Laut China Selatan, laluan penting bagi lebih AS$3 trilion (RM12.62 trilion) perdagangan tahunan melalui perkapalan.

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan yang bertindih dengan zon ekonomi eksklusif Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Vietnam.

Pertikaian yang tidak selesai mengenai pemilikan beberapa pulau serta ciri maritim lain telah berlarutan sejak bertahun-tahun.

Pada 2016, Mahkamah Timbang Tara Tetap di The Hague memutuskan tuntutan meluas China di rantau itu tidak disokong oleh undang-undang antarabangsa, namun keputusan itu ditolak Beijing.


LAUTAN SUNDA

BAKAL MENJADI

MEDAN PERANG

AMIN

Tiada ulasan: