Pengunduran tentera, pertukaran tebusan dan kemasukan bantuan antara langkah pertama pelan damai Gaza
WASHINGTON: Penghentian peperangan, pengunduran tentera penceroboh, kemasukan bantuan kemanusiaan dan pertukaran tebusan antara fasa pertama perjanjian damai Gaza yang ditandatangani oleh kumpulan Hamas dan Israel.
Mengumumkan perkara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata Hamas bersetuju dengan fasa pertama pelan gencatan senjata Gaza yang dicadangkannya, sambil menghargai usaha bersama Turkiye, Qatar dan Mesir itu.
Dalam ciapan di Truth Social, Trump berkata, Israel dan Hamas sudah menandatangani fasa pertama perjanjian damai itu yang membenarkan pembebasan semua tebusan Israel.
"Saya amat berbangga untuk mengumumkan bahawa Israel dan Hamas sudah menandatangani fasa pertama Rancangan Keamanan kami.
"Ini bermakna semua tebusan akan dibebaskan tidak lama lagi, dan Israel akan mengundurkan tentera mereka ke garisan yang dipersetujui sebagai langkah pertama ke arah keamanan yang kekal," kata Trump.
Pengumuman itu dibuat sehari selepas ulang tahun kedua serangan Hamas ke atas Israel yang mencetuskan serangan dahsyat Israel ke atas Gaza.
Hamas turut mengumumkan pihaknya bersetuju dengan fasa pertama perjanjian damai itu sambil menyeru negara-negara penjamin perjanjian gencatan senjata, negara Arab dan Islam serta komuniti antarabangsa termasuk Trump menekan Israel supaya mematuhi tanggungjawab di bawah perjanjian berkenaan.
"Hamas mengumumkan satu perjanjian dicapai yang memperuntukkan penghentian peperangan di Gaza, pengunduran pasukan penceroboh, kemasukan bantuan kemanusiaan serta pertukaran tahanan," menurut kenyataan kumpulan itu di saluran Telegram rasmi mereka.
"Kami amat menghargai usaha saudara-saudara kami sebagai perantara di Qatar, Mesir dan Turkiye. Kami juga memuji usaha Presiden Donald Trump yang bertujuan menamatkan peperangan sepenuhnya dan memastikan pengunduran penuh pasukan pendudukan Israel dari Semenanjung Gaza," tambah kenyataan itu.
Kenyataan Hamas itu dikeluarkan sejurus selepas Trump mengumumkan Israel dan Hamas menandatangani fasa pertama pelan gencatan senjata Gaza yang dicadangkan oleh AS.
Sumber pasukan rundingan Mesir memberitahu Sky News Arabia bahawa kedua-dua pihak bersiap sedia menandatangani perjanjian berkenaan seawal pagi Jumaat.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat bersama barisan kabinet untuk meluluskan perjanjian gencatan senjata Gaza yang bertujuan membawa pulang semua tebusan Israel.
"Hari yang hebat untuk Israel," tambah Netanyahu dalam satu kenyataan susulan pengumuman Trump bahawa perjanjian sudah dicapai antara Israel dan Hamas untuk menamatkan perang dua tahun di Gaza.
Pelan damai 21 perkara oleh Trump untuk menamatkan konflik di Gaza, menggariskan satu rangka kerja yang terperinci untuk mencapai keamanan di rantau itu.
Perkara paling utama dalam pelan itu ialah tuntutan tegas supaya Hamas membebaskan semua tebusan Israel yang masih dalam tahanan dalam tempoh 48 jam selepas sebarang perjanjian dimeterai.
Pelan itu juga menetapkan matlamat jangka panjang yang jelas iaitu untuk menamatkan semua pertempuran dan melancarkan program menyahradikalisasi di seluruh enklaf Palestin.
Secara signifikan, cadangan itu membuka laluan ke arah kemungkinan penubuhan sebuah negara Palestin, satu anjakan penting yang direka untuk mencapai penyelesaian berkekalan.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel mengorbankan hampir 67,200 penduduk Palestin di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta menyebabkan wilayah itu tidak lagi sesuai didiami.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan