Kerajaan perkukuh kempen 'Beli Barangan Buatan Malaysia'
KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkukuh kempen 'Beli Barangan Buatan Malaysia' dengan pelbagai inisiatif bagi memastikan hasil penyelidikan dan inovasi anak tempatan dapat dikomersialkan serta dimanfaatkan.
Ia susulan kadar pengkomersialan masih rendah, sekitar lima peratus meskipun universiti awam menubuhkan hampir 450 syarikat terbitan.
Bagi mengatasi isu itu, kerajaan membenarkan pensyarah universiti awam yang menjadi pengasas syarikat terbitan untuk mengambil cuti penyelidikan atau sabatikal selama setahun bagi tujuan komersialisasi hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) .
Selain itu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata Dana Nasional Syarikat Terbitan dengan peruntukan RM10 juta akan ditubuhkan bagi membantu sekurang-kurangnya 50 pensyarah membangunkan syarikat masing-masing dan ia dijangka menarik pelaburan swasta melebihi RM30 juta dengan kesan pengganda tiga kali ganda.
Dalam pada itu, kerajaan memberi tumpuan inovasi tempatan dengan memperuntukkan sebanyak RM12 juta kepada hospital pengajar universiti (HPU) terpilih untuk mengaplikasikan hasil ciptaan ini bagi pemulihan pesakit secara bersasar.
Sebagai contoh, mesin dialisis buah pinggang mudah alih dan rawatan kanser lidah oleh Universiti Sains Malaysia (USM) serta terapi biologi osteoartritis lutut dan rawatan kesuburan oleh Universiti Malaya (UM) dimanfaatkan penggunaannya di HPU terpilih.
Selain itu, setakat ini, lebih 550 produk dan perkhidmatan tempatan telah diluluskan logo MySTI.
Kerajaan akan memberi keutamaan kepada produk MySTI dalam perolehan kerajaan dan ujian pasaran komersial.
Dalam masa sama, kerajaan turut mencadang pemberian Elaun Cukai Pelaburan Aset Hijau 100 peratus kepada syarikat yang menggunakan teknologi hijau tempatan diiktiraf MyHIJAU Mark.
Kempen 'Buatan Malaysia' juga terus diperkasa dengan peruntukan RM20 juta bagi meningkatkan promosi produk Malaysia di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Sebagai tambahan, kerajaan akan menganjurkan Putrajaya Festival of Ideas iaitu platform untuk merakyatkan hasil penyelidikan dan inovasi institusi pengajian tinggi agar dapat dikomersialkan serta memberi manfaat kepada komuniti.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan