Indonesia anugerah status Pahlawan Negara kepada Suharto
JAKARTA: Bekas Presiden Indonesia, Suharto, dianugerahkan gelaran Pahlawan Nasional meskipun legasinya dicemari tuduhan pelanggaran hak asasi manusia, rasuah dan nepotisme sepanjang pemerintahan lebih tiga dekad.
Anugerah itu disampaikan dalam satu majlis di Istana Negara yang dipengerusikan Presiden Prabowo Subianto, yang juga bekas menantunya.
"Tokoh terkemuka dari Jawa Tengah, pejuang kemerdekaan, Jeneral Suharto menonjol sejak era perjuangan kemerdekaan," menurut pengumuman rasmi ketika Prabowo menyerahkan anugerah itu kepada anak perempuan dan anak lelaki Suharto.
Indonesia memperoleh kemerdekaan pada 1945 daripada penjajahan Belanda dan Jepun. Setiap tahun, gelaran Pahlawan Nasional diberikan kepada individu yang dianggap berjasa besar terhadap pembangunan negara kepulauan itu.
Suharto, seorang pegawai tentera, dilantik sebagai Presiden pada 1967 selepas mengambil alih kuasa daripada Presiden pertama Indonesia, Sukarno.
Sepanjang pemerintahannya, beliau berjaya membawa Indonesia melalui tempoh pertumbuhan ekonomi pesat dan kestabilan, namun legasinya tercalar apabila krisis kewangan Asia 1997-1998 mencetuskan kekacauan yang akhirnya memaksa beliau berundur.
Sebelum majlis anugerah itu, wartawan Reuters melihat potret Suharto dipamerkan di Istana Negara bersama sembilan penerima lain.
Dalam potret berkenaan, beliau memakai uniform tentera dan diletakkan di antara gambar bekas presiden, Abdurrahman Wahid serta aktivis buruh, Marsinah, yang diculik dan dibunuh ketika era pemerintahan Suharto.
"Kerajaan sudah membuat keputusan. Saya tidak boleh… itu bukan hak saya. Saya hanya datang bagi pihak Marsinah," kata Marsini, kakak kepada Marsinah, ketika ditanya pemberita mengenai penganugerahan itu.
Jurucakap Presiden, Prasetyo Hadi, ketika diminta mengulas, berkata rakyat perlu 'melangkah ke hadapan bersama', sambil menambah bahawa setiap tokoh yang diiktiraf itu mempunyai kelemahan masing-masing.
Namun, beberapa kumpulan hak asasi manusia termasuk Amnesty International Indonesia menggesa kerajaan menarik balik penganugerahan itu, dengan alasan Suharto bertanggungjawab terhadap pelbagai pelanggaran hak asasi manusia sepanjang tempoh pemerintahannya.
Suharto menggunakan pengaruh tentera bagi mengawal urusan awam dan menumpaskan tentangan politik.
Beliau turut dituduh mengamalkan rasuah besar-besaran dan nepotisme yang menguntungkan keluarga dan kroninya, namun tiada pertuduhan pernah dibuktikan atau dihadapkan ke mahkamah kerana keadaan kesihatannya yang merosot. - REUTERS


Tiada ulasan:
Catat Ulasan