Khamenei bertegas enggan mengalah berdepan protes di Iran
PARIS: Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, menegaskan republik Islam itu 'tidak akan mengalah' meskipun berdepan protes besar-besaran selepas perhimpunan berterusan sejak dua minggu menggegarkan pihak berkuasa agama.
Khamenei membuat kenyataan itu tatkala orang ramai melaungkan slogan termasuk 'kematian bagi diktator' dan membakar bangunan rasmi dalam perarakan menentang kepimpinan di bandar-bandar utama pada lewat Khamis lalu.
Pemantau internet, Netblocks berkata pihak berkuasa bertindak menyekat sambungan internet sepenuhnya dan pada awal semalam (Jumaat) dan negara itu 'terputus rangkaian selama 12 jam bagi mengekang protes besar-besaran'.
Demonstrasi itu dianggap antara cabaran terbesar terhadap republik Islam sejak lebih 45 tahun penubuhannya dengan penunjuk perasaan secara terbuka menuntut pengakhiran pemerintahan teokratik.
Kumpulan hak asasi Iran, HRANA, pada Jumaat berkata pihaknya merekodkan sekurang-kurangnya 62 kematian, termasuk 14 anggota keselamatan dan 48 penunjuk perasaan, sejak demonstrasi bermula pada 28 Disember.
Namun, Khamenei menampilkan nada tegas dalam ulasan pertamanya mengenai protes yang meningkat sejak 3 Januari, menyifatkan penunjuk perasaan sebagai 'perusuh' dan 'perosak', dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen kerajaan.
Beliau menuduh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengatakan 'tangannya kotor dengan darah lebih seribu rakyat Iran', dipercayai merujuk kepada perang Israel terhadap republik Islam pada Jun yang disokong dan disertai AS dengan serangan sendiri.
Khamenei meramalkan pemimpin AS yang 'angkuh' itu akan 'digulingkan' seperti dinasti empayar yang memerintah Iran sebelum revolusi 1979.
"Malam tadi di Tehran, sekumpulan perusuh datang dan merosakkan sebuah bangunan dimiliki mereka sendiri untuk menyenangkan hati Presiden AS," katanya dalam ucapan kepada penyokong, ketika sekumpulan lelaki dan wanita di hadapan melaungkan slogan 'kematian kepada AS'.
"Semua tahu republik Islam ini berkuasa dengan darah ratusan ribu insan mulia, ia tidak akan mengalah kepada perosak," katanya.
Khamis lalu, Trump dilaporkan berkata, 'semangat untuk menggulingkan rejim itu luar biasa' dan memberi amaran jika pihak berkuasa Iran membunuh penunjuk perasaan, 'pihaknya akan membalas serangan dengan sangat keras.
"Kami bersedia melakukannya," katanya.
Dalam temu bual bersama Fox News, Trump turut merasakan Khamenei, 86 mungkin merancang untuk meninggalkan Iran.
"Dia sedang mencari tempat untuk pergi," katanya.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi yang berada di Lubnan semalam menuduh Washington dan Israel 'campur tangan secara langsung' dalam cubaan 'menukar protes aman menjadi perpecahan dan keganasan'.
Cawangan risikan Pengawal Revolusi, pasukan keselamatan yang ditugaskan memastikan kelangsungan republik Islam, menyifatkan protes berterusan itu sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima dan tidak wajar dilindungi'.
Video yang disahkan AFP menunjukkan orang ramai memenuhi sebahagian Ayatollah Kashani Boulevard pada lewat Khamis, menjerit slogan 'kematian kepada diktator' merujuk kepada Khamenei yang memerintah Iran sejak 1989.
Video lain menunjukkan protes besar-besaran di bandar-bandar lain termasuk Tabriz di utara, kota suci Mashhad di timur serta kawasan yang didiami orang Kurdi di barat negara termasuk pusat serantau Kermanshah.
Sementara itu, televisyen kerajaan Iran semalam menyiarkan imej ribuan orang menghadiri protes balas dan melaungkan slogan menyokong pihak berkuasa di beberapa bandar Iran. - AFP


Tiada ulasan:
Catat Ulasan