Kes rompakan laut di Selat Melaka dan Singapura catat paras tertinggi sejak 2007
SINGAPURA: Kes lanun dan rompakan bersenjata terhadap kapal di Selat Melaka dan Singapura (SOMS) mencatatkan 108 kes tahun lalu iaitu peningkatan 74 peratus berbanding 62 kes pada 2024, sekali gus menjadi paras tertinggi dalam 19 tahun.
Ia didedahkan dalam laporan Perjanjian Kerjasama Serantau mengenai Membanteras Lanun dan Rompakan Bersenjata terhadap Kapal di Pusat Perkongsian Maklumat Asia (ReCAAP ISC) pada taklimat media semalam.
Kebanyakan kes berlaku di laluan timur SOMS dan adalah rompakan secara kebetulan kerana wujud kesempatan, dengan kru kapal kebanyakannya selamat tanpa kecederaan.
Pengarah Eksekutif ReCAAP, Vijay D Chafekar, berkata peningkatan jumlah kes itu 'tidak menunjukkan ancaman lebih besar terhadap perdagangan maritim' yang melalui laluan itu.
"Sebahagian besar kejadian adalah kes kecurian kecil, malah dalam hampir separuh kes, tiada barangan dicuri walaupun kapal telah dinaiki oleh individu tidak dikenali," katanya.
Alat ganti enjin dicuri dalam 31 peratus kes manakala peratusan lebih kecil melaporkan kehilangan barangan peribadi, wang tunai dan bekalan kapal.
Lebih separuh kejadian berlaku ke atas kapal pukal atau kapal yang membawa kargo tidak berbungkus, kebanyakannya pada waktu malam.
Peningkatan awal kes rompakan laut di SOMS mula kelihatan apabila angka bagi separuh pertama 2025 didedahkan pada Julai tahun lalu.
Bilangan itu adalah empat kali ganda berbanding tempoh sama pada 2024 dengan 80 kejadian dilaporkan kepada ReCAAP antara Januari dan Jun 2025.
Namun, kekerapan kes menurun dari Julai hingga Oktober 2025, menurut Timbalan Pengarah ReCAAP, Lee Yin Mui, yang menyifatkan penurunan itu sebagai hasil usaha penguatkuasaan undang-undang Indonesia.
Sementara 14 kejadian rompakan laut dilaporkan pada Julai, hanya satu kes dicatatkan pada September dan Oktober.
Menurut D Chafekar, peningkatan kes rompakan laut di SOMS menunjukkan cabaran keselamatan yang berterusan bagi kapal yang meredah laluan sibuk itu.
Namun, penurunan kes selepas penangkapan perompak oleh Polis Wilayah Kepulauan Riau membuktikan bahawa penguatkuasaan yang berkesan mampu menjadi penghalang.
Bagaimanapun, sesetengah pihak menjangkakan usaha mendapatkan data dan kerjasama menentang lanun daripada pihak berkuasa AS kini mungkin lebih sukar ekoran perkembangan terkini.
Pada 8 Januari lalu, Presiden AS, Donald Trump, mengarahkan AS menarik diri daripada 66 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan ReCAAP adalah salah satu daripadanya.
Namun, kata D Chafekar, ReCAAP ISC yang ditubuhkan pada 2006 akan terus melaksanakan misinya.
Katanya, sebelum AS menyertai ReCAAP sebagai pihak kontrak pada 2014, ReCAAP sudah menjadi 'model kerjasama serantau' menentang lanun laut.
"Sejak menyertai ReCAAP, AS hanya membuat sumbangan kewangan nominal setiap tahun untuk menyokong aktiviti ReCAAP ISC.
"Pengunduran AS daripada ReCAAP tidak akan menjejaskan operasi pusat itu," katanya. - AGENSI


2 ulasan:
Settle LCCS dulu, humban kerismudin kat kajang. Khalas.
Bantuan orang dalam ?
Catat Ulasan