Jangan duduk
di Malaysia
jika tidak
terima
bahasa Melayu
KUALA LUMPUR — Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memberi peringatan tegas hari ini apabila baginda menitahkan, pihak yang tidak dapat menerima Bahasa Melayu, supaya tidak tinggal di Malaysia.
Titah baginda sebarang usaha untuk mengadakan sistem pendidikan baharu mesti dibuat selari dengan dasar pendidikan kebangsaan di mana bahasa Melayu mesti menjadi bahasa utama kerana ia adalah bahasa kebangsaaan.
“Oleh itu, sebarang usul untuk mengiktiraf apa juga sistem pendidikan lain mesti menerima Bahasa Melayu dan sejarah Malaysia.
Kalau ada yang tidak terima Bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia,” titah baginda ketika menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Majlis Parlimen Ke-15 di banguan Parlimen di sini, hari ini.
Sultan Ibrahim bertitah, sistem pendidikan negara perlu terus diperkasa sebagai asas pembinaan bangsa, jati diri dan masa depan negara.
Dalam pada itu Sultan Ibrahim, mengalu-alukan pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan bagi mereformasi institusi dan undang-undang di Dewan Rakyat termasuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun
“Saya turut mengalu-alukan usaha bagi mengukuhkan undang-undang berkaitan pilihan raya, institusi demokrasi dan pendanaan politik.
“Ini termasuk usaha untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun, mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya. Begitu juga pengenalan Akta Kebebasan Maklumat dan Institusi Ombudsman,” titah bagibda.
Pada masa sama, Sultan Ibrahim mahu Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bermula pada tahun ini memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat, terutama dalam bidang pendidikan, perumahan, kesihatan dan pengangkutan awam.
Titah baginda, walaupun dunia menghadapi pelbagai cabaran, namun Malaysia masih berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi positif, sebanyak 4.7 peratus pada tahun lalu.
“Ia juga ditunjukkan dengan kadar pengangguran dan inflasi yang kekal rendah, serta kemiskinan tegar berada pada paras 0.09 peratus,” titah baginda.— BebasNews


Tiada ulasan:
Catat Ulasan