Ahli politik Jerman gesa tentera AS keluar dari negaranya
MOSCOW: Pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) perlu dibawa keluar, manakala senjata nuklear milik negara itu juga harus dialihkan dari Jerman, kata pakar dasar luar bagi Perikatan Sahra Wagenknecht, Sevim Dagdelen, hari ini.
Ia susulan pengumuman Presiden AS, Donald Trump, mengenai tarif berkait isu Greenland, menurut lapor Sputnik/RIA Novosti.
Dagdelen turut menggesa supaya rancangan penempatan peluru berpandu AS di wilayah Jerman, dihentikan serta-merta.
Semalam, Trump menyatakan beliau akan mengenakan tarif sebanyak 10 peratus ke atas Denmark, Norway, Sweden, Perancis, Jerman, United Kingdom, Belanda dan Finland mulai Februari depan.
Kadar itu dilaporkan akan meningkat kepada 25 peratus dan kekal berkuat kuasa sehingga AS menandatangani perjanjian bagi pembelian Greenland.
"Tentera AS akhirnya harus dibawa keluar dari Jerman. Pada masa sama, (perlu untuk mengeluarkan) bom nuklear Amerika dari Buchel.
"Selain itu, rancangan penempatan peluru berpandu jarak sederhana AS hanya akan menjadikan Jerman sebagai sasaran (serangan)," kata Dagdelen dalam hantaran melalui X.
Greenland adalah sebahagian daripada Kerajaan Denmark, namun Trump berulang kali menyatakan hasrat supaya pulau itu menjadi sebahagian daripada wilayah AS.
Sebelum ini, pihak berkuasa Denmark dan Greenland telah memberi amaran kepada Washington supaya tidak merampas pulau berkenaan, selain menegaskan integriti wilayah mereka perlu dihormati.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan