Gerakan bendera hitam jangka makin banyak protes bantah kenaikan harga
SEKRETARIAT Solidariti Rakyat (SSR), yang dikenali dengan protes bendera hitam pada kemuncak pandemik Covid-19 tahun lalu, meramalkan bantahan kuat bakal berlaku di media sosial susulan kenaikan harga barang menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha minggu depan.
Tidak seperti protes terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diadakan sebelum ini, kumpulan itu berkata lebih banyak perlu dilakukan untuk bantahan kepada pentadbiran Barisan Nasional (BN) pada masa ini atas kegagalannya menangani isu kenaikan harga barang.
Kumpulan berasaskan kepada golongan beliau itu antara beberapa organisasi yang mendesak peletakan jawatan Muhyiddn Yassin selepas PN gagal menangani pandemik tahun lalu.
Tahun lalu, kumpulan itu melancarkan kempen bendera hitam, menggesa orang awam menaikkan bendera hitam sebagai tanda protes terhadap PN dan menggesa pengguna media sosial menggunakan tanda pagar #kerajaangagal dan #keluardanlawan.
SSR mendesak Muhyiddin mengadakan sidang Parlimen semula dan menamatkan ordinan darurat, di mana ramai percaya ia digunakan untuk mengekalkan Muhyiddin memegang kuasa.
Kempen itu tersebar dengan meluas, menyebabkan polis memulakan siasatan mengikut Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Itu kisah tahun lalu, kata jurucakap SSR yang enggan didedahkan namanya.
“Pada masa ini, kami menyokong kempen diadakan oleh badan pelajar. Kami sokong daripada segi strategi tetapi idea daripada pelajar.
“Sentimen semakin kuat. Dalam sebarang gerakan, akan wujud persoalan ‘adakah ia akan berkesan’, tetapi bagi saya, akan ada lebih banyak protes, terutama menjelang Hari Raya Aidiladha.
“Orang ramai yang belum sedar betapa teruknya keadaan ini akan akhirnya sedar harga tinggi dan kita jangkakan media sosial akan kecoh minggu ini dengan ramai yang menyalurkan kemarahan di media sosial.”
Pada Julai tahun lalu, SSR turut membawa replika mayat di Dataran Merdeka, sebagai simbol jumlah kematian akibat Covid-19 yang tinggi, selain kes bunuh diri akibat tertekan kerana kehilangan kerja dan pendapatan. – 7 Julai, 2022.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan