Zahid, Anwar gagal nafi dakwaan kerjasama
DAKWAAN Dr Mahathir Mohamad terdapat pakatan antara Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid Hamidi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini semakin jelas kelihatan apabila mereka menyerang Dr Mahathir secara berjemaah.
Anwar melawak jika beliau menjadi perdana menteri, Dr Mahathir akan “demam”.
Jenaka ini hanyalah pelecehan terhadap Dr Mahathir dan ini secara tidak langsung memperkukuhkan lagi naratif bahawa Anwar tidak mampu menangkis dakwaan itu dengan hujah yang lebih bernas.
Begitu juga dengan Zahid yang turut memperlecehkan Dr Mahathir dengan menyifatkannya sebagai pakar “divert” untuk menutup kelemahan Pejuang dan GTA.
Nada ini sama dengan nada cikgunya yang hanya tahu memperlecehkan dakwaan Dr Mahathir tanpa memberi apa-apa hujah yang kuat untuk menangkis dakwaan serius ini.
Anwar dan Zahid akan berpakat dan bekerjasama kerana mereka berdua sedang terdesak.
Zahid mahu mengelak daripada tuduhan skandalnya dan Anwar pula mahu mengelak daripada gagal menjadi perdana menteri.
Zahid akan menggunakan Barisan Nasional (BN) untuk memancung Pejuang/GTA kerana kebanyakan kerusi ditandingi oleh Pejuang ialah kerusi Melayu manakala Anwar akan menggunakan Pakatan Harapan (PH) untuk membunuh Perikatan Nasional (PN) kerana ada meletakkan calonnya di kerusi campuran.
Keganjilan kempen Anwar dan Zahid ini bukan suatu kebetulan tetapi suatu bentuk kesepakatan yang kini sudah terbongkar.
Sifir ini telah dapat dibaca oleh rakyat.
Oleh demikian, saya menyeru agar rakyat menolak Anwar dan Zahid kerana kedua-dua pemimpin ini sedang bekerjasama dalam gelap.
Kebimbangan rakyat ialah BN yang diketuai oleh Zahid akan menang dan menjadi kerajaan dan jika Anwar menjadi perdana menteri, Zahid dan kuncu-kuncunya akan bebas. – 7 November, 2022.
* Mahdzir Ibrahim,
timbalan ketua penerangan GTA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan