Calon pentadbiran Trump jadi sasaran ugutan bom - FBI
WASHINGTON: Beberapa calon anggota pentadbiran Presiden dipilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menerima ancaman termasuk amaran bom, kata Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).
Menurut FBI, antara yang menerima ancaman ialah calon yang disenaraikan Trump bagi mengisi beberapa jawatan penting seperti Duta ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Ketua Agensi Perlindungan Alam Sekitar serta calon awal Peguam Negara AS.
"FBI sedar mengenai banyak ancaman bom dan kes yang menyasarkan sesetengah bakal calon pentadbiran dan pelantikan jawatan penting. Kami sedang bekerjasama dengan agensi penguatkuasa undang-undang yang lain," kata agensi itu dalam kenyataan.
Bagaimanapun, perlakuan membuat panggilan palsu adalah perkara biasa di AS dan ramai tokoh politik kanan menjadi sasaran tujuan sedemikian sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Jurucakap pasukan peralihan Trump, Karoline Leavitt, berkata beberapa orang yang dilantik dan dicalonkan 'menjadi sasaran ancaman ganas terhadap kehidupan mereka serta sesiapa yang rapat dengan mereka'.
Presiden AS, Joe Biden, yang akan berundur 'sudah diberi taklimat' mengenai ancaman itu, kata Rumah Putih.
"Rumah Putih sudah merujuk perkara itu kepada bahagian penguatkuasa undang-undang Persekutuan dan pasukan Presiden dipilih serta terus memantau keadaan dengan teliti.
"Presiden dan pentadbiran dengan tegas mengutuk ancaman keganasan politik," kata jurucakap Rumah Putih dalam satu kenyataan.
Biden sebelum ini berikrar memastikan peralihan pentabiran presiden berjalan lancar dan aman, berbeza dengan Trump ketika kalah pada pemilihan presiden AS 2020 dan didakwa menghasut penyokongnya menyerang bangunan Capitol, kerana berlaku penipuan pilihan raya.
Seorang anggota Kongres setia kepada Trump, Elise Stefanik, yang dipilih menjadi duta PBB, berkata kediamannya di New York menjadi sasaran ancaman bom.
Menurutnya dalam satu kenyataan, beliau dan suami serta anak lelakinya sedang perjalanan pulang dari Washington untuk cuti 'Thanksgiving' apabila mendapat berita mengenai ancaman itu.
Sementara itu, seorang lagi calon pilihan Trump, Lee Zeldin, untuk mengetuai Agensi Perlindungan Alam Sekitar, berkata rumahnya menjadi sasaran ancaman bom paip yang dihantar dengan 'mesej bertemakan pro-Palestin'.
Bekas anggota Kongres dari New York itu berkata beliau dan keluarganya tiada di rumah ketika itu.
Matt Gaetz, yang digugurkan sebagai pilihan Trump untuk menjadi Peguam Negara selepas berdepan tentangan berhubung dakwaan salah laku seksual, menyiarkan semula mesej Zeldin pada X dan memaklumkan perkara sama berlaku kepadanya.
Scott Turner, calon Setiausaha Perumahan, yang juga bekas pemain NFL dan pilihan Trump untuk Setiausaha Buruh, berkata beliau turut menerima ancaman bom di rumahnya.
Fox News Digital memetik sumber tidak dikenal pasti mengatakan, John Ratcliffe, calon Trump untuk mengetuai Agensi Risikan Pusat (CIA) dan Pete Hegseth, calon Setiausaha Pertahanan turut menjadi sasaran.
Menjelang kembalinya ke Rumah Putih pada Januari, Trump sudah selesai menyenaraikan anggota Kabinetnya yang setia termasuk beberapa yang dikritik kerana sangat kurang pengalaman.
Pemimpin Republikan itu yang kelihatan bersedia untuk mengelak perbicaraan terhadap dakwaan jenayah berkaitan percubaan untuk membatalkan kekalahannya dalam pilihan raya 2020, cedera di telinga pada Julai selepas menjadi mangsa cuba bunuh semasa kempen.
Penembak terbunuh dalam tembakan balas.
Pada September, pihak berkuasa menahan seorang lagi lelaki yang dituduh merancang untuk menembak Trump semasa beliau bermain golf di padangnya di West Palm Beach, Florida. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan