Lebih banyak mayat ditemui di bawah runtuhan bangunan di Gaza
ANKARA: Pasukan perubatan dan penyelamat Palestin menemukan sembilan lagi mayat dari bawah runtuhan di Semenanjung Gaza, menjadikan jumlah keseluruhan korban akibat perang genosid Israel sejak Oktober 2023 meningkat kepada 48,284 mangsa.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, yang dipetik Anadolu Ajansi (AA), jumlah terbaharu itu termasuk empat rakyat Palestin yang terbunuh akibat tembakan tentera Israel dalam tempoh 24 jam lalu.
Kementerian itu juga melaporkan seramai 16 lagi mangsa yang cedera dimasukkan ke hospital, menjadikan jumlah keseluruhan yang cedera akibat serangan Israel meningkat kepada 111,709 mangsa.
"Masih ramai mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan dan di jalanan kerana pasukan penyelamat tidak dapat sampai kepada mereka," menurut kenyataan sama.
Perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa di Gaza sejak 19 Januari lalu, sekali gus menghentikan sementara serangan Israel yang menyebabkan kemusnahan besar dan meninggalkan wilayah Palestin yang terkepung itu dalam keadaan musnah sama sekali.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan Gaza melaporkan pelanggaran gencatan senjata dilakukan hampir setiap hari oleh tentera Israel.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap pada November tahun lalu terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung peperangan di wilayah itu.
Sementara itu, Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) berikrar untuk memenuhi mandat walaupun berdepan risiko di kawasan dengan persekitaran yang saling bermusuhan.
Philippe Lazzarini berkata UNRWA terus beroperasi di Gaza selepas pihak berkuasa Israel mengusir kakitangan antarabangsanya dari Israel dan Tebing Barat yang diduduki berikutan penggubalan undang-undang yang mengenakan larangan terhadap agensi itu.
Bercakap di Kaherah pada Isnin, Lazzarini berkata, UNRWA 'kini menghadapi cabaran operasi yang ketara', namun 'keberanian dan komitmen kakitangan Palestin kami membolehkan sekolah UNRWA dan klinik kesihatan untuk terus dibuka' di Tebing Barat yang diduduki.
Katanya, pasukan teras kakitangan antarabangsa kekal di Gaza tetapi Israel tidak lagi memudahkan mereka keluar masuk melalui persimpangan Karim Abu Salem.
"Tidak jelas sejauh mana kemampuan kami untuk beroperasi akan terus dikekang oleh larangan hubungan antara wakil UNRWA dan pegawai Israel.
"Apa yang jelas, agensi ini akan kekal dan melaksanakan mandatnya sehingga ia dihalang daripada berbuat demikian.
"Kami akan melakukan ini walaupun terdapat risiko yang besar kepada kakitangan kami dalam persekitaran operasi yang semakin bermusuhan," katanya. - AGENSI


Tiada ulasan:
Catat Ulasan