PM Jepun sifatkan keputusan tarif Trump sebagai "amat dukacita"
TOKYO: Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba pada Selasa menyifatkan keputusan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas Jepun sebagai "amat dukacita," namun menegaskan rundingan dua hala akan diteruskan ke arah mencapai perjanjian yang saling menguntungkan, lapor Agensi Berita Kyodo.
Walaupun langkah itu telah dimaklumkan kepada Jepun menerusi sepucuk surat rasmi, Ishiba berkata kadar tarif itu adalah lebih rendah daripada ancaman awal Trump dan ini membuka ruang kepada rundingan dua hala yang lebih konstruktif.
Bercakap dalam mesyuarat Pasukan Petugas Tarif, Ishiba menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dalam mempertahankan kepentingan negara menerusi rundingan akan datang, sambil berjanji untuk mengambil segala langkah bagi mengurangkan kesan tarif terhadap ekonomi Jepun yang bergantung kepada eksport.
"Kami akan terus berunding dengan Amerika Syarikat bagi meneroka kemungkinan mencapai perjanjian yang saling menguntungkan, sambil tetap mempertahankan kepentingan nasional kami," katanya.
Rundingan dua hala mengenai tarif, termasuk sidang kemuncak secara bersemuka, setakat ini masih belum menunjukkan kemajuan ketara.
Trump menggunakan mekanisme tarif bagi menangani apa yang dilihatnya sebagai ketidakseimbangan perdagangan dan tarif 25 peratus terhadap kereta import dilihat amat memberi kesan kepada Jepun yang bergantung kepada syarikat seperti Toyota Motor Corp. dan Honda Motor Co.
"Malangnya, kita masih belum mencapai kata sepakat kerana wujud perbezaan antara kedua-dua pihak. Jepun tidak membuat sebarang konsesi mudah dan tetap bertegas mempertahankan apa yang perlu," kata Ishiba.
Trump sebelum ini mengugut untuk mengenakan tarif sehingga 30 atau 35 peratus, menjelang berakhirnya penangguhan tiga bulan ke atas tarif balas pada Rabu ini.
Ishiba turut menggesa Amerika Syarikat agar memberi tumpuan kepada kerjasama pelaburan antara kedua-dua negara yang telah lama menjadi sekutu dan tidak menggunakan tarif sebagai alat untuk menyelesaikan defisit perdagangan.


1 ulasan:
Kenapa Trump buat begitu? Apa sebab? Apa musabab? Kita ini selalunya pertikai segala tanpa usul periksa? China mempunyai penduduk paling tinggi dunia tetapi sedekah 100 juta kepada WHO, Amerika pula sedekah 500 juta, sama juga dalam semua bidang, maka Trump rasa tidak adil, semuanya mencari keuntungan di Amerika tetapi Amerika sendiri paling ramai daif papa kedana tiada rumah merempat atas jalan menumpang makan minum percuma, pendatang haram terlalu ramai sampai tuan rumah sesak nafas, jadi bagi setengah orang yang berakal pasti rasa tidak adil, sama juga di negara ini, pencuri perompak dibebaskan tambah free loader begitu ramai ditanggung rakyat, hutang sebagai semuanya jatuh atas kepala, manakala yang kaya raya tidak lepaskan sedikit pun kemudahan kah kah kah hanyalah seorang PMX tidak mengambil gaji bulanan, tetapi perbelanjaan sampai berjuta-juta berjalan sini sana, jumpa PMX saja pelaburan masuk beribu billion, semuanya lemah melihat karektor PMX, sampai sanggup mesyuarat tepi lift, belakang rumah berjalan pantas laju sini sana, cergas jadi semuanya mata kabur kah kah kah tapi setakat ini berbillion masuk tapi harga naik, elektrik naik cukai naik semua naik anak beranak sendiri naik juga semuanya musibah negara kah kah kah satu keluarga penuh menguruskan hal negara, betapa untungnya negara ini amin, jadi jangan hasad dengki macam perangai ketuanan kah kah kah
Catat Ulasan