Israel dijangka adakan mesyuarat, bincang pelan ketenteraan di Gaza
BAITULMAQDIS: Kabinet keselamatan Israel dijangka mengadakan mesyuarat lewat petang ini bagi membincangkan pelan ketenteraan seterusnya di Gaza, menurut laporan media tempatan.
Mesyuarat itu diadakan di tengah-tengah spekulasi bahawa Israel merancang pengambilalihan penuh wilayah Palestin yang dikepung itu, malah mungkin diperluaskan merangkumi keseluruhan Palestin.
Ia dijadual berlangsung ketika tekanan antarabangsa semakin memuncak susulan keadaan kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza, dengan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran mengenai risiko kebuluran di wilayah yang musnah akibat perang berpanjangan itu.
Akhbar The Times of Israel melaporkan mesyuarat berkenaan dijangka bermula sekitar jam 6 petang waktu tempatan.
Media Israel, yang memetik kenyataan pegawai kerajaan yang enggan dikenali, melaporkan bahawa Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, dijangka akan memohon kelulusan untuk memperluas operasi ketenteraan.
Langkah itu termasuk kawasan padat penduduk yang dipercayai menjadi lokasi tahanan seperti Bandar Gaza.
Semalam, tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan baharu di beberapa kawasan di Bandar Gaza di utara serta Khan Younis di selatan, dengan jurucakap tentera menyatakan pasukan darat bersedia untuk meluaskan skop operasi tempur.
Menjelang mesyuarat hari ini, tersebar khabar angin mengenai ketegangan antara kabinet dan Ketua Turus Tentera Israel, Leftenan Jeneral Eyal Zamir.
Menteri Pertahanan, Israel Katz, turut mengulas isu itu di media sosial dengan menegaskan bahawa tentera Israel mesti melaksanakan apa jua keputusan kerajaan mengenai Gaza, susulan laporan bahawa Zamir tidak bersetuju dengan rancangan bagi menguasai Gaza sepenuhnya.
Dalam satu hantaran di platform X, Katz berkata walaupun 'adalah hak dan tanggungjawab ketua turus untuk menyuarakan pendapatnya dalam forum yang sewajarnya', tentera tetap perlu mematuhi dasar yang ditetapkan oleh kerajaan.
Sementara itu, jurucakap pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal, berkata sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh di Gaza hari ini susulan beberapa serangan udara di pelbagai kawasan, dengan puluhan lagi dilaporkan cedera. – AFP


Tiada ulasan:
Catat Ulasan