Anak Muammar Gaddafi maut ditembak kumpulan bersenjata
TRIPOLI: Seif al-Islam Kadhafi, anak bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, terbunuh semalam selepas sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu rumahnya di Zintan, barat Libya.
Perkara itu disahkan peguamnya, Marcel Ceccaldi kepada AFP.
"Beliau dibunuh hari ini pada jam 2.00 petang (1200 GMT) di rumahnya di Zintan oleh empat lelaki komando," katanya semalam.
Penasihatnya, Abdullah Othman Abdurrahim, berkata kepada televisyen Al-Ahrar Libya bahawa empat lelaki tidak dikenali itu menyerbu rumah Saif, mematikan kamera keselamatan, sebelum menembaknya mati.
Setakat ini, mereka yang membunuhnya masih belum dikenal pasti.
Ceccaldi berkata, seorang rakan rapat Seif pernah memaklumkannya beberapa hari sebelum kejadian bahawa keselamatan Seif berada dalam keadaan berisiko.
"Ketua kabilah Kadhafi malah menawarkan untuk menghantar pengawal bagi melindunginya, namun Seif menolak tawaran itu," katanya.
Seif, 53, sebelum ini dilihat sebagai bakal pengganti bapanya dan pernah mengumumkan hasrat bertanding dalam pilihan raya presiden pada 2021, namun pilihan raya itu ditangguhkan tanpa tarikh baharu.
Beliau juga pernah menjadi sasaran waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan dan pernah dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah Libya sebelum diberikan pengampunan.
Pakar Libya, Emadeddin Badi, berkata kematian Seif boleh menjadikannya simbol atau syahid kepada sebahagian rakyat, selain mengubah keadaan politik negara.
"Pencalonannya dan potensi kemenangannya merupakan titik pertikaian utama," tulisnya di platform X.
Sementara itu, jurucakap terakhir Muammar Gaddafi, Moussa Ibrahim, mendakwa Seif dibunuh secara khianat dan berkata beliau mahukan Libya yang bersatu, berdaulat serta selamat untuk semua rakyat.
"Saya bercakap dengannya dua hari lalu. Dia hanya berbicara mengenai Libya yang aman dan keselamatan rakyatnya," katanya


Tiada ulasan:
Catat Ulasan