Jangan ambil tugas RoS, kata Ismail Sabri kepada Ahmad Maslan
SETIAUSAHA Agung Umno Ahmad Maslan tidak harus mengambil kuasa pendaftar pertubuhan apabila berkata Umno tidak melanggar perlembagaan atau peraturan mesyuarat pada perhimpunan agungnya baru-baru ini, kata Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, isu itu – yang diadukan oleh ahli Umno yang mempertikaikan keputusan Perhimpunan Agung Umno 2022 pada 14 Januari menetapkan tiada pemilihan bagi jawaan presiden dan timbalannya – masih disiasat oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
“Jangan mengambil bidang kuasa RoS, kerana jabatan itu baru saja menjawab surat dua pihak yang mengadu perkara itu.
“Saya difahamkan RoS sudah menjawab aduan dua pengadu itu yang mereka sudah menerima aduan itu dan RoS sedang menyiasat, jadi Ahmad Maslan tidak boleh kata begitu.
“Biarkan dulu RoS menyiasat,” katanya, seperti dipetik BH Online.
Semalam, Ahmad dalam satu hantaran di Facebook memberikan bayangan RoS sudah membuat keputusan terhadap aduan yang dikemukakan kepada oleh sekurang-kurangnya dua ahli Umno.
“Tiada pelanggaran Perlembagaan Umno atau Peraturan Mesyuarat ketika Perhimpunan Agung 2022.
“Semua berjalan dengan teratur. Sekitar 90% perwakilan setuju dengan usul tiada pertandingan presiden dan timbalan. Sudah banyak kali dalam sejarah 77 tahun umur Umno jawatan itu tidak dipertanding,” tulisnya.
Menurut Ismail Sabri, Ahmad tidak boleh membuat kenyataan seperti itu.
Seorang ahli Umno yang membuat aduan itu, Aizat Fikri Mohd Nasir, semalam menyifatkan kenyataan Ahmad pramatang.
“Saya berharap Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan tidak mendahului pihak RoS dalam membuat keputusan dan tidak mencampuri siasatan yang sedang dijalankan RoS,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Umno Kuala Nerus itu mengesahkan beliau menerima surat maklum balas dari RoS yang mengatakan mereka sedang menyemak dan menyiasat aduannya. Surat itu bertarikh 26 Januari, katanya.
“Saya percaya RoS akan menjalankan siasatan yang eksplisit dengan memanggil perwakilan-perwakilan yang berada di Dewan Merdeka termasuklah Ahli-Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno bagi mendapatkan gambaran yang jelas dan adil,” katanya.
Umno dijadual mengadakan pemilihan parti pada 18 Mac ini. – 4 Februari, 2023.





