Khamis, 9 Julai 2009
CERITA CERITA ORANG BIASA – DUA
CERITA TENTANG DIA
Aku pun berdiri di bibir jalan menunggu teksi. Sebuah teksi sampai - aku membuka pintu untuk masuk. Masuk ke dalam sebuah teksi samalah seperti memasuki sebuah dunia yang baru. Dua susuk yang tidak pernah berkenalan sepanjang hidup tiba-tiba akan bekongsi untuk sementara waktu dalam sebuah ruang yang sempit.
Seperti Stagecoach filem John Ford – manusia sering terperangkap dalam ruang dan waktu dimana mereka tidak memiliki pilihan – jika apa-apa berlaku.
Bila memasuki ke dalam teksi mata aku sering liar memerhati untuk meneliti siapakah susuk yang akan memandu aku pulang ke rumah. Mata akan perpandangan. Pemandu dan penumpang – dua susuk ini akan menilai baik budi manusia sebaik sahaja pintu kereta dibuka dan ditutup kembali.
Seenak sahaja punggung aku di atas tilam pandak maka mata aku liar mencari - apakah ada tasbih Masehi yang bergantungan sebagai cara untuk mejauhi diri dari diganggu oleh mata-mata yang sering bekeliaran mencari kesalahan. Adakah Patong Biksu yang berperut gendut terpaku di jubin kaca sebagai doa pembuka pintu rezeki yang lumayan. Atau tulisan-tulisan Jawi yang penuh dengan kata-kata Arab yang akan membawa harapan agar terselamat dari kemalangan.
Mungkin ada terselit gambar Gautama atau Isa anak Mariam dari Nazareth di tepi laci kereta. Semua ini adalah bahasa yang membawa tanda dan makna. Inilah kata-kata pengenalan dari pemandu kepada penumpang.
Sebuah teksi adalah sebuah dunia untuk si pemandu. Dalam ruang kecil ini dia menjadi saksi alam – dia melihat – dia makan – dia minum dan dia berehat. Ingatkan kembali kesah si pemandu yang benama Travis Bickle yang dimainkan oleh De Niro. Si Pemandu ini melayari seluruh kota New York di waktu malam ketika matanya menolak tidur. Travis meligari malam sehingga jatuh cinta dengan Jodie Foster.
Bila aku masuk ke dalam teksi aku melihat si pemandu – agak telah berumur – rambutnya setengah puteh. Aku cukup senang sekali apabila bersama dengan pemandu yang ramah. Tapi yang ini belum aku kenali ramah bahasanya. Jika pemandu ramah ertinya – perjalanan kami akan selesa walau pun jalan berasak-asak.
Biasanya - akulah yang akan memulakan surah dengan bertanya – dari mana tadi? Sebaik sahaja soalan ini keluar ertinya aku ingin berkenalan. Juga pertanyaan ini adalah tanda yang menyatakan bahawa aku tidak memiliki niat jahat - untuk menyamun atau merompak.
Dari cermin pandang belakang Dia memerhati muka aku. Dia menjawab. Lalu kami mesra bersembang. Dia telah memandu teksi selama 25 tahun. Dulu pernah menjadi pemandu kereta Tuan Mat Salleh – ini ketika Tanah Melayu baru merdeka. Mencuba kerja-kerja lain tapi gagal. Kota ini adalah dunianya. Memandu adalah ilmunya. Ada lima anak – tiga telah berumah tangga. Dia telah menjadi Datuk. Kini tinggal dengan isteri dan dua anak di Puchung.
Dia bertanya tentang aku. Lalu aku terangkan – aku tinggal dengan tiga ekor kucing dan saekor anjing. Dia ketawa. Setiap kali aku mendapat soalan ini maka inilah jawapan yang akan aku berikan. Biasanya jawapan aku ini akan disusul dengan satu lagi petanyaan – kenapa tidak kahwin. Maka aku akan menjawab – aku belum cukup modal. Dia ketawa lagi.
Lalu aku pula bertanya apakah ini teksi sendiri. Dia menerangkan - bukan. Dia menyewa teksi ini. Dia tidak memiliki permit untuk memiliki sebuah teksi. Setiap hari Dia wajib membayar 35 ke 40 ringgit kepadaa tuan empunya. Lalu Dia bercerita – empat jam awal kerjanya - ke hulu ke hilir di sekeliling kota - bukan untuk dirinya. Dia wajib menyediakaan 40 ringgit dahulu sebelum dirinya sendiri mendapat upah.
Kini Dia menyatakan kerisauan – harga minyak naik – harga barang makanan naik. Dan bila hujan datang rezeki bertambah sempit. Kereta yang berpusu-pusu di dalam kota akan menjadikan Dia kehilangan banyak waktu. Pernah dan semakin selalu Dia hanya mendapat 15 ke 50 ringgit sehari. Tetapi si empunya teksi masih wajib dibayar sewanya dengan penuh. Ertinya Dia terhutang.
Banyak teksi yang aku naiki – semua pemandu berkesah sademikian. Amat jarang aku temui si pemandu yang juga si pemilik. Siapakah agaknya si pemilik teksi ini. Syarikat siapakah tuan empunya teksi-teksi yang berselirat dalam kota kita ini. Alangkah lumayannya hidup tuan empunya teksi – tidak perlu bekerja – tidak perlu berhempas pulas. Hanya mengutip sewa.
Di jubin kereta aku ternampak wajah Ganesha - terlekat. Ketika aku kecil aku cukup hairan dengan wajah ini – lelaki berhidungkan belalai gajah. Kali pertama aku melihat muka ini – ketika aku belum bersekolah lagi. Ketika itu tanah melayau ini masih dimiliki oleh orang puteh. Aku ternampak ‘manusia-gajah’ ini di kotak bedi – rokok daun – dari India. Bila aku mendewasa barulah aku sedar bahawa nama ‘manusi-gajah’ ini ialah Ganesha - jelmaan seorang dewa yang akan membantu umat manusia dalam kesusahan.
Demi Zeus – inilah sifat manusia – mereka menyatakan terima kaseh dengan pelbagai cara. Di dalam bilik teksi yang sempit pun mereka bersujud kepada Yang Esa. Lorong-lorong hidup di bumi ini berselirat dan berselerak - semuanya menuju ke kota yang sama.
Kemudian aku teringat tentang satu berita yang baru aku baca: bahawa kerajaan telah menghebahkan satu dasar teksi yang baru. Semua teksi akan menjadi – pemandu/pemilik. Lalu aku surahkan berita baik ini kepada Dia.
‘ Sekarang umur telah 62 tahun… apa saya boleh buat lagi. Kalau saya muda dahulu… bagus… sekarang nak pandu lima jam satu hari pun susah.’
Aku senyap apabila mendengar jawapan dari Dia. Bayangkan selama 25 tahun Dia memburuh – membanting tulang – tidak pernah mendapat kesenangan. Baru aku sedar umurnya telah 62 tahun. Dia lahir sebelum negara ini wujud. Dia lah warga asli pribumi tanah ini. Tapi Dia masih lagi mewajibkan dirinya memandu untuk mencari makan.
Teksi membelok ke lorong rumah aku. Aku pun sampai. Membayar tambang dan Dia beredar. Apabila teksi itu meluncur maka disitulah berakhirnya persahabatan kami. Aku jarang akan menoleh lagi. Sesudah membayar tambang aku menapak pulang.
Aku sedar tidak mungkin aku akan bertemu sekali lagi dengan Dia. Aku cukup yakin yang kemungkinan untuk bertemu sekali lagi cukup tipis kerana selama lebih sepuluh tahun - aku sering menggunakan khidmat teksi - hanya sekali aku berpeluang memasuki kembali teksi yang sama.
Aku tidak tahu berapa jumlah teksi dalam kota kita ini. Pasti banyak. Ini menjadikan pertemuan kali kedua amat susah. Mungkin juga si pemandu beralih pekerjaan. Mungkin beralih kawasan. Atau seperti Dia – jika umur telah larut - memandu teksi - adalah satu pekerjaan yang maha berat.
Bila aku menaiki tangga rumah aku teringat bagaimana sebahagian besar hidup Dia adalah di dalam teksi. Lapan jam atau dua belas jam sehari Dia beligar-ligar dalam teksi. Kalau di campurkan semua waktu itu berapa tahun agaknya dari jumlah 62 tahun hidupnya di atas bumi ini.(TT)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
17 ulasan:
video tukartiub di malam kesenian rakyat,kajang..
http://www.youtube.com/watch?v=DFXQ54gemik
enjoy!
isham!
marvelous!dah lar aku tgh stone baca..
ngam siot..
Melayu panggil Tuhan, Arab panggil Allah, Cina kata Tok Pek Kong, Hindu kata Shiva, omputih kata God, TT panggil Zeus..
Itu semua panggilan menjurus kepada Yang Esa..
lagi satu...
bnyak2 lar tulis lagi al kisah mcm ni.lepas tu kau kumpul wat buku..kompem best!aku sanggup sembah bapak nazrin suruh bagi kau dato.haha!takpon cari jln baru buat nk letak nama jalan hishammudin mcm kat kajang tu!
sedih cerita ni..
Ini lah hasil Dasar BEEN/AMNO. Sebahagian besar pemandu teksi yang menyewa adalah bumiputera. Mengapa DEB yang telah bertapak 39 tahun dibumi Malaysia ini TIDAK berhasil memberi penghidupan sederhana kepada pemandu bumiputera teksi? Jelas dibelut oleh pemimpin pemimpin UMNO. Mereka lah kaum bumiputera yang mengaut hasil DEB..bumiputera seperti pemandu teksi hanya "puteh mata" saja dan hidup 'kais pagi makan pagi kais petang makan petang'.. itu lah hasil DEB oleh UMNO.
Biasanya orang orang yang membelut akan dibalsakan oleh Tuhan Yang Mahakuasa..kalau bukan didunia material ini tentu akan dibalasi didunia akhirat.
Allahuakhbar Allahuakhbar.
Tanya nazri....siapa tuan punya teksi tu...itulah dia...dulu 1Melayu dah kena tipu...sekarang ni pulak...1Malaysia nak kena tipu...nasib nasib...apa nak jadi?
Begitulah lumrah hidup, ramai yang membanting tulang untuk menyara anak isteri sehingga ka akhir hayat, tetapi ada juga yang dengan sekelip mata boleh mempunyai banglo mewah berjuta juta ringgit. Mereka ini adalah tergulong dalam kategori yang walau apa pun kerjaya mereka tetapi setelah menyertai politik, tiba tiba mereka dapat ilham untuk berniaga. Mereka dan anak isteri mereka tiba tiba jadi orang yang hebat dalam dunia perniagaan.
hadoi isham,...
dah lama aku tunggu cherita bagini muncol.
dah lama kau tak tulis bagini.
perasaan ketagih kembali datang...
kau tulis seribu cherita bagini - aku akan baca.
bise kali mu sang..demi bok terus..kakakaka
bro, ko punya tulisan semua menarik, logik dan mudah faham KECUALI yg berkaitan Islam.
Nampak sgt ke`jahilan' eko !
sadis hidup ini...
mtg bertam,
Ape yang TT jahil tentang Islam? Terangkan kat sini, saya pun mahu tahu!
Kenapa payah sangat nak guna 'logik' kalau TT tulis pasal Islam? Siapa yang jahil sebenarnya?
aku igt ramai yg xphm.. rupa nya ada jgk yg paham.. nunca caminaras solo.. caya la... cam lirik lagu tores jekk!! :))
Travis Bickle "you talking to me?" quote si De Niro dalam cerita tu memang sampai sekarang aku ingat.
Kadang-kadang aku cuba terfikir,bila aku naik teksi dari Cheras ke CM sampai RM40 tu,berapa sen je sebenarnya yang pemandu tu dapat?
Diesel naik harga satu hal,yang nak naikkan sewa tu apahal?
Aku pernah berborak dengan sorang pemandu teksi,dia seorang Cina dalam golongan working class.Ini membuktikan bukan semua Cina kaya macam pemuda UMNO kata kat aku masa rewang member aku kawin dulu.
Dia kata dia dapat RM20 je satu hari,aku buat muka pelik,"apa pasat RM20 sehari?Trip pergi Cheras je dah RM40..mana pergi duit semua?"
"Itu sewa mau kasi bayar..itu Bos Melayu ha,manyak kasi susah..ini bulan dia mau naik sewa,kita ini susah apa macam?"
Sebab tu aku cakap,masalah utama bukan antara kaum,tapi antara kelas.Melayu kaya tindas Cina miskin,Cina kaya tindas Melayu miskin.Yang gaduh Cina miskin dengan Melayu miskin.Cina kaya ada minah body solid mengurut,yang Melayu ada amoi mengurut.
Dunia..oh..dunia.
p/s:Belgium ada apa best?haha!
Al Kisah Wal Benar...
Di suatu dinihari Jumaat yang ku tak lagi ingat haribulannya,ketika aku memandu teksi 2nd handku di Jalan Semantan,sekelibat seorang insan berbaju hitam menahan teksiku....
Fuyoo..."DIA NI"....Tersenyum simpul aku.Sebaik pintu di buka manusia itu...
"MASJID JAMEK BOLEH BANG?" Orait boss...lalu tanpa berlengah lelaki itu memasuki teksiku.Terkejut beruk dia bila aku hulurkan tangan dan menyapa namanya....terus dia bertanya macamana aku tau nama nya???Aku tersenyum dan berkata"ELEH...ORANG FAMOUS MCM NI TAK KAN ORG TAK KENAL"...oOOOOOhhh...DIA MENARIK NAFAS LEGA "I INGAT YOU NI SB"kata beliau...Aku jawab...HILANG AKAL LA AKU KALAU AKU SB".
Beliau bercerita yang beliau pun suspen juga sebab RPK dah kat kemunting...mungkin he's the next.
Manusia yang ku bawa ini bermukim di dalam hutan Bentung katanya.Dia dapat khidmat bodyguard free dari orang asli disana.Untuk kerumah beliau kita terpaksa terlebih dahulu bagi salam kat orang asli...pantang orang asli...kalau muka penyangak jangan harap dapat masuk @ lintas kampung diaorang.Manusia ini berkata lagi " I TAK JOIN MANA-MANA PARTI SEBAB KALAU KITA KAT LUAR SEMUA ORANG KITA BOLEH TEGUR" tapi kalau dia nak join parti dia akan join parti yang sama dengan parti yang aku jadi life member...seehhh...(bangganya aku)
Sesampai di Jalan Raja Laut,meter dah tunjuk 7.50...tapi aku cuma ambil RM5.00.Aku marah dia dan cakap...YOU DAH BANYAK BERJUANGGGGG...I AMIK DUIT GAS DAH LERRR...
Tammat.
Next True Story : Polis Yang Jujur
nami o fish,
I rasa luahan si apek pada you tak berapa ngam dengan situasi sebenar,average collection teksi kalau guna meter dan pandai pilih area...about RM 150-180.Tolak gas RM20,sewa RM 50,makan/rokok RM 15...berapa yang tinggal?
Teksi ni agak subjektif sikit,kebiasaannya geng otai akan target minimum RM 180 sehari,selagi tak dapat diorang tak akan balik sarang.Apek tadi tu saja mengayat you tu...mentang2 dia charge RM 40.Permit syarikat atau permit individu semuanya tergantung pada diri sendiri.Aku pernah bersembang dengan beberapa pemandu teksi....kata mereka kalaulah dalam KL ni semua permit individu,kemungkinan masa peak hour tak ada teksi atas jalan.Tengok jer la sekarang ni...banyak Teksi permit sendiri yang banyak parking dari bergerak,semua ni gara-gara tak ada commitment sewa dll.Kuar pagi jap...dapat duit rokok/minum/makan/anak sekolah...balik sarang...Ini lah antara keburukan permit sendiri...sama macam DEB dan subsidi yang wat Melayu malas.Nasib baik lah kat Malaysia bukan warganegara xleh bawa teksi secara sah..kalau tidak...bayangkan sendirilah...
Pemandu teksi ni juga manusia biasa...banyak ragam mereka...kalau yang jenis cakap besar...RM400 sehari boley dapat...yang jenis tamak pulak...hari-hari cerita susah...patut lah Tuhan bagi susah...Apa ke jadahnya yang susah???Selain kerenah cerewit nak mampus Puspakom & LPKP aku rasa hal-hal lain boleh di atasi sendiri.
Tabiat customer mengikut kaum pulak lebih kurang macam ni:
~ Lelaki Cina - keep the change.
~ Amoy Cina - tunggu ballance tambang walaupun 10sen
~ Perempuan India - bayar ngam2 ikut meter dan bagi duit cukup-cukup
~ Jepun - kedekut nak mampus
~ Arab - kurang ajar dan selalu ingat dia boleh beli semua orang.
~ Mat Salleh - selalu bagi extra asalkan kita pakai meter dan friendly
~ Perempuan Melayu kerja opis - sekupang pun tunggu
~ Perempuan Melayu GRO - selalu bayar lebih dari meter
~ Gagak hitam - intro cantik...masa nak bayar banyak songeh
~ Indonesian - jarang yang ambik ballance(keep the change..walau pun diorang cuma buruh binaan)
Pengamatan aku selama memandu teksi ni,soal tambang sebenarnya ada cara yang boleh di buat supaya pemandu/penumpang tak rugi...tapi aku dah buat ketetapan...biar BN jatuh dulu nanti baru aku suggest kat PR.Kah..kah..kah..takat ni dulu...aku nak bawak teksi ni...tengok tukartiub punya pasal aku rugi 2-3 customer dah...kah..kah...kah...santai free
Catat Ulasan