Rabu, 26 September 2018

MERAKAM SEJARTAH - SEMUA DIRANCANG






MERAKAM SEJARAH

SEMUA DI RANCANG

Demi pemahaman politik  saya wajib melakukan pencerahan.  Wajib saya menerangkan untuk  difahami bahawa apa sahaja yang terjadi dalam politik - semuanya disusun. Semua dirancang. Semuanya diatur. Dalam politik tidak ada satu pekara boleh berlaku secara sendirian. Politik bukan bencana ribut taufan atau gempa bumi. 

Dalam politik tidak ada casus fortuitus atau force majeure atau  act of God - politik bergerak bukan kerana kuasa Tuhan. Dalam politik semua dirancang dan diatur oleh manusia. Dalam politik Tuhan tidak masuk campur.

Ada agenda politik yang dirancang dengan  niat baik tapi hasilnya membawa mudarat. Ada agenda politik yang dirancang untuk tujuan jahat tapi hasilnya membawa kebaikkan.

Dalam politik tidak ada salah cakap. Tidak ada tersalah lawak. Apa sahaja yang  terkeluar dari mulut politikus semuanya telah lama mengeram dalam kepala  politikus. Bila politikus becakap maka ide terperam menetas.

Tuduhan terhadap media atau akhbar salah lapor adalah cara jahat politikus untuk memburukkan wartawan dan menyelamatkan diri. Membuat kenyataan kemudian mengatakan kenyataan itu hanya lawak hanyalah jawapan Mat Songel yang membuat lawak bodoh.

Mengakui diri sakit dan dipaparkan kesakitan kepada umum  wal hal diri  tidak sakit. Ini adalah kelakuan orang politik dalam agenda  minta simpati. Ada pula Sang Politikus telah diberitahu oleh doktor yang dirinya sah sakit tapi sebagai agenda politik Sang Politikus tidak akan mengumumkan penyakitnya kepada orang ramai hingga dia mati tegak.

Kawin dalam gelap kemudian bercerai dalam gelap juga adalah kerja orang politik untuk menunjukkan yang dirinya adalah manusia suci saperi Mahatma Gandhi yang tidak ada berahi seksual. Hakikatnya apa saja yang berlaku dalam politik dan bersangkutan dengan orang politik, yakinlah , semua dirancang dan disusun.

Tetiba satu petang awal tahun 2014 saya dapat panggilan talipon. Saya diberi tahu ada seorang wartawan nak  jumpa.  Pekara berjumpa dengan wartawan ini adalah  pekara lumrah. Banyak wartawan dari dalam dan luar negara yang telah saya jumpa. 

Ramai yang telah bertemu bual hingga saya terlupa media mana atau stesen tv mana yang telah saya layan. Paling saya lupa ialah  wartawan dari luar negara. Kad-kad  nama wartawan ini  masih ada tersimpan. Mungkin untuk bahan sejarah. Justeru satu lagi panggilan talipon tidak mengejutkan saya. 

Kami membuat pertemuan di sebuah restoran China di Jalan Stadium. Restoran ini agak tersorok. Tidak terbuka saperti Old Town Cafe Brickfield. 

Pada malam itu yang  saya temui ialah seorang wartawan perempuan - Ms Louise Story. Wartawan ini dari The New York Times (NYT).  Ini harian  yang amat berpengaruh dari America.  Malah inilah akhbar yang menjadi rujukan politik untuk warga Amerika. Kepada  sesiapa dalam dunia ini yang mahu memahami  garis dan dasar politik Rumah Puteh wajib membaca NYT. 

Untuk kaum kiri di Amerika,  NYT ini dipelekeh sebagai akhbar penyimpan arkib  CIA. Justeru, NYT ini mungkin boleh disamakan peranannya saperti Utusan Melayu.  Walau pun kualiti laporannya  NYT berpuluh juta kali lebih baik dari Utusan.

Sambil makan kami bersembang. Agak susah juga untuk bersembang secara terbuka kerana kami baru berkenalan. Si Louise ini sedag menyediakan laporan berita  tentang 1MDB dan Jho Low. 

Ini diawal tahun 2014. Nama China tembam Jho Low belum pop lagi. Nama 1MDB pun belum meledak. Hakikatnya pada ketika ini saya sendiri  tidak arif  tentang  1MDB. Malah tidak tahu  siapa hamba Allah yang bernama Jho Low.

Dua malam kemudian kami berjumpa lagi. Kali ini  makan di Jalan Alor. Kami bersembang lagi. Saya korek dan gali. Si Louise ini mengkorek-korek juga. Sama-sama mencari maklumat.

Pertemuan kali kedua ini agak selesa. Saya telah sempat bertanya dengan Lebai Google tentang siapa Minah Louise  Story.

Wah! Minah ni bukan calang-calang wartawan. Lulusan Colombia University dan Yale. Menjadi wartawan di NYT lebih  dari satu dekad. Pernah dicadangkan untuk mendapat Hadiah Pilitzer pada tahun 2009 kerana laporan beritanya. Ini hadiah terulung untuk warga Amerika. Kalau filem ada  Academy Awards. Dalam bidang penulisan ada Hadiah Pulitzer.

Saya dengan senang hati membantu wartawan NYT ini. Malah saya cuba membuka beberapa pintu agar dia mendapat maklumat yang dicari. Saya    juga menggunakan jaringan ‘old boy MCKK’ untuk membantu Louise. Nama-nama yang disebut oleh  Louise telah saya  cuba  uruskan.

Apakah saya tidak sedar bahawa NYT ini adalah akhbar yang ada hubungan dengan lembaga CIA? Apakah saya tidak sedar bahawa akhbar NYT ini sedang membuat penyelidikan terhadap kerajaan Malaysia?  Dimana kesetiaan saya? Kepada kepentingan negara asing atau kepada negara sendiri?

Dalam hal ini saya cukup jelas. Saya dari mahzab kiri cukup yakin degan teori ‘united front’. 

Lihat sejarah united berjalan di Tanah Melayu pada satu masa dahulu. Jepun telah melanggar dan menjajah Tanah Melayu dari 8 Disember 1941 hingga 2 September 1945.  Parti Komunis Malaya (PKM) telah bekerjasama dengan kuasa kolonial Inggeris.  PKM telah melancarkan perang gerila melawan Jepun. Senjata telah diterbangkan oleh British dari Ceylon kepada  Ching Peng dan Rashid Mydin. Senjata dari musuh  lama    ini bertujuan untuk menyerang Jepun - musuh baru.

PKM dan British telah menjalin kerjasama atas dasar united front. Buktinya sesudah Jepun kalah, Chin Peng Setiausaha PKM telah mendapat anugerah OBE - Order of the British Empire dari Raja England. Kemudian anugerah OBE ini ditarik balik kerana gerila PKM  terus menyerang soldadu British di Tanah Melayu.

Pada 2014 Hishamuddin Rais juga telah bersedia bekerjasam dengan musuh termasuk CIA dalam usaha untuk menjatuhkan Najib dan  United Malays National Organisation. Dalam hal ini saya tidak berselindung atau malu muka. Falsafah saya ialah musuh kepada musuh saya adalah kawan saya. Amin.

Pertemuan kali ke tiga dan akhir dengan Louise dibuat di Old Town Brickfield. Telah lebih satu bulan si Louise ini merayau-rayau dari kota ke kota mencari  maklumat. 

Saya perhatikan bahawa wartawan NYT ini amat berbeza cara kerjanya  berbanding  dengan  kerja wartawan dari Utusan. Nama-nama yang wajib ditemui disusun rapi. Ini bukan kerja wartawaan. Ini macam kerja intel.

Bila saya tanya Louise bila agaknya artikel iakan mucul di NYT.

‘ Sometime in the autumn…’  Maknanya tulisan ini akan diterbitkan dalam bulan Oktober atau November - musim daun gugur - sebelum masuk musim sejuk. Saya wajib menunggu 8 bulan untuk melihat apa yang telah ditulis oleh Louise.

Wow. Lambat sekali. Apa yang menjadikan tulisan ini keluar amat lambat hanya Guru nanak sahaja yang maha mengetahui.

Sesudah Louise pulang ke Amerika saya telah menalipon  Wan Fathi dari Malaymail Online, Najib  Ketua Pengrang Suara Keadilan, Jimadi dari MalaysiaKini, Amin Iskandar dari Malaysian Insider dan  Sadikin Omar dari Roket.

Semua sosok ini saya nyatakan agar bersedia dengan data dan maklumat 1MDB. Saya tidak nyatakan bahawa ‘ejen CIA’ akan meledakan berita ini dalam bulan Oktober depan. Saya menalipon  para wartawan ini dalam  tahun 2014 maka saya wajib berselindung bukan terbuka saperti sekarang.

Saya yakin kawan-kawan wartawan saya ini tidak tahu dan tidak faham hujung pangkal. Mereka wartawan - buah butir dari saya tidak jelas. Justeru, mungkin mereka tidak ambil pot. Kalau hari ini ditanya mereka sekali lagi - pasti mereka tidak ingat panggilan talipon dari saya. 

Kepada kawan-kawan dan aktivis  di Bangsar saya nyatakan bersedia ‘ something bigger than big..akan sampai…’ Apa pekara lebih besar dari besar ini saya tidak dapat menerangkan kepada mereka. Tapi saya telah membayangkan rancangan CIA dan Amerika  dan kuasa Eropah terhadap Najib.

Malah satelah Louise pulang ke Amerika saya dan beberapa kawan  yang pernah bertemu Louise bertukar-tukar cerita. Sambil-sambil ketawa - ada yang menyatakan yang dia pernah ternampak rambut palsu dalam beg Si Louise ini. 

Malah ada kawan  yang berwatapps dengan Louise  menerangkan bahwa Si Louise ini kerap menukar number taliponnya. 

Babak-babak politik ini berlaku dalam  tahun 2014 - kerajaan Najib masih berkuasa. Saya yakin saya diperhatikan oleh aparacik daulah.  Saya sedar saya masih dianggap musuh negara. Justeru saya mengelak dari menghubungi Louise melalui e-mail.

Tahun 2014 suasana politik masih malap. Langkah Kajang gagal. Anwar tidak bertanding dalam PRK Kajang. Wan Azizah ditolak oleh Sultan dari menjadi Menteri Besar Selangor. Azmin diangkat menjadi Menteri Besar.

Kini saya tergantung dalam dua penungguan. Pertama - saya masih menunggu jawapan dari Orang Tun. Niat  untuk membuat kerjasama telah dihantar. Tujuan untuk menggalang kerjasama  untuk menjatuhkan Najib dan United Malays National Organisation. 

Kedua - menunggu musim daun gugur di Amerika Utara. Bulan September ,Oktober dan bulan November adalah musim daun gugur. Bulan Disember permulaan musim sejuk.  Menunggu - bigger than big - menunggu garapan Louise Story muncul dalam NYT. 

Saya terfikir dan tertanya-tanya kenapa laporan satu berita mengambil masa yang bagitu panjang untuk dituntaskan. Saya tidak faham. Saya diwajibkan menunggu tanpa tarikh dan masa yang tepat.

Sebenarnya saya tidak sabar. Apa yang saya bayangkan ialah apabila - bigger than big - meledak   maka suasana politik malap akan berubah. Saya juga  merasa ‘gatal’ ingin bertanya kepada Louise bila agakya berita akan keluar. Tapi saya pendamkan niat ini.

Apakah niat dan cita-cita saya ini akan termakbul? Tunggu minggu hadapan. (tt) 
NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan 
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-10-45


--------------------

2 ulasan:

Awanama berkata...

kali aku serius ..

untuk perenggan pertama je terus aku tak setuju dengan ko isham .. allah mencatur semua benda.

cuma manusia ingat di pandai sangat sampai kononya dia mampu mencatur dunia.

ingat isham kalau otaimer ko tak berjupa dan berkahwin nescaya ko tak akan lahir ke dunia.. dan tidak dapatlah ko mencarut tentang sejarah guru nanak dan mat songeh

kah kah kah

Awanama berkata...

lanchau manchau laa kau tt....kau jangan mengarut laaa dalam merakam sejarah kau kata kau berkerjasama dengan wartawan agen CIA macam Mision Imposible pulak....lebih baik kau buat kerjasama dengan Nik Abodoh agen CIA PAS tu atau paling koman pun kau kerjasana dengan Mat Sentul agen popular Melayu tahun 60an MAT BOND aka Mat Parang Tajam...kahkakah....