SIAPA KALAH
DAN
Media arus perdana di Amerika saperti The New York Times, Washington Post, USA Today , The Wall Street Journal termasuk stesen saperti CNN, CBS , NBC atau ABC semuanya telah mengumumkan Joe Biden sebagai pemenang pemilihan Presiden 2020 untuk menggantikan Presiden Donald Trump.
Donald Trump bersama tim para peguamnya yang di kepalai oleh Rudy Guilaini – bekas Datuk Bandar New York - masih cuba menggagalkan kemenangan Joe Biden. Tim Trump dan para penyokong Trump terus menganggap pilihan raya 2020 ini penuh dengan penipuan undi.
Secara terang lagi lantang mereka mengumumkan – Kemenangan Donald Trump telah dicuri. Ketika tulisan ini digarap Donald Trump masih enggan ‘concede’ atau mengaku kalah.
Dalam sistem politik Amerika tidak ada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR ) saperti di Malaysia. Pengumuman resmi akan diumumkan oleh Kongress. Kemenangan bukan melalui undi popular tapi jumlah undi electoral dari negeri-negeri yang dikumpulkan. Setiap negeri memiliki jumlah electoral votes yang berbeza-beza. Pengumuman ini akan berlaku dalam bulan Disember.
Bulan November salepas mengundi dipanggil ‘ waktu peralihan’. Ini waktu sebelum Presiden baru masuk ke Rumah Puteh secara resmi sesudah mengangkat sumpah pada 20 Januari.
Ketika tulisan ini digarap 28 November 2020 secara resmi Presiden Amerika masih lagi Donald Trump.
Saya menyokong Donald Trump. Saya memberikan simpati. Biar saya beri pencerahan agar tidak ada kecelaruan kenapa saya bersimpati dengan Donald Trump.
Simpati saya bukan kerana garis kanan yang dibawanya. Simpati saya bukan kerana Trump menyokong kuat Israel dan Zionisma. Simpati saya bukan kerana Trump kaya dan lucah. Bukan. Bukan dan tidak.
Saya faham dan saya sedar siapa dia Trump. Saya tahu dan faham semua Presiden Amerika ini mewakili apa. Untuk kepentingan siapa. Amerika ialah negara kapitalis. Sistem ekonomi kapitalis Amerika yang melimpah ruah merayau dan menjarah ke seluruh dunia mencari untung . Amerika ialah kuasa imperialis. Kuasa ekonomi Amerika ini dipasak, dijaga dan dikawal lebih dari 800 pengkalan tentera Amerika dimerata pelusuk dunia.
Dari pandangan kaum kiri imperialisma ialah puncak akhir perkembangan sistem ekonomi kapitalis - atau – the highest stage of capitalism . Kaum kiri dan kaum Marxist percaya dan yakin sistem kapitalis ini akan membunuh sistem itu sendiri. Hukum-hukum ekonomi, hukum sosial dan hukum sejarah sedang menunjukan bahawa sistem ekonomi kapitalis ini sedang menuju ke arah maut. Amin.
Pada hemat pembacaan saya untuk pertama kalinya dalam sejarah 200 tahun Amerika - dunia dapat melihat apa sabenarnya kuasa imperialis yang dikepalai oleh United States of America. Dunia melihat bagaimana sistem ekonomi kapitalis bergerak mencari laba. Bagaimana aparachik politik dan jentera ekonomi sistem kapitalis merancang dan menyusun agenda untuk memastikan semua laba masuk ke kantung mereka.
Saya berharap apa yang sedang dilakukan oleh Donald Trump ini akan memberi penjelasan dan pencerahan tentang apa sebenarnya Presiden Amerika. Siapa di belakang Presiden Amerika. Apa itu sistem ekonomi kapitalis. Dan kita dapat memahami secara tuntas apa makna imperialis.
Semenjak berjaya menewaskan Hilary Clinton dan dimashorkan pada Januari 2016 sebagai Presiden Donald Trump telah digudam tanpa henti-henti. Sebelum mengangkat sumpah lagi media arus perdana Amerika telah menyerang Trump.
Kes seksual meraba perempuan, kes tak bayar cukai, kes main pelacur, kes suka kencing panas pelacur – semua dihimpapkan ke atas kepala Donald Trump.
Paling licik ialah serangan dimana telah diolah satu naratif bagaimana Trump telah dituduh sebagai ajen Rusia. Trump dikatakan menang pemilihan ke Rumah Puteh tahun 2016 kerana sokongan gelap bawah tanah dari Rusia dan Putin.
Trump digudam dan dibantai oleh media Amerika dengan apa yang dikenali sebagai Rusiagate. Ini sama saperti Presiden Nixon berhadapan dengan Watergate pada tahun 1973/74. Nixon akhirnya meletak jawatan untuk mengelak dari dipecat.
Rusiagate digunakan oleh media untuk memecat Trump. Tetapi segala usaha gagal. Badan perisik Amerika – National Security Agency akhirnya memberi laporan bahawa tidak ada apa-apa hubungan antara Rusia, Putin dengan Trump. Kemenangan Trump tidak ada pertalian dengan Rusia atau Putin.
Kenapa Donald Trump diserang? Siapa dibelakang serangan ini ? Apa tujuan projek menjatuhkan Donald Trump. Apakah Trump ini diserang kerana dia saorang sosialis. Atau Trump saorang Marxis?
Sayugia diberitahu disini bahawa Presiden Amerika - atau sesiapa sahaja yang menduduki Rumah Puteh mewakili kepentingan kaum pemodal. Presiden Amerika dipilih untuk mewakili kepentingan syarikat gergasi dunia. Tidak ada – malah mustahil akan ada Presiden Amerika yang akan berani membuat dasar, membuat kenyataan yang dilihat sebagai bersimpati kepada warga dunia yang tertindas.
Dunia akan kiamat jika seorang sosialis menjadi Presiden Amerika Sarekat.
Justeru kenapa Donald Trump dibalun tanpa henti henti.
Jawabnya kerana Presiden Donald Trump jujur.
Kaum pemodal dan kaum kapitalis Amerika tidak mahu Presiden yang jujur. Contohnya Trump memperlihatkan cinta kaseh sayang kepada Israel secara terbuka. Menyokong Israel untuk menjadikan Baitul Muqadis sebagai ibu negara Israel.
Ini kejujuran Trump. Cara jujur Trump ini salah. Presiden Amerika seharusnya tidak perlu dilihat secara terbuka menyokong Zionis Israel. Menyokong Zionis ialah wajib. Tapi cara menyokong wajib berlapik-lapik. Harus bermuka-muka dengan rejim Arab yang lain. Tidak sepatutnya dunia melihat Amerika menjadi budak suruhan Zionis Israel.
Pada 3 April 2017 Presiden Sisi disambut oleh Trump ke Rumah Puteh. Trump berkata Presiden Mesir ini ‘ very close to me....’ Trump berkata benar dan jujur. Presiden Amerika tidak seharusnya menobatkan ditaktor secara terbuka. Ditaktor yang dibenci rakyat tak perlu dijemput ke Rumah Puteh.
Trump menambahramai lagi warga dunia mengambil sikap anti-Amerika. Sentimen anti Amerika merebak. Ini bahaya untuk kaum pemodal.
Dasar Amerika ialah memberi sokongan kepada semua Presiden atau Perdana Menteri dari Asia, Afrika atau Amerika Latin yang anti kaum buruh, anti komunis , yang anti nasionalis, yang anti sosialis dan pro kapitalis. Tetapi sokongan ini wajib disalurkan secara kabur dan gelap. Amerika wajib dilihat demokratik. Jangan naikkan darah kemarahan rakyat saperti Amerika dipukul kalah di Indo China.
Selama Trump di Rumah Puteh pelbagai rupa penjenayah , pembunuh, perasuah , kleptokrat dijemput ke Rumah Puteh termasuk Najib. Ini membahayakan dasar luar Amerika yang mahu dilihat demokratik. Amerika tidak mahu dilihat pro ditaktor secara terbuka.
Lihat bagaimana Trump meninggalkan Perjanjian Paris tentang iklim dunia yang ditaja oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB). Perjanjian ini telah ditandatangani oleh 153 negara pada 4 November 2016. Trump jujur. Perjanjian ini akan merugikan kaum pemodal Amerika.
Pada pandangan musuh Trump - Amerika tidak seharusnya meninggalkan perjanjian itu. Biasanya Presiden Amerika akan menanda tangani pelbagai janji tapi hanya tinggal janji. Ini cara Amerika.
Hakikatnya selama 4 tahun ini politik dan ekonomi Amerika menjadi kacau bilau. Donald Trump di Rumah Puteh telah menghuru harakan Amerika.
Justeru musuh Donald Trump berkumpul. Mereka bersatu hati bersetia kawan menggalang united front untuk memastikan Trump tewas dalam pemilihan Presiden 2020.
Siapa musuh Trump?
Musuh utama yang sentiasa dilihat jelas ialah media arus perdana Amerika. Media arus perdana Amerika dari awal lagi telah menunjukan sikap. Wajib disedari media ini ada tuan pemilik. Media ini mewakili kepentingan tuan pemilik dan kaum pemodal.
Apa dia oligarki ? Oligarki adalah pemilik kuasa yang sebenarnya dalam politik sistem ekonomi kapitalis. Kumpulan kecil oligarki inilah yang memberi arahan dalam struktur politik dan ekonomi. Mereka terdiri dari gulungan elit, bangsawan, feudal, agamawan, pemilik bank, pemilk industri , pemilik media – mereka inilah yang sabenarnya pemilk kuasa.
Presiden Amerika hanya wakil mereka. Presiden Amerika dinaik atau diturunkan demi kepentingan kaum kapitalis.
Manakala gergasi teknoloji adalah pendatang baru muncul semenjak era internet. Mereka ini pemilik Face Book, Twitter, Amazon dan syarikat gergasi yang menjadi kaya raya melalui internet dan media sosial.
Media, oligarki dan gergasi teknoloji ini telah bersatu menentang Trump. Tiga kumpulan ini telah bersepadu menghalang Trump masuk sekali lagi ke Rumah Putih. Kumpulan ini menyokong Joe Biden sebagai wakil baru mereka di Rumah Putih.
Justeru dari sini saya harap pembaca faham bahawa pilihanraya itu semua adalah sandiwara untuk orang ramai. Pemilihan Presiden itu hanya teater untuk mengolah persetujuan orang ramai bahawa mereka dikatakan ada pilihan. Walhal – rakyat Amerika hanya ada dua pilihan Coca Cola atau Pepsi Cola.
Donald Trump cuba menjadi Oren Jus kini sedang dibantai untuk diganti.
Lihat bagaimana Twitter telah menutup akaun Trump. Lihat bagaimana semua berita rasuah Hunter anak lelaki Joe Biden tidak mendapat ruang di media arus perdana Amerika. Face Book dan Twitter melupuskan dan menghalang semua berita berkenaan kes rasuah Joe Biden dan anaknya. Ini kuasa baru dari gergasi teknoloji.
Justeru saya melihat kejujuran Donald Trump sebagai kuliah politik untuk memahami apa itu Presiden Amerika. Apa itu pilihan raya. Dan diapa sabenarnya berkuasa di belakang Presiden Amerika.
Satelah memahami pemilihan Presiden Amerika maka tidak susah untuk kita bersama memahami persamaan politik pilihanraya di Malaysia. Amin. (TT)
1 ulasan:
sial kau lah si Trump kalah. what the fuck la lu TT
Catat Ulasan