Penduduk Aceh siap siaga jalani latihan bencana menjelang ulang tahun ke-20 tragedi tsunami 2004
BANDA ACEH: Penduduk di sini bersiap siaga dengan mengikuti latihan bencana hari ini, selepas wilayah utara Sumatera itu paling teruk terjejas akibat tsunami Lautan Hindi pada 2004.
Menjelang ulang tahun ke-20, bulan depan, penduduk mengikuti latihan bencana dengan simulasi termasuk kanak-kanak berlari menyelamatkan diri dari tingkat dua sebuah sekolah.
Apabila loceng sekolah berbunyi, puluhan kanak-kanak berlari ke jalan raya mengikuti laluan keluar yang sudah ditandai, sementara sukarelawan berteriak 'evakuasi'.
Peserta latihan, Rizky Firmansyah, 34, berkata latihan itu membantu orang ramai memahami tindakan yang patut dilakukan jika berlaku kejadian tidak diingini.
"Lebih baik kita bersiap sedia lebih awal menghadapi perkara yang tidak diingini," katanya.
Latihan berkenaan menggunakan simulasi gempa bumi dengan kekuatan 9.2 magnitud yang melanda di luar pantai barat pulau Sumatera, Indonesia, pada 26 Disember 2004, mencetuskan gelombang besar yang mengorbankan lebih 200,000 orang di 14 negara.
Latihan yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menyaksikan ratusan pelajar dan sukarelawan berlari ke rumah-rumah perlindungan, termasuk sebuah bangunan empat tingkat, ketika latihan gempa bumi itu dilakukan.
Latihan yang berlangsung di dua kampung dan disaksikan oleh ratusan pemerhati adalah sebahagian daripada sidang kemuncak tsunami yang diadakan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Hampir 20 tahun selepas bencana itu berlaku, PBB berusaha memastikan 100 peratus komuniti pesisir pantai bersiap sedia untuk kemungkinan tsunami berulang menjelang 2030.
Pegawai UNESCO merangkap Ketua Pusat Maklumat Tsunami Lautan Hindi, Ardito Kodijat, berkata pihaknya perlu memastikan bahawa generasi akan datang perlu sentiasa diberi maklumat, bersedia dan berdaya tahan.
"Bagi menjamin kesiapsiagaan masyarakat, mereka memerlukan latihan berkala," katanya.
Indonesia adalah satu daripada negara paling terdedah kepada bencana di dunia. Negara kepulauan itu berada di kawasan Lingkaran Api Pasifik, berlaku di kawasan pertemuan dua plat tektonik dan banyak letusan gunung berapi serta gempa bumi dunia berlaku. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan