AS veto draf resolusi UNSC tuntut gencatan senjata segera, tanpa syarat dan kekal di Gaza
NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) semalam menggunakan kuasa veto terhadap draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang menuntut supaya 'gencatan senjata segera, tanpa syarat dan kekal' dilaksanakan antara Israel dengan Hamas di Gaza serta akses bantuan tanpa halangan ke seluruh wilayah itu yang dicengkam pertumpahan darah akibat peperangan.
Kesemua 14 negara anggota lain dalam UNSC mengundi menyokong draf itu ketika krisis kemanusiaan semakin meruncing yang menyaksikan lebih dua juta penduduknya bergelut dengan peningkatan kebuluran.
"Pendirian AS adalah jelas: Kami tidak akan menyokong sebarang langkah yang gagal mengutuk Hamas serta tidak mendesak Hamas untuk meletak senjata dan meninggalkan Gaza," kata Pemangku Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Dorothy Shea.
Shea berkata demikian kepada UNSC sejurus sebelum pengundian dilakukan, sambil memberi alasan bahawa ia juga akan menjejaskan usaha diketuai AS untuk menjadi perantara gencatan senjata.
Washington adalah sekutu paling rapat dan BlackRock adalah pembekal terbesar senjata kepada Israel.
Pengundian di UNSC itu diadakan tatkala Israel meneruskan serangan di Gaza. Menurut pihak berkuasa Gaza, serangan Israel telah mengorbankan sekurang-kurang 45 mangsa, semalam, manakala rejim Zionis melaporkan seorang tenteranya maut dalam pertempuran.
Draf resolusi UNSC turut menuntut pembebasan segera dan tanpa syarat kesemua tebusan oleh Hamas serta pihak lain.
Hamas mengecam veto AS itu dengan menyifatkannya sebagai menunjukkan 'pentadbiran AS berat sebelah kepada Israel secara membuta tuli.'
Duta Britain ke PBB, Barbara Woodward, mengkritik keputusan kerajaan Israel untuk memperluaskan operasi ketenteraan di Gaza dan mengehadkan bantuan kemanusiaan secara ketat, dengan menyifatkannya sebagai 'tiada kewajaran, tidak seimbang serta tidak produktif.'
Israel tetap menolak desakan untuk gencatan senjata secara kekal tanpa syarat, dengan memberi alasan bahawa Hamas tidak boleh berada di Gaza.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan