Isnin, 11 Ogos 2025

DULU PENGGANAS KOMUNIS SEKARANG PENGGANAS ISLAM


DULU LABEL 

PENGGANAS

 KOMUNIS

SEKARANG LABEL

PENGGANAS ISLAM


Tertiba kita terbaca berita  Presiden Macron dari Paris membuat kenyataan untuk mengiktiraf negara Palestin di Persidangan Tahunan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) September ini.  Ini ikuti pula  oleh kenyataan yang sama dari  Perdana Menteri  Keir Starmer dari London. Selang beberapa hari Perdana Menteri Canada pula membuat kenyataan yang sama. 

Dari mata kasar kelihatan  politik Palestin, politik Arab dan suasana politik Timur  tengah akan berubah. Agenda kemerdekaan Palestin kini kembali ke PBB. Niat dan cita-cita arwah Yasser Arafat dan  arwah Yithak Rabin untuk mendirikan Dua Negara – Palestin  dan Israel – kini akan tercapai.

Agenda: Two States Solution – Penyelesaian Dua Negara – yang telah di tandatangani oleh Yasser Arafat dan Yithak Rabin  di Perjanjian Oslo kini mara ke hadapan.

Perjanjian Oslo adalah  perjanjian damai sementara antara Israel dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO). Ditandatangani pada tahun 1993 (Oslo I) dan 1995 (Oslo II). Perjanjian ini  bertujuan untuk mewujudkan rangka kerja untuk menyelesaikan konflik Israel-Palestin melalui rundingan.

Berita dari Paris, London dan Canada ini di sambut pula oleh berita  dari New York.  Berita melaporkan telah berlaku Persidangan Perhimpunan Agung peringkat tinggi  pada 28 – 30 Julai 2025 mengenai Palestin.  Persidangan ini bertujuan untuk  memajukan realisasi dua Negara merdeka - Israel dan Palestin.
 
“Negara ahli PBB mempunyai sehingga awal September untuk mengesahkan dokumen itu jika mereka mahu,” kata wakil Arab Saudi yang menangguhkan persidangan tersebut.

Wakil negara kita  di PBB telah berkata :     “Adalah tidak boleh diterima sama sekali bahawa 78 tahun sejak penerimaan resolusi Perhimpunan Agung 181, hanya satu daripada dua Negara telah menikmati kemerdekaan dan keahlian penuh kepada PBB, manakala satu lagi - Negara Palestin - terus dinafikan...’

Wakil Australia bersama 14 buah negara yang memanggil diri mereka New York Call berkata “... bahawa pengiktirafan Negara Palestin adalah langkah penting untuk penyelesaian dua negara".  

Israel mesti terlibat dalam soal kenegaraan Palestin.  "Dunia sedang bergerak dan penyelesaian dua negara adalah penting untuk keselamatan jangka panjang Israel," kata wakil Australia.

Dari  apa yang kita baca tentang perkembangan ini  nampaknya jalan selesai telah direntas. Justeru pada bulan September  yang akan datang ini PBB akan mengadakan Persidangan Tahunan.  Sebanyak 193 negara anggota PBB akan  membuat  persetujuan  menyokong atau menolak dokumen ketetapan   Penyelesaian Aman Persoalan Palestin dan Pelaksanaan Penyelesaian Dua Negara yang baru di buat di New York ini. 
Saya sendiri memberi perhatian rapi tentang perkembangan Palestin ini. Ini kerana dari segi sejarah peribadi - kesedaran politik antarabangsa saya muncul dari perjuangan Palestin dan Vietnam. Dua negara ini memberi saya kuliah politik tentang makna penjajah dan imperialisma. Kesedaran pandangan dunia politik saya ini berkembang ketika saya dalam universiti.

Hati dan jiwa saya rapat dengan Palestin kerana pada tahun 1975 saya sampai ke Lebanon dan terlibat bersama anak mahasiswa Palestin dalam  usaha untuk memperluaskan agenda Palestin ke medan pelajar  dan mahasiswa di Asia Tenggara melalui Asian Students Association (ASA).

Pada tahun 1977 sekali lagi saya sampai  ke Lebanon. Kali ini saya memberi khidmat  di pejabat  media Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO). Kami menerbitkan majalah Palestin Today

Ketika ini saya berpayung di bawah jaringan   pasukan  Al-Fatah di Beirut Lebanon.  Al-Fatah  adalah  salah  satu dari beberapa kumpulan Palestin yang mengangkat senjata berjuang untuk membebaskan Palestin dari penjajahan Zionis Israel.

Saya masih ingat lagi Piagam Al- Fatah.   Pertama: Berjuang untuk membebaskan Palestin dari penjajahan dengan mengangkat senjata.   Kedua : Mendirikan Negara Palestin yang bebas merdeka dan demokratik dimana Arab dan Yahudi boleh hidup bersama dalam sebuah negara Palestin.

Dua garis  politik ini meyakinkan saya bahawa masa depan Palestin hanya akan terjamin dengan perjuangan bersenjata yang di dukung oleh PLO.

Wajib juga saya nyatakankah disini ketika saya di Beirut bukan hanya Al-Fatah  di bawah pimpinan Yasser Arafat yang berjuang mengangkat senjata.  Ada PFLP – Popular Front for Liberation of Palestin di bawah pimpinan Dr George Habash. Ada PFLP General Command di bawah pimpinan Ahmad Jibril.

Semua gerakan-gerakan pembebasan Palestin menyokong  garis angkat senjata – bergerila - untuk membebaskan Palestin. Garis ini jugalah yang menjadi pedoman  PLO yang semakin banyak mendapat sokongan rakyat dunia.

Bila saya  membaca kembali   Portal United Nations saya menemui nama Malta. Ini negara di Lautan Tengah yang juga menyokong  kemerdekaan Palestin.

Malta menjadi negara terbaharu yang mengumumkan hasratnya untuk mengiktiraf Negara Palestin, dengan wakilnya menyatakan bahawa pengiktirafan rasmi akan diberikan pada sesi Perhimpunan Agung PBB yang akan datang. 

Wakil Malta berkata keputusan ini sebagai "langkah konkrit ke arah merealisasikan keamanan yang adil dan berkekalan... diikuti dengan "kesediaan politik untuk berunding dari kedua-dua pihak".

Nampaknya amat-amat positif hingga saya terbaca : "Hamas tidak seharusnya menjadi sebahagian daripada persamaan dalam tadbir urus Gaza pada masa hadapan", tambah wakil dari Malta ini. 

Pada 30 Julai 2025 akhbar The Times of Israel melaporkan : Negara-negara Arab dan Islam, termasuk Arab Saudi, Qatar, Mesir, Jordan dan Turki, menandatangani deklarasi  yang mengutuk serangan Hamas buat kali pertama pada 7 Oktober 2023, dan menyeru kumpulan pengganas Palestin untuk membebaskan semua tebusan yang dipegangnya, melucutkan senjata dan menamatkan pemerintahannya di Gaza, dalam usaha untuk menamatkan perang yang dahsyat di Semenanjung Gaza.

Pada ketika ini telah ada 17 negara ditambah dengan 22 anggota Liga Arab dan seluruh Kesatuan Eropah, menyokong dan  bersetuju pada  September ini di persidangan PBB akan menyokong  dasar  penyelesaian dua negara untuk Israel dan Palestin.

Apa yang jelas  lagi terang ialah mengetepikan Hamas. Memastikan Hamas tidak ada peranan dalam mendirikan  negara Palestin. Memaksa Hamas melucutkan senjata.

Bila saya membaca dan melihat perkembangan terbaru  ini maka saya mengingati kembali sejarah Perjuangan Kemerdekaan Tanah Melayu.  Saya teringat akan  Angkatan Wanita Sedar (AWAS ), Angkatan Pemuda Insaf ( API ) , Kesatuan Melayu Muda ( KMM), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Parti Komunis Malaya (PKM ). Inilah kumpulan yang meneroka  garis perjuangan untuk memerdekakan  Tanah Melayu dari penjajah Inggeris.

Gerakan dan kumpulan ini jugalah yang mengajukan perjuangan bersenjata sebagai cara untuk mencapai Merdeka dan menghalau Inggeris keluar dari Tanah Melayu.

Apa yang sedang berlaku di Palestin sekarang ini telah pernah dilakukan oleh kuasa kolonial Inggeris. Taktik dan strategi kuasa penjajah masih sama.  Pecah dan perintah. Sokong ,  angkat dan nobatkan yang belot untuk di jadikan barua.

Di  Tanah Melayu dulu Inggeris menubuhkan United Malays National Organisation. Parti ini dibantu, disokong, di beri dana untuk memastikan  UMNO akan mengambil alih dari Inggeris.  Gerakan  Nasionalis Pembebasan Rakyat Malaya yang mengangkat senjata di cap pengganas komunis.

Inilah yang sedang berlaku kepada Hamas. Gerakan  Pembebasan Palestin yang mengangkat senjata ini di tuduh pengganas. Kalau zaman kolonial  anti- Inggeris perjuangan bersenjata akan di cap Pengganas Komunis. Kali ini gerakan bersenjata untuk melawan  penjajah Zionis Israel akan di cap Pengganas Islam. 

Jelas  dapat dibaca bahawa kuasa imperialis Anglo-Amerika sedang merancang untuk memastikan perjuangan bersenjata menentang Zionis Israel akan di padamkan.

Dari awal lagi kita melihat bagaimana kuasa imperialis Anglo-Amerika bersama Kesatuan Eropah  bersekongkol  untuk menyokong dan memberi dana kepada apa yang di panggil Palestin Autoriti yang di kepalai oleh Mahmud Abbas. 

Kita juga melihat bagaimana Al-Fatah dimandulkan. Al-Fatah dari gerakan popular yang mengangkat senjata melawan Zionis kini  meninggalkan garis perjuangan bersenjata. 

Tidak cukup dengan ini Al-Fatah bersama PLO meninggalkan perjuangan bersenjata – mereka juga dijadikan  barua dan  mata-mata Zionis Israel. Al-Fatah  bekerja  mengintip  dan menangkap  sesiapa saja – individu atau kumpulan yang mengangkat senjata melawan Israel.

Perkara yang sama  pernah berlaku di Tanah Melayu.   Parti United Malays National  menjadi alat Inggeris untuk menumpaskan para pejuang  nasionalis yang mengangkat senjata melawan Inggeris.


API, AWAS, PKMM dan PKM bangun melawan Inggeris. Manakala UMNO bangun melawan sesiapa saja yang bangun melawan Inggeris.  Ini fakta sejarah. 

Apa yang telah berlaku di Tanah Melayu telah,  sedang dan akan berlaku di Palestin.

Kurang yakin dengan apa yang saya tulis ini?

Sila baca berita terkini dan terbaru.  Perdana Menteri Netanyahu telah mengarahkan tentera dan soldadu Israel untuk terus masuk ke Gaza. Arahan terbaru dari Netanyahu ini bertujuan untuk memastikan Gaza  di kosongkan dari warga Arab Palestin.

Apakah ini memeranjatkan kerana pada September ini PBB akan mengiktiraf negara Palestin. Jangan terperanjat kerana semua ini adalah dalam perancangan licik untuk memastikan Palestin terus dijajah.

Apa yang sedang di rancang ialah untuk memastikan akan berlaku perang saudara di Palestin. Hamas yang mahu di ketepikan akan terus di cap Pengganas Islam. Senjata dan bantuan akan diberikan kepada Al-Fatah dan  Autoriti Palestin untuk memburu Hamas.

Wajib diketahui bahawa arahan Netanyahu  untuk mengambil alih semua Gaza telah mendapat lampu hijau dari Presiden Trump.

Justeru pada hemat saya  - Two States Solution – Penyelesaian  Dua Negara ini hanyalah teater. Teater di New York, teater bulan September ini hanya bertujuan untuk memastikan projek Greater Israel – Israel Raya di teruskan.

Apa projek Israel Raya ini ? Sila tunggu minggu hadapan. Amin. (TT)


TULISAN INI DISIRKAN JUGA
DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI
https://www.malaysiakini.com/columns/751829



Tiada ulasan: